ADGSOM1 & ADGMIN1  
       
  LAUNCH OF THE 50TH ANNIVERSARY CELEBRATION OF RUKUN NEGARA  
       
  KL SUMMIT 2019  
       
  HAWANA 2018  
       
  AES 2016  
       

 
 
 

April 25, 2024 -Khamis

 
  LHDNM MELAHIRKAN LEBIH RAMAI PAKAR PERCUKAIAN

Tuesday 23/07/2019



CYBERJAYA, 23 Julai (Bernama) -- Dalam memastikan keberkesanan sistem percukaian negara, Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) terus berusaha melahirkan lebih ramai pakar percukaian dalam kalangan pegawainya.  Ini terbukti apabila 585 orang pegawai LHDNM telah berjaya menamatkan pengajian dalam kursus Diploma Lanjutan Percukaian Profesional (DLPP), Certified Tax Investigator Programme (CTIP) dan Sijil Data Scientist. Mereka telah diiktiraf di Majlis Konvokesyen Ke-5 Akademi Percukaian Malaysia (APM) yang berlangsung di Dewan Bangsawan, Menara Hasil Cyberjaya pada hari ini.
 
Daripada 585 orang graduan tersebut, 496 orang telah dianugerahkan DLPP, 78 orang pula dianugerahkan CTIP dan 11 orang menerima Sijil Data Scientist daripada YBhg. Dato’ Sri Sabin bin Samitah, Ketua Pegawai Eksekutif LHDNM. Dalam majlis tersebut juga, Puan Lau Siew Har dari Cawangan Duta (Perniagaan) dipilih menerima Anugerah CEO iaitu merupakan anugerah akademik tertinggi LHDNM berdasarkan keputusan dan sahsiah yang cemerlang.
 
Menurut YBhg. Dato’ Sri Sabin bin Samitah, “Majlis Konvokesyen ini merupakan simbolik kepada usaha LHDNM dalam melahirkan pegawai-pegawai yang kompeten serta mahir dalam aspek teknikal percukaian yang kian mencabar. Pemerkasaan kemahiran teknikal para pegawai LHDNM amat penting agar isu-isu yang diutarakan oleh pembayar cukai dapat diselesaikan secara jelas, teratur dan profesional seterusnya mendokong usaha LHDNM menuju kecemerlangan sebagai pentadbir cukai terunggul yang menyumbang kepada pembangunan negara”.
 
Selain daripada Program DLPP dan CTIP, buat julung-julung kalinya majlis pada hari ini melibatkan penerima Sijil Data Scientist yang telah menjalani Program Latihan Data Analytics. Program latihan ini diwujudkan oleh LHDNM khusus untuk mengkaji gaya dan corak tingkahlaku pembayar cukai bagi meningkatkan penyampaian perkhidmatan kepada pelanggan, serta membantu dalam mengemaskini proses kerja di LHDNM.
 
Majlis Konvokesyen APM ini mula dianjurkan pada tahun 2013 yang lalu sebagai platform untuk meraikan dan menghargai pegawai-pegawai LHDNM yang berjaya menamatkan pengajian mereka. Selaras dengan perkembangan dunia percukaian yang kian mencabar, program-program yang ditawarkan sentiasa dikemaskini modul dan pengisiannya bagi memastikan pegawai-pegawai LHDNM sentiasa cekap dan profesional dalam menjalankan tugas mereka.  Sehingga kini, 1,600 graduan telah berjaya menamatkan pengajian mereka sejak tahun 2013 dan angka ini dijangka akan terus meningkat dari tahun ke tahun.
 
Untuk rekod, APM ditubuhkan oleh LHDNM pada tahun 1994 dan telah menjadi pusat rujukan dan pembelajaran oleh pegawai-pegawai pentadbir cukai dari seantero dunia.  APM juga telah merangka jalinan kerjasama yang erat dengan institusi pendidikan tempatan dan antarabangsa khusus untuk melatih pegawai-pegawai LHDNM dalam memantapkan pengetahuan dan ilmu percukaian untuk mendepani dunia percukaian yang semakin mencabar dan kompleks.
 
Turut hadir bersama-sama dalam majlis ini ialah YBrs. Tuan Syed Hisham bin Syed Mansor, Pengarah APM, Timbalan-Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif LHDNM, Pengarah-Pengarah Kanan LHDNM dan pegawai-pegawai LHDNM.
 
Dikeluarkan oleh:
Bahagian Komunikasi | Pejabat Ketua Pegawai Eksekutif
Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia
23 Julai 2019

Sumber: Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM)

UNTUK MAKLUMAT LANJUT SILA HUBUNGI: 
Tel: 03-8313 8888 samb. 21658 /
21674 / 21695
Faks: 03-8313 7873
Hasil Careline : 1-800-88-5436 (LHDN)
Portal Rasmi : www.hasil.gov.my

--BERNAMA

 
 
 

Copyright @ 2024 MREM . All rights reserved.