ADGSOM1 & ADGMIN1  
       
  LAUNCH OF THE 50TH ANNIVERSARY CELEBRATION OF RUKUN NEGARA  
       
  KL SUMMIT 2019  
       
  HAWANA 2018  
       
  AES 2016  
       

 
 
 

April 20, 2024 -Sabtu

 
  CUKAI DIGITAL DAN EKONOMI BAYANGAN FOKUS UTAMA PERSIDANGAN TEKNIKAL TAHUNAN PERTUBUHAN PENTADBIR CUKAI NEGARA-NEGARA KOMANWEL (CATA) YANG KE-40

Monday 11/11/2019



GEORGE TOWN, 11 Nov (Bernama) -– Cukai Digital dan Ekonomi Bayangan menjadi fokus utama Persidangan Teknikal Tahunan Pertubuhan Pentadbir Cukai Negara-Negara Komanwel (CATA) ke-40 yang dianjurkan di George Town, Pulau Pinang pada hari ini. Program yang disempurnakan perasmiannya oleh Yang Berhormat Tuan Lim Guan Eng, Menteri Kewangan Malaysia bermula pada 11 November dan akan tamat pada 14 November 2019 disertai lebih 150 orang delegasi dari lebih 20 negara anggota CATA seluruh dunia.

Persidangan CATA 2019 akan lebih fokus kepada tajuk-tajuk pembentangan yang bertemakan “Addressing the Shadow Economy and Digitalisation in Securing Revenue for Sustainable Development”, di mana persidangan ini menjadi platform buat negara-negara pentadbir cukai termasuk Malaysia untuk mengutarakan pendapat dan cadangan dalam merangka dasar serta gerak kerja bagi mendepani isu ekonomi bayangan dan cukai digital yang kian mencabar pada masa ini. Persidangan ini juga dijangka akan memberikan manfaat buat semua negara peserta memandangkan pakar-pakar percukaian daripada negara-negara anggota akan berkongsi kaedah dan kepakaran masing-masing dalam konteks ekonomi bayangan dan juga cukai digital.

Menteri Kewangan dalam ucapan perasmiannya berkata, ekonomi bayangan yang disifatkan sebagai ekonomi bawah tanah adalah sukar untuk diukur. Walaubagaimanapun, pelbagai kajian menunjukkan bahawa saiz ekonomi bayangan adalah 15 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) di negara maju dan sekitar 6 peratus di negara membangun. Di Malaysia, angka itu berada pada sekitar 21 peratus daripada KDNK negara.

“Dengan saiz ekonomi negara yang berjumlah RM1.45 trilion pada tahun 2018, anggaran saiz ekonomi bayangan Malaysia adalah kira-kira RM300 bilion. Sekiranya 1/5 daripada hasil ekonomi bayangan dapat diserap ke dalam sektor formal, ini boleh membawa penambahan hasil negara antara RM5 bilion hingga RM15 bilion,” tambah YB Tuan Lim Guan Eng.

“Pentadbir cukai perlu cepat dalam menangani isu-isu percukaian yang timbul disebabkan oleh pembangunan pesat dalam teknologi pendigitalan. Undang-undang percukaian perlu dipinda selaras dengan model perniagaan baharu ini agar negara tidak kehilangan hak mencukai yang sepatutnya.”

Sementara itu, Dato’ Sri Dr. Sabin bin Samitah, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) yang bertindak sebagai tuan rumah persidangan ini, dalam ucapannya menyeru delegasi yang hadir untuk mengambil peluang yang disediakan menerusi persidangan ini bagi membincangkan isu-isu percukaian antarabangsa semasa untuk kebaikan bersama.

Malaysia selaku ahli Global Forum Organisation for Economic Co-operation and Development (OECD) akan terus memainkan peranan yang aktif di pentas global terutamanya dalam menangani isu ekonomi digital yang kini giat dibincangkan.

Turut hadir sama dalam persidangan ini ialah YBhg. Tan Sri Ahmad Badri bin Mohd Zahir (Ketua Setiausaha Perbendaharaan merangkap Pengerusi LHDNM), Puan Champawatee Gunnoo mewakili Presiden CATA, Encik Visvanath Das (Pengerusi CATA), Encik Jonathan Mark Swerdlow (Timbalan Pengerusi CATA), Encik Duncan Onduru (Pengarah Eksekutif CATA), Anggota Lembaga LHDNM, Timbalan-Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif LHDNM, Pengarah-Pengarah Kanan LHDNM, pegawai–pegawai LHDNM dan pemerhati antarabangsa.

SEJARAH RINGKAS CATA

CATA ditubuhkan pada tahun 1978 dan merupakan pertubuhan percukaian antarabangsa yang dianggotai oleh pentadbir cukai dari 46 negara Komanwel. Sebelum ini, Malaysia pernah menjadi tuan rumah penganjuran persidangan CATA pada tahun 1987, 2003 dan 2015. Objektif utama persidangan CATA adalah untuk menyediakan platform kepada pentadbir cukai bagi menjalin hubungan baharu dan mengukuhkan hubungan antara pentadbir cukai di samping membuat perbincangan, bertukar fikiran dan berkongsi penemuan penyelidikan serta maklumat berkaitan dengan isu-isu percukaian semasa.

Dikeluarkan oleh:

Bahagian Komunikasi | Pejabat Ketua Pegawai Eksekutif
Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia


SUMBER: Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Bahagian Komunikasi | Pejabat Ketua Pegawai Eksekutif
Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia
Tel: 03-8313 8888 samb. 21658 / 21674 / 21695 
Faks:  03-8313 7873
Hasil Care Line : 1-800-88-5436 (LHDN)
Portal Rasmi : www.hasil.gov.my

--BERNAMA

 
 
 

Copyright @ 2024 MREM . All rights reserved.