PIPOC 2007  
       
  LANGKAWI INTERNATIONAL DIALOGUE  
       
  IKIM :THE ROLE OF ISLAMIC  
       
  KL OIC HEALTH  
       
  PERAK ROYAL EVENT  
       
  DEVELOPING 8 (D8) MINISTERS MEETING ON FOOD SECURITY  

 
 
 

November 14, 2019 -Khamis

 
  FRIM, KERAJAAN SELANGOR PUPUK KESEDARAN MENJAGA ALAM SEKITAR DI KALANGAN PELAJAR

Wednesday 06/11/2019



KUALA LUMPUR, 6 Nov (Bernama) -- Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) telah menganjurkan Program Kesedaran Alam ‘Kenali Spesies Dipterokarp: Ikon Hutan Tanah Pamah Kita’ di kalangan pelajar dengan sokongan Kerajaan Negeri Selangor semalam.
 
Tahun ini, FRIM mendapat peruntukan dana Kerajaan Negeri Selangor melalui Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Selangor, Smart Selangor, Unit Perancang Ekonomi (UPEN) Selangor bagi melaksanakan program-program kesedaran alam sekitar. Selain program semalam, FRIM telah menganjurkan aktiviti ‘The Nightlife at FRIM’ pada 3 Mei lalu dan Kem Pendidikan Alam Sekitar ‘Kenali Khazanah Hutan’ dijadualkan pada 26-27 November nanti.
 
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh YB Hee Loy Sian, Exco Negeri Selangor merangkap Pengerusi Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar & Teknologi Hijau, STI dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Selangor. Turut hadir, Datuk Dr Abd Latif Mohmod, Ketua Pengarah FRIM; Sajoli Masdor, Pegawai Pendidikan Daerah Gombak; Dr Ismail Parlan, Pengarah Perhutanan dan Alam Sekitar FRIM; dan Dr Noor Azlin Yahya, Ketua Program Ekopelancongan dan Hutan Bandar FRIM (EUF).
 
Spesies-spesies pokok keluarga Dipterocarpaceae (juga dikenali sebagai kaum damar) merupakan pokok yang mendominasi lapisan atas hutan di Malaysia. Komposisi yang banyak di hutan ini menjadikan kaum damar boleh dianggap sebagai ikon hutan negara kita. Di FRIM, pokok kaum damar ditemui dalam plot-plot penyelidikan serta di Arboretum Dipterokarpa yang menempatkan sebanyak 120 spesies.
 
Program Kesedaran Alam ini dilaksanakan berpandukan modul pendidikan alam sekitar yang dibangunkan oleh EUF dengan tujuan meningkatkan pengetahuan tentang keunikan dan sumbangan spesies kaum damar terhadap hidupan sejagat. Program ini juga dapat membangunkan empati ke arah pemuliharaan kaum damar. 
 
Program semalam dihadiri 32 pelajar Tingkatan Tiga daripada SMK Kepong, SMK Taman Ehsan, SMK Bukit Gading dan SMK Seri Kundang. Aktivit-aktiviti menarik seperti ceramah, ‘role play’ serta sesi perbincangan dikendalikan oleh para penyelidik FRIM.
 
Dikeluarkan oleh Unit Komunikasi Korporat (CCU) FRIM. 

Untuk mendapatkan salinan ‘softcopy’ kenyataan media dan ucapan, sila muat turun daripada pautan berikut: https://tinyurl.com/kesedarankaumdamarFRIM

SUMBER: Forest Research Institute Malaysia (FRIM)

UNTUK  MAKLUMAT LANJUT SILA HUBUNGI: 

Nama: Toh An Nee
Tel: 012-2506897 
E-mel: annee@frim.gov.my

Nama: Lim Chung Lu
Tel: 017-4797687 
E-mel: limchunglu@frim.gov.my

--BERNAMA 

 
 
 

Copyright @ 2019 MREM . All rights reserved.