ADGSOM1 & ADGMIN1  
       
  LAUNCH OF THE 50TH ANNIVERSARY CELEBRATION OF RUKUN NEGARA  
       
  KL SUMMIT 2019  
       
  HAWANA 2018  
       
  AES 2016  
       

 
 
 

April 24, 2024 -Rabu

 
  TEKS UCAPAN YB DATUK DARELL LEIKING MENTERI PERDAGANGAN ANTARABANGSA DAN INDUSTRI (DIBACA OLEH YBHG. DATO' SRI NORAZMAN AYOB TIMBALