Julai 04, 2025 -Jumaat

 
  ​BIMB HOLDINGS BERHAD MENCATATKAN PENINGKATAN 16.2% PBZT KEPADA RM938.4 JUTA BAGI TEMPOH SEMBILAN BULAN BERAKHIR 30 SEPTEMBER 2019

Friday 29/11/2019



SOROTAN UTAMA

• Keuntungan Sebelum Zakat dan Cukai (“PBZT”) Kumpulan meningkat sebanyak 16.2% kepada RM938.4 juta
• Pulangan Bersih ke atas Ekuiti (“ROE”) Tahunan direkodkan 15.7%
• PBZT Bank Islam naik 3.3% kepada RM646.2 juta
• PBZT Takaful Malaysia meningkat 41.8% kepada RM332.2 juta

KUALA LUMPUR, 29 Nov (Bernama) --  BIMB Holdings Berhad (“BHB”), kumpulan perkhidmatan kewangan Islam terulung di Malaysia, mencatatkan peningkatan Keuntungan Sebelum Zakat dan Cukai (“PBZT”) sebanyak 16.2% atau RM938.4 juta bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2019 (“9M19”), berbanding RM807.3 juta pada tempoh sama tahun 2018. Kedua-dua anak syarikat perbankan dan takafulnya merekodkan prestasi yang lebih baik.

Pendapatan sesaham bagi tempoh sembilan bulan adalah 34.50 sen berbanding 30.84 sen bagi tempoh sama tahun lalu manakala Aset Bersih Sesaham mengukuh kepada RM3.41 setakat akhir September 2019, daripada RM2.97 pada akhir Disember 2019. Ini diterjemahkan kepada Pulangan Ekuiti Bersih Tahunan sebanyak 15.7%, mengatasi rakan-rakan industri yang lain.

Perbankan Islam

Kumpulan Bank Islam (“Bank Islam” atau “Bank”) merekodkan PBZT sebanyak RM646.2 juta bagi tempoh 9M19, mewakili peningkatan sebanyak 3.3% atau RM20.5 juta berbanding tempoh sembilan bulan yang sama pada tahun 2018.

Prestasi Bank yang lebih baik sebahagian besarnya disumbangkan oleh jumlah pendapatan yang lebih tinggi ekoran peningkatan pembiayaan bersih Tahun-ke-Tahun (“Y-o-Y”) sebanyak RM4.0 bilion atau 8.9% serta peningkatan dalam pelaburan instrumen kewangan Y-o-Y sebanyak RM1.6 bilion atau 13.8%. Bank juga telah mengeluarkan pembiayaan yang signifikan kepada sebuah pelanggan korporat berjumlah RM1.30 bilion pada suku ketiga yang telah menyumbang kepada pertumbuhan keseluruhan pembiayaan. Pembiayaan bersih berada pada RM48.2 bilion (Sept 2018: RM44.2 bilion) manakala pelaburan dalam instrumen kewangan berada pada RM13.1 bilion (Sept 2018: RM11.5 bilion).

Sehingga akhir September 2019, akaun deposit dan pelaburan (“IA”) pelanggan berada pada RM56.0 bilion dengan peningkatan sebanyak RM5.7 bilion atau 11.3%. Nisbah Akaun Semasa dan Simpanan (“CASA”) dan IA Transaksi adalah 31.2%.

Bank Islam terus mengekalkan kualiti asset yang kukuh dan ia dicerminkan dalam nisbah pembiayaan terjejas kasar yang rendah iaitu 1.11% pada akhir September 2019. Angka ini lebih rendah berbanding 1.61% yang dicatatkan dalam sistem perbankan. Kedudukan modal Bank kekal sihat untuk menyokong pertumbuhan perniagaan yang berterusan dengan Nisbah Jumlah Modal sebanyak 17.5% sehingga akhir September 2019.

Pada 5 November 2019, Jawatankuasa Dasar Monetari (“MPC”) Bank Negara Malaysia telah memutuskan untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (“OPR”) pada 3.00%. Walaupun OPR tidak berubah, kadar deposit dijangka akan meningkat dan persaingan untuk deposit dijangka berpanjangan apabila bank-bank kini bersiap sedia untuk mematuhi pelaksanaan Nisbah Pembiayaan Stabil Bersih (“NSFR”). Ini akan terus menghimpit Margin Pendapatan Bersih.

Walau bagaimanapun,petunjuk-petunjuk keuntungan dijangka tidak berubah, meskipun persekitaran ekonomi yang mencabar apabila Bank terus berkembang dan pada masa yang sama mengawal kos serta meneruskan usaha pendigitalan bagi meningkatkan pendapatan bukan berasaskan dana bagi tempoh lebih panjang.

