ADGSOM1 & ADGMIN1  
       
  LAUNCH OF THE 50TH ANNIVERSARY CELEBRATION OF RUKUN NEGARA  
       
  KL SUMMIT 2019  
       
  HAWANA 2018  
       
  AES 2016  
       

 
 
 

April 25, 2024 -Khamis

 
  ​MYCC METERAI HUBUNGAN KERJASAMA DENGAN MONASH UNIVERSITY, BRICKFIELDS ASIA COLLEGE DAN MIER

Tuesday 10/12/2019



“Perjanjian MoU dapat meningkatkan kesedaran orang awam berhubung peranan MyCC sebagai badan pemantau anti-persaingan”
 
PUTRAJAYA, 10 Dis (Bernama) -- Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Monash University Malaysia, Brickfields Asia College (BAC) dan Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) di Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) semalam.

Pemeteraian MoU ini dijangka dapat membangunkan aktiviti pendidikan, penyelidikan dan program-program advokasi MyCC, di samping memperkasa pelaksanaan Akta Persaingan 2010 dengan lebih berkesan dalam melindungi proses persaingan yang sihat kepada perniagaan dan pengguna.

“Tujuan utama MoU ini adalah untuk memastikan modul undang-undang persaingan dibangunkan di BAC dan Monash University. Selain itu, ia juga sebagai salah satu platform kepada pelajar dari kedua-dua institusi pengajian tinggi ini mendapat peluang latihan industri di MyCC. Ia diharap dapat melahirkan lebih ramai pakar dalam bidang persaingan di Malaysia”, ujar En. Iskandar Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif MyCC.

“Sementara itu, perjanjian MyCC dan MIER pula dilihat memberi ruang kepada kedua-dua agensi untuk berkongsi kepakaran dalam bidang kajian berkaitan ekonomi dan pembangunan dasar kepada kerajaan”, tambah beliau lagi.

Majlis menandatangani perjanjian MoU diadakan di antara YBhg. Dato’ Seri Mohd Hishamudin Md Yunus, Pengerusi MyCC bersama Encik Raja Singham, Pengasas dan Pengarah Urusan BAC, Professor Mahendhiran Nair, Naib Presiden (Penyelidikan dan Pembangunan) Monash Universiti dan Ybhg. Tan Sri Datuk Dr Kamal Salih, Pengerusi MIER, sambil disaksikan oleh YB Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Menteri di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan Ybhg. Datuk Muez Abdul Aziz Ketua Setiausaha KPDNHEP.

Dengan termeterainya tiga (3) MoU ini, MyCC telah memuktamadkan 13 MoU kesemuanya. Sebanyak 10 institusi pelajaran dan 3 agensi kerajaan telah menjadi rakan strategik MyCC.

Mengenai MyCC
Ditubuhkan pada April 2011, Suruhanjaya Persaingan adalah badan bebas yang bertanggungjawab dalam menguatkuasakan Akta Persaingan 2010 dalam usaha untuk menggalakkan persaingan sihat dan seterusnya merangsang produktiviti dan inovasi yang lebih banyak kepada pengguna dengan kualiti yang lebih baik pada harga yang berpatutan.

Akta ini digunapakai kepada semua aktiviti komersil dalam dan luar negara yang boleh menjejaskan persaingan pasaran Malaysia. Ia memberikan satu rangka kerja kawalan termasuk kuasa menyiasat, menghakimi dan mengenakan penalti kepada pesalah undang-undang persaingan.

Maklumat lanjut mengenai Akta dan Suruhanjaya Persaingan, layari laman sesawang www.mycc.gov.my

SUMBER: Suruhanjaya Persaingan Malaysia

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama: Dzul Affandi Mat Noor
Ketua Bahagian Komunikasi dan Advokasi
Suruhanjaya Persaingan Malaysia
No. Tel: +603 2273 2277 (ext. 111)
Emel: dzul@mycc.gov.my

--BERNAMA

 

 
 
 

Copyright @ 2024 MREM . All rights reserved.