ADGSOM1 & ADGMIN1  
       
  LAUNCH OF THE 50TH ANNIVERSARY CELEBRATION OF RUKUN NEGARA  
       
  KL SUMMIT 2019  
       
  HAWANA 2018  
       
  AES 2016  
       

 
 
 

April 19, 2024 -Jumaat

 
  PENYERTAAN MALAYSIA DI EKSPO CHINA-ASEAN (CAEXPO) KE-16 DI NANNING DAN MALAYSIA WEEK 2019 DI SHANGHAI, REPUBLIK RAKYAT CHINA (PRC) 19 HINGGA 22 SEPTEMBER 2019

Thursday 19/09/2019



KUALA LUMPUR, 19 Sept (Bernama) -- YB Datuk Darell Leiking, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri akan mengetuai delegasi Malaysia ke Ekspo China-ASEAN (CAEXPO) Ke-16 di Nanning dan Malaysia Week 2019 di Shanghai, China dari 19 hingga 22 September 2019.

Penyertaan Malaysia di CAEXPO 2019 adalah penting memandangkan tahun 2019 merupakan Ulang Tahun ke-16 Perkongsian Strategik ASEAN dan China. Tema CAEXPO ke-16 adalah Building Belt & Road Routes, Realizing Our Vision for Community of Shared Future. CAEXPO menyediakan platform bagi syarikat dari Malaysia dan ASEAN untuk mempamerkan produk dan perkhidmatan mereka bertujuan meningkatkan eksport ke negara China dan rantau ASEAN.

Pada tahun ini, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) menerajui penyertaan 167 syarikat Malaysia mewakili pelbagai sektor termasuk produk Makanan dan Minuman (F&B), Kesihatan, Kesejahteraan dan Gaya Hidup serta Perkhidmatan.

Pada 2018, jumlah perdagangan antara Malaysia dengan China adalah sebanyak RM313.81 bilion dengan catatan peningkatan sebanyak 8.1% berbanding RM290.40 bilion pada tahun 2017. Jumlah eksport dari Malaysia ke China pula bernilai RM138.88 bilion manakala jumlah import direkodkan pada RM174.93 bilion. China kekal sebagai rakan dagang terbesar Malaysia bagi 10 tahun berturut-turut sejak tahun 2009.

Sejak 15 tahun yang lalu, CAEXPO telah menjadi platform utama untuk mempromosikan dan memudahkan akses Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SME) ke pasaran China dan ASEAN. Adalah penting bagi Malaysia untuk meneruskan usaha untuk mempromosikan eksport ke China.

Di Shanghai, YB Menteri MITI dijadualkan menghadiri Majlis Penutup program Minggu Malaysia 2019 (Malaysia Week 2019) pada 22 September 2019. Program Minggu Malaysia 2019 ini yang berlangsung mulai 16 hingga 22 September 2019, merupakan kempen atas talian anjuran Kumpulan Alibaba dengan kerjasama Kerajaan Malaysia dengan matlamat utama untuk mempromosi serta menggerakkan aktiviti eksport barangan dan jenama Malaysia di pasaran China, menerusi ekosistem Alibaba.

Persediaan Malaysia untuk kempen pada tahun ini diselaraskan melalui Pasukan Petugas Pelaksanaan Minggu Malaysia (Malaysia Week Implementation Task Force), yang diterajui secara bersama oleh MITI dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia, serta disokong oleh Kementerian-kementerian dan agensi-agensi utama iaitu Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, MATRADE, Tourism Malaysia dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan. Antara aktiviti-aktiviti promosi utama yang dianjurkan secara bersama oleh Malaysia dan Kumpulan Alibaba di sepanjang kempen ini ialah promosi menerusi portal-portal Alibaba yang berkaitan, pavilion dalam talian khusus untuk Malaysia, penglibatan Key Opinion Leaders di China untuk mempromosi barangan dan jenama Malaysia dan komunikasi media secara dalam talian / tanpa talian.

Tentang MITI:
MITI adalah pemacu utama dalam menjadikan Malaysia sebagai destinasi pilihan bagi pelaburan berkualiti dan meningkatkan status negara ini sebagai sebuah negara perdagangan yang kompetitif di peringkat global. Objektif dan peranannya adalah berorientasikan ke arah memastikan pembangunan ekonomi yang pesat di Malaysia dan membantu mencapai matlamat yang dinyatakan di negara ini untuk menjadi sebuah negara maju.

Untuk maklumat lanjut, boleh hubungi kami:

Bahagian Integrasi Ekonomi ASEAN
Kementerian Perdagangan Antarabangsa & Industri (MITI)
Level 18, Menara MITI
No. 7, Jalan Sultan Haji Ahmad Shah
50480 Kuala Lumpur, MALAYSIA

No. Telefon : (603) 6200 0372
No. Faksimili : (603) 6206 1466
Alamat Emel : allasean@miti.gov.my

Kementerian Perdagangan Antarabangsa & Industri
19 September 2019

Sumber: Kementerian Perdagangan Antarabangsa & Industri (MITI)

UNTUK PERTANYAAN MEDIA SILA HUBUNGI: 
Unit Komunikasi Strategik
Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri
Tel: +603 6200 0083
Faks:+603 6206 4293
Emel: allpegkomunikasikorporat@miti.gov.my 

--BERNAMA 

 
 
 

Copyright @ 2024 MREM . All rights reserved.