Takaful

Bagi tempoh 9M19, Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Berhad (“Takaful Malaysia”) mencatatkan PBZT sebanyak RM332.2 juta, meningkat 41.8% berbanding RM234.2 juta pada tempoh sama tahun 2018. Keuntungan yang lebih tinggi itu disumbangkan oleh pendapatan fi wakalah bersih lebih tinggi susulan pertumbuhan dalam perniagaan Takaful Keluarga serta pendapatan pelaburan bersih yang lebih tinggi.

Pendapatan operasi Takaful Malaysia meningkat sebanyak 21.0% kepada RM2,344.7 juta daripada RM1,937.6 juta yang dicatatkan pada tempoh sama tahun 2018. Peningkatan tersebut sebahagian besar disumbangkan oleh hasil jualan perniagaan Takaful Keluarga yang lebih tinggi. Perniagaan Takaful Keluarga menjana sumbangan perolehan kasar bernilai RM1,511.1 juta, berbanding RM1,110.9 juta, peningkatan sebanyak 36.0% yang sebahagian besar disumbangkan oleh jualan produk-produk berkaitan kredit yang lebih tinggi.

Pendapatan pelaburan bagi perniagaan Takaful Keluarga meningkat 10.9% kepada RM207.2 juta, berbanding RM186.8 juta, disumbangkan terutamanya oleh keuntungan lebih tinggi daripada sekuriti hutang Islam.

Takaful Keluarga juga merekodkan laba nilai saksama sebanyak RM26.5 juta bagi tempoh dalam kajian, iaitu peningkatan sebanyak RM68.8 juta berbanding tempoh sama 2018. Laba yang lebih tinggi ini sebahagian besar disebabkan pengukuhan prestasi pasaran ekuiti.

Takaful Am menjana sumbangan perolehan kasar sebanyak RM542.4 juta dalam 9M19 berbanding RM519.7 juta bagi tempoh 9M18. Ia merupakan peningkatan sebanyak 4.4%. Pertumbuhan tersebut sebahagian besar disumbangkan oleh perlindungan kelas kebakaran dan motor.

Pendapatan pelaburan daripada perniagaan Takaful Am meningkat sebanyak 11.4% kepada RM23.5 juta berbanding RM21.1 juta dalam tempoh sama 2018, disebabkan oleh keuntungan lebih tinggi daripada sekuriti hutang Islam.

Meskipun sentimen perniagaan kekal berwaspada pada tahun 2019, industri takaful dijangka akan mengatasi penyedia perlindungan konvensional memandangkan permintaan kukuh terhadap produk Takaful. Takaful Malaysia akan terus mengembangkan penguasaan pasarannya pada tahun 2019. Bagi mengekalkan kedudukannya sebagai pendahulu pasaran, syarikat akan meneruskan strategi inovatif yang dirancang melalui pelaksanaan strategi digital, pengenalan penyelesaian dalam talian, perluasan keupayaan pengedaran, jalinan usaha sama strategik dengan bank-bank Islam terkemuka serta inisiatif kesedaran jenama. Syarikat berhasrat untuk membina ekosistem digital yang menyeluruh dan memperluaskan fokus perniagaan melangkaui perniagaan berkaitan kredit untuk mendekati asas pelanggan runcit rakan-rakan bank yang utama.

Takaful Malaysia kekal komited untuk terus memenuhi keperluan pelanggan dengan penyediaan penyelesaian perlindungan dan perkhidmatan yang diyakini dan lebih baik demi manfaat mereka. Usaha ini juga akan meletakkan Takaful Malaysia sebagai penyedia perlindungan pilihan ramai.

Untuk maklumat lanjut,www.bimbholdings.com

Mengenai BIMB Holdings Berhad

BIMB Holdings Berhad (“BHB”) adalah Syarikat Pemegangan Kewangan Islam pertama yang diluluskan oleh Bank Negara Malaysia di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013. BHB diperbadankan di Malaysia pada 20 Mac 1997, dan disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Berhad pada 16 September tahun yang sama. Anak-anak syarikat utama Kumpulan BHB merupakan pelopor dalam pelbagai perkhidmatan kewangan Islam termasuklah perbankan, takaful, dagangan saham dan lain-lain perkhidmatan berkaitan iaitu Bank Islam Malaysia Berhad, Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Berhad dan BIMB Securities Sendirian Berhad.

Diterbitkan oleh : Komunikasi Korporat Kumpulan, BIMB Holdings Berhad

SUMBER : BIMB Holdings Berhad

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama: Wan Norkhairi Wan Samad
Ketua, Komunikasi Korporat
BIMB Holdings Berhad
Tel : +603-27821232
Faks : +603-20888110
E-mel : wnorkhairi@bankislam.com.my

Nama: Omar Atin
Penolong Timbalan Presiden, Perhubungan Awam
Komunikasi Korporat Kumpulan
BIMB Holdings Berhad
Tel : +603-27812943 / +6019-3919144
Faks : +603-27812988
E-mel: omar@bimbholdings.com

--BERNAMA

 
 
 

Copyright @ 2025 MREM . All rights reserved.