|
|
|
 |
|
|
PENJAGAAN KESIHATAN KETIKA BANJIR
Tuesday 03/12/2019
KUALA LUMPUR, 3 Dis (Bernama) -- Kementerian Kesihatan mengambil maklum bahawa kejadian banjir telah melanda dua buah negeri di Pantai Timur Semenanjung Malaysia iaitu di Terengganu dan Kelantan sejak dari 30 September 2019. Pada 2 Disember 2019, sehingga jam 7 malam, sebanyak tiga (3) buah negeri dilanda banjir iaitu Kelantan, Terengganu dan Johor melibatkan sembilan (9) daerah di Kelantan, tujuh (7) daerah di Terengganu dan satu (1) daerah di Johor.
Sebanyak 33 buah fasiliti kesihatan terjejas banjir iaitu 28 buah fasiliti kesihatan di Kelantan dan lima (5) buah fasiliti kesihatan di Terengganu. Daripada jumlah itu 21 buah fasiliti kesihatan terputus hubungan, lima (5) buah dinaiki air dalam fasiliti kesihatan dan tujuh (7) buah fasiliti kesihatan yang mengalami kenaikan air di luar fasiliti kesihatan. Operasi fasiliti kesihatan yang dinaiki air dipindahkan ke fasiliti kesihatan yang berhampiran dan masih beroperasi seperti biasa dan sentiasa bersedia untuk memberi perkhidmatan kepada masyarakat.
Pasukan petugas perubatan dan kesihatan dari Pejabat Kesihatan Daerah terbabit telah digerakkan ke pusat-pusat pemindahan banjir yang telah dibuka dan memberikan perkhidmatan pemeriksaan kesihatan dan rawatan. Aktiviti pencegahan dan kawalan penyakit bagi mengesan dan mengawal kejadian penyakit berjangkit telah dan sedang dijalankan. Pemantauan penyakit sehingga kini menunjukkan tiada kejadian wabak penyakit berjangkit berlaku di kawasan-kawasan yang terbabit.
KKM ingin menasihatkan orang ramai agar sentiasa peka terhadap arahan daripada pihak berkuasa dari masa ke semasa dan sentiasa mengambil langkah-langkah penjagaan kesihatan kendiri seperti berikut:
i. Elak bermain dengan air banjir terutamanya jika mempunyai luka atau masalah kulit bagi mengelakkan risiko jangkitan penyakit Leptospirosis (kencing tikus) dan Melioidosis yang ditularkan melalui air yang tercemar. Gunakan alat pelindung diri seperti boot getah dan sarung tangan getah semasa aktiviti pembersihan terutamanya jika melibatkan banjir lumpur.
ii. Minum air yang telah dimasak dan makan makanan yang bersih bagi mengelakkan kejadian penyakit bawaan air dan makanan seperti keracunan makanan, kolera, tifoid, hepatitis A dan Acute Gastroenteritis (AGE).
iii. Amalkan penjagaan kebersihan diri iaitu mengamalkan cara basuh tangan yang betul; membasuh tangan dengan sabun dan air yang bersih sebelum menyediakan makanan, sebelum makan, selepas ke tandas, selepas membuat aktiviti pembersihan serta selepas menyentuh barang-barang yang dicemari oleh air banjir atau kumbahan (sewage).
iv. Sekiranya bekalan elektrik terputus, pastikan bekalan makanan yang disimpan di dalam peti sejuk tidak rosak sebelum dimasak. Elakkan memakan makanan yang terdedah kepada air banjir, yang berada pada suhu bilik melebihi 4 jam atau ada perubahan rasa, bau atau tesktur.
v. Awasi risiko renjatan elektrik sekiranya rumah dinaiki air. Elakkan penggunaan soket elektrik yang terdedah kepada air banjir sebelum ianya dipastikan selamat.
vi. Sentiasa mengamalkan penjagaan kebersihan persekitaran. Pembuangan sampah di merata tempat akan mendatangkan risiko penyakit, pembiakan vektor pembawa penyakit seperti tikus, nyamuk dan lain-lain. Semasa banjir, bekas-bekas menakung air akan menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes dan anopheles. Ini menyebabkan populasi nyamuk bertambah dan meningkatkan penyebaran penyakit bawaan nyamuk seperti Demam Denggi, Chikungunya dan Malaria.
vii. Bagi penghidap penyakit kronik (seperti pesakit hemodialisis) yang memerlukan rawatan berkala, perancangan perlu dibuat untuk berpindah lebih awal supaya tidak terputus hubungan untuk mendapatkan rawatan.
viii. Pastikan bekalan ubat mencukupi dan disimpan ditempat yang selamat bagi mengelakkan ianya rosak terkena air banjir. Sekiranya bekalan ubat terputus atau rosak disebabkan banjir, perlu segera maklumkan kepada pasukan perubatan.
ix. Semasa tinggal di pusat-pusat pemindahan, amatlah penting bagi semua penghuni untuk mengamalkan sikap bertoleransi, saling bantu-membantu dan hormat-menghormati bagi mengelakkan ketegangan atau tekanan (stres) dalam kalangan penghuni.
x. Sila dapatkan rawatan segera dari pasukan perubatan di Pusat Pemindahan Banjir atau fasiliti kesihatan yang berhampiran jika mengalami sebarang gejala penyakit seperti demam, sakit perut, muntah, cirit-birit, batuk dan sebagainya.
xi. Maklumat lanjut mengenai langkah-langkah pencegahan untuk mengurangkan kesan kesihatan akibat banjir, boleh diperolehi di https://www.infosihat.gov.my/index.php/multimedia/e-magazine/item/banjir-2
KKM akan terus memantau kejadian ini dan akan mengemaskini maklumat berkaitan dari masa ke semasa.
Sekian, terima kasih.
DATUK DR NOOR HISHAM ABDULLAH KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA 3 Disember 2019
SUMBER: KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA
UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI: Nama: Farahdila Wati binti Mohd Khamde Khuzaini Pegawai Perhubungan Awam Unit Komunikasi Korporat Kementerian Kesihatan Malaysia Tel : 03-88833470 / 012-2112658
--BERNAMA
|
|
|
|
|
|