|
|
|
|
|
|
BUATAN MALAYSIA: MEDICAL INNOVATION VENTURES MENGHASILKAN KIT UJIAN UNTUK PENGESANAN COVID-19
Wednesday 18/03/2020
PULAU PINANG, Malaysia, 18 Mac (Bernama) -- Medical Innovation Ventures Sdn. Bhd. (Mediven®), syarikat dibawah ekosistem MTDC telah menghasilkan dua kit diagnostik untuk penyakit COVID-19. Kit yang pertama berfungsi sebagai ujian saringan untuk COVID-19, termasuk influenza atau kluster penyakit mirip influenza (influenza-like illnesses, ILI) daripada sampel klinikal. Kit kedua pula berfungsi sebagai ujian pengesahan COVID-19 juga daripada sampel klinikal.
Oleh kerana kluster penyakit mirip influenza (influenza-like illnesses, ILI) menunjukkan simptom-simptom klinikal yang agak sama seperti demam, batuk dan sesak nafas, ia menimbulkan kesukaran untuk membezakan dari satu penyakit ke penyakit yang lain. Melalui ujian tiub tunggal, GenoAmp® Real-Time RT-PCR Flu A/ Flu B/ SARS-Cov-2/MERS-CoV dapat mengesan dan membezakan jangkitan influenza A (H1N1, H3N2), influenza B, SARS-CoV-2 (gen Nucleocapsid (N), gen RNA-dependent RNA Polymerase (RdRP), gen ‘Spike’ (S)) dan MERS-CoV secara serentak dengan hanya menggunakan setitis sampel pesakit.
Melalui kit diagnostik yang kedua, GenoAmp® Real-Time RT-PCR SARS-Cov-2 dapat mengesahkan jangkitan COVID-19 melalui saringan gen RdRp dan gen S, dan pengesahan melalui gen N daripada sampel pesakit.
Ujian ini telah direka berdasarkan protokol antarabangsa yang disyorkan oleh Organisasi Kesihatan Sedunia (WHO) untuk COVID-19. Satu kajian baru-baru ini yang diterbitkan di Lancet pada 24 Januari 2020 melaporkan bahawa S gene mempunyai kepekaan (sensitivity) yang lebih baik untuk mengesan COVID-19 dalam swab nasofaring pesakit.
"Prinsip kerja kedua-dua ujian ini adalah berdasarkan teknologi RT-PCR di mana molekul RNA dari virus sasaran ditukar menjadi urutan DNA pelengkap (cDNA) melalui enzim “reverse transcriptase”, diikuti dengan perincian cDNA yang baru disintesis oleh prosedur standard PCR. RT-PCR kini menjadi prosedur pilihan dalam pengesanan dan pengesahan COVID-19, "kata Dr. Nicole Tang, saintis di sebalik ujian itu.
Kit-kit ini adalah ujian saringan awal yang membolehkan pengesanan beberapa virus secara serentak dalam satu ujian sahaja. Ini membolehkan peningkatan kecekapan dalam aliran kerja, memaksimumkan daya pemprosesan dan membantu pihak hospital untuk mengesan pesakit yang dijangkiti dengan lebih cepat dan tepat.
"Kepantasan adalah sangat penting dalam menyelamatkan nyawa dan membendung penyebaran penyakit berjangkit seperti COVID-19," kata Pengarah Operasi Mediven®, Dr. Lim Li Sze dalam satu kenyataan.
Dr Muhammad Nazri bin Aziz, Pakar Perunding Mikrobiologi Perubatan Lablink (M) Sdn Bhd, yang menjalankan ujian untuk rangkaian hospital KPJ Healthcare, apabila dihubungi, mengulas mengenai kit itu sebagai "Satu strategi yang baik. Kit ini adalah panel khas untuk Asia."
