ADGSOM1 & ADGMIN1  
       
  LAUNCH OF THE 50TH ANNIVERSARY CELEBRATION OF RUKUN NEGARA  
       
  KL SUMMIT 2019  
       
  HAWANA 2018  
       
  AES 2016  
       

 
 
 

Mac 29, 2024 -Jumaat

 
  ​ISU TULAR PENJUALAN DAN PENGIKLANAN "SUSU PISANG" YANG MEMBUAT AKUAN YANG DILARANG

Friday 06/12/2019



KUALA LUMPUR, 6 Dis (Bernama) -- Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memandang serius penjualan dan pengiklanan produk “susu pisang” yang membuat akuan yang dilarang dan tular di media elektronik, media cetak, media sosial, risalah dan lain-lain. Penyataan seperti membantu merendahkan tekanan darah tinggi, membantu membuang toksik dari badan, meningkatkan metabolisme, mengawalselia pengeluaran insulin dan pergerakan oksigen, mengurangkan obesiti dan sebagainya adalah dilarang pada label dan iklan produk makanan. KKM melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan telah mengambil tindakan ke atas pihak yang mengedar atau menjual produk makanan tersebut yang tidak mematuhi mana-mana perundangan berkaitan di bawah Akta Makanan 1983 dan peraturan-peraturan di bawahnya.

KKM sentiasa menjalankan operasi dari semasa ke semasa bagi memastikan pematuhan produk makanan ke atas Akta Makanan 1983. Terkini pada bulan Oktober 2019, KKM telah menjalankan satu operasi khas bagi membanteras dan mengambil tindakan ke atas pengeluar dan produk makanan secara serentak di seluruh negara. Hasil Operasi Khas yang dijalankan, sebanyak 506 premis makanan telah diperiksa dan sebanyak 2,135 produk makanan bernilai RM60,494.53 telah disita. Sementara itu, sejumlah 47 notis dengan keseluruhan nilai RM113,500.00 telah dikeluarkan kepada pemilik premis makanan yang gagal mematuhi peruntukan di bawah Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan dibawahnya.

Selain itu, KKM sentiasa bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta pentadbir laman sosial seperti Facebook dan Instagram untuk menyekat akses kepada laman web dan laman sosial mana-mana produk makanan yang didapati tidak mematuhi Akta Makanan 1983. Sehingga kini, sebanyak 103 laman web dan laman sosial telah disekat.

Seksyen 17, Akta Makanan 1983 menetapkan larangan ke atas sesuatu iklan makanan termasuklah perkara-perkara yang dilarang pada label dan pernyataan-pernyataan yang boleh memperdayakan pengguna. Manakala di bawah Peraturan 18(6), Peraturan-Peraturan Makanan 1985 menyatakan bahawa label makanan tidak boleh mengandungi akuan kesihatan seperti mencegah, mengurang, merawat dan menyembuhkan sesuatu penyakit. Kegagalan mematuhi mana-mana peruntukan di bawah Peraturan- Peraturan Makanan 1985 merupakan satu kesalahan dan jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua (2) tahun.

KKM memberi amaran kepada semua penjual atau agen-agen produk makanan berkenaan untuk menghentikan pengiklanan yang tidak mematuhi Akta Makanan 1983 dan tidak menyebarkannya di media sosial. Pengguna juga dinasihatkan untuk tidak terpedaya dengan iklan-iklan yang sedemikian.

Sekiranya pengguna mempunyai sebarang kemusykilan berhubung sebarang isu keselamatan makanan, pengguna boleh menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah/Kawasan/Bahagian atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat atau melalui laman sesawang http://moh.spab.gov.my atau facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) www.facebook.com/bkkmhq.

DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULLAH
KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA
6 DISEMBER 2019

 
SUMBER: Kementerian Kesihatan Malaysia

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama: BAHARUDIN BIN MOHAMAD
Pegawai Perhubungan Awam
Unit Komunikasi Korporat
Kementerian Kesihatan Malaysia
Tel : 03-88834536 / 017-2635008

--BERNAMA
 

 
 
 

Copyright @ 2024 MREM . All rights reserved.