ADGSOM1 & ADGMIN1  
       
  LAUNCH OF THE 50TH ANNIVERSARY CELEBRATION OF RUKUN NEGARA  
       
  KL SUMMIT 2019  
       
  HAWANA 2018  
       
  AES 2016  
       

 
 
 

November 22, 2024 -Jumaat

 
  UMP BINA HUBUNGAN ERAT DENGAN ALUMNI, JALIN KOLABORASI INDUSTRI

Wednesday 28/08/2019



KUALA LUMPUR, 28 Ogos (Bernama) -- Universiti Malaysia Pahang (UMP) terus mendapat kepercayaan menerusi jalinan kerjasama erat universiti dan industri yang memberikan impak positif terhadap keberhasilan graduan yang dihasilkan. Ianya dibuktikan apabila kadar kebolehpasaran graduan (GE) universiti ini mencapai peratusan tertinggi iaitu 96 peratus pada tahun 2018 melepasi sasaran iaitu 80 peratus pencapaian yang ditetapkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Dalam mendepani transformasi digital dan untuk kekal berdaya saing menerajui industri 4.0, UMP menjalinkan kolaborasi dengan empat industri iaitu Cynerve Sdn. Bhd, Aito Firework Holding Sdn Bhd, Pakar@Work dan Agensi Pekerjaan Pikoje Sdn. Bhd berkongsi kepakaran dalam teknologi serta melahirkan graduan yang holistik, berciri keusahawanan juga seimbang yang menepati keperluan industri dan pasaran pekerjaan.

Syarikat Cynerve Sdn. Bhd merupakan sebuah syarikat berkepakaran dalam Games Development, Augmented Reality (AR), Virtual Reality (VR), Mixed Reality (MR), Esports dan Showcase. Syarikat ini bakal menyediakan latihan kepada staf dan penempatan latihan industri agar mereka sentiasa dilengkapi dengan pengetahuan dan kemahiran dalam bidang berkaitan yang menepati keperluan semasa.

Aito Firework Holding Sdn Bhd pula merupakan syarikat bertaraf Bumiputra yang menawarkan servis dan jualan pelbagai peralatan pemadam kebakaran, pemasangan sistem pemadam kebakaran, menyediakan seminar keselamatan kebakaran dan latihan, serta membekalkan peralatan perlindungan dan keselamatan peribadi. Manakala Pakar@Work Sdn. Bhd ialah sebuah firma perundingan ICT yang berkembang pesat, khusus dalam komunikasi rangkaian dan perkhidmatan keselamatan IT. Syarikat ini telah mempunyai reputasi untuk menyediakan keselamatan maklumat terperinci kepada industri yang merangkumi bidang telekomunikasi, sektor awam dan pengangkutan.

Agensi Pekerjaan Pikoje Sdn. Bhd adalah sebuah syarikat yang bertindak sebagai pengantara di antara graduan dan majikan. Mereka menyediakan platform di atas talian bagi graduan yang sedang mencari pekerjaan yang mana graduan boleh memuatnaik segala maklumat yang diperlukan. Selain daripada itu, syarikat ini turut menyediakan platform kepada majikan untuk mencari pekerja mengikut kemahiran dan kelayakan yang dikehendaki.  

Majlis menyaksikan Naib Canselor UMP, Prof. Ir Dr Wan Azhar Wan Yusoff bertukar dokumen memorandum persefahaman (MOU) dengan Pengarah Cynerve Sdn. Bhd, Mohd Nasrul Radhi Mohd Nasir, Ketua Pegawai Operasi Aito Firework Holding Sdn Bhd, Aswan Khamis, Pengarah Urusan Pakar@Work Sdn.Bhd, Jamal Affandy  Jamaluddin dan Ketua Pengarah Operasi, Agensi Pekerjaan Pikoje Sdn.Bhd, Mohd Faizal  Mohd Nor. Hadir sama Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dato Dr Yuserrie Zainuddin, Ketua Pegawai Eksekutif DreamEDGE, Khairil Adri Adnan merangkap CEO UMP, Dekan Kanan FK, Prof Madya Ts. Dr Ruzaini Abdullah Arshah dan Dekan FK, Prof Madya Dr. Mohamad Fadli Zolkipli.

Menurut Prof Ir Dr Wan Azhar, kerjasama dengan empat industri ini memberikan peluang dalam penempatan Latihan Industri manakala UMP juga akan berkongsi kepakaran membantu syarikat dalam menyediakan satu pangkalan data yang lengkap berkenaan dengan graduan UMP.

“Kerjasama ini turut memanfaatkan bidang penyelidikan mengikut bidang-bidang tertentu dan bekerjasama untuk mendapatkan geran sama ada geran bersama atau pemadanan geran. Ianya termasuklah penganjuran persidangan, pameran, tanggungjawab sosial dan lain-lain,” katanya dalam Majlis Hi-Tea Bersama Alumni dan Industri anjuran Fakulti Komputeran di Hotel Everly Putrajaya pada 27 Ogos 2019. 

Industri 4.0 menyaksikan  penemuan pelbagai teknologi baharu yang antara lain menggunakan automasi, analisis dan big data, simulasi, integrasi sistem, penggunaan robotik sepenuhnya, cloud computingInternet of Things (IoT)dan perkara yang seumpamanya. Malah ianya melibatkan teknologi automasi yang memberi cabaran baharu kepada semua sektor di negara ini yang memerlukan mereka melakukan perubahan seiring dengan transformasi digital untuk kekal berdaya saing dan merancakkan kemajuan landskap dunia moden.

Ujarnya, pertemuan melibatkan 60 alumni dan 24 wakil industri bersama para pensyarah Fakulti Komputeran (FKom) dan sesi meja bulat ini mampu mendapatkan idea dan pandangan daripada pihak luar terutamanya berkaitan pembentukan struktur kurikulum pengajaran dan pembelajaran. Selain itu memperkasa bidang penyelidikan dan inovasi, pengkomersialan, projek kerjasama, geran dan perkongsian peralatan yang dapat dimanfaatkan bersama. Beberapa inisiatif telah diambil pihak fakulti dalam menerajui industri 4.0 ini dan salah satunya mengkaji teknologi serta menambah nilai dalam beberapa subjek berkaitan mengikut keperluan industri terkini.

Sumber: Universiti Malaysia Pahang

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI: 
Nama: Mimi Rabita Abdul Wahit
Pegawai Perhubungan Awam dan Media
Universiti Malaysia Pahang
Tel: 09-42450584/ 0199887321

--BERNAMA

 
 
 

Copyright @ 2024 MREM . All rights reserved.