"Kami berazam untuk menyediakan kit ujian yang tepat dan cekap agar para profesional penjagaan kesihatan mempunyai senjata yang berkesan untuk menangani penyebaran jangkitan ini," kata Pengarah Eksekutif Mediven®, Ariff Ismail.
Mengenai Medical Innovation Ventures
Medical Innovation Ventures Sdn. Bhd. (Mediven®) adalah syarikat diagnostik perubatan yang membangunkan, mengeluarkan dan memasarkan ujian diagnostik molekul klinikal dan kit ujian pantas (rapid test kit) yang berkualiti tinggi. Melalui visi untuk menyediakan perkhidmatan kesihatan peribadi melalui diagnostik berinovatif, Mediven® menyediakan penyelesaian untuk pemeriksaan pelbagai penyakit berjangkit termasuk denggi, chikungunya, zika, malaria, influenza, tuberkulosis dan banyak lagi. Penyelidikan dan Pembangunan adalah nilai penting yang diterapkan dalam Mediven® kerana ia membolehkan syarikat kami untuk terus memperbaiki mutu produk dan kekal berdaya saing menerusi teknologi yang ditawarkan dalam industri. Selain bekerjasama dengan pakar penyelidik penyakit berjangkit yang berpengalaman, Mediven® berusaha menyediakan solusi inovatif untuk membantu diagnosis penyakit yang sukar bagi memastikan pengurusan penjagaan kesihatan dan penyakit yang lebih baik. Mediven® merupakan salah satu daripada syarikat di rantau Asia Tenggara yang membangunkan kit ujian dan mengeluarkan produk secara “in-house” serta memasarkan produk melalui pasukan jualannya sendiri. Pada masa ini, produk Mediven® boleh dtemui di semua hospital dan makmal kerajaan dan swasta di Malaysia, Mediven® telah mula menembusi sepuluh negara di Asia dan Amerika Selatan di persada antarabangsa. Ciri-ciri unggul produk proprietari Mediven® adalah “Fast, Flexible, Intelligent and Reliable”. Penyelidikan terperinci yang dijalankan sepanjang penglibatan kami dalam industri ini telah membolehkan kami membangunkan kit ujian yang berkualiti tinggi secara konsisten dari segi ketepatan dan keberkesanan. Hasil dedikasi kami telah terbukti dengan pengiktirafan status BioNexus oleh BioEconomy Corporation, sebagai pengiktirafan untuk syarikat penyelidikan berinovatif. Mediven® juga telah menerima penghargaan daripada Frost & Sullivan untuk anugerah “Entrepreneurial Company of the Year” untuk kategori in vitro diagnostics pada tahun 2017. Selain itu, syarikat ini juga telah mendapat pengiktirafan untuk anugerah “EY Entrepreneur of the Year™ 2018” bagi kategori wanita daripada Ernst & Young. Falsafah kualiti kami menitikberatkan pematuhan kepada piawaian antarabangsa ISO13485: 2016. Tanda "CE" pada produk kami menunjukkan pematuhan kami terhadap keselamatan, kesihatan atau keperluan alam sekitar dan perundangan Kesatuan Eropah (EU), dan membolehkan pergerakan bebas produk dalam Kawasan Ekonomi Eropah (EEA). Mediven® juga meperolehi Lesen Penubuhan Perubatan oleh Pihak Berkuasa Perubatan Malaysia (MDA) untuk mengimport, mengeksport atau memasarkan mana-mana peranti perubatan berdaftar. Di Malaysia, syarikat ini juga telah dianugerahkan pensijilan Amalan Pengedaran Baik untuk Peranti Perubatan (GDPMD) bagi kualiti, keselamatan dan prestasi peranti perubatannya untuk semua aspek rantaian bekalan. Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web kami di www.mediven.com.my. SUMBER: Malaysian Technology Development Corporation (MTDC)
UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI: Nama: Dr Lim Li Sze Tel: +604-656-2824 Emel: admin@mediven.com.co |
|
|
|
|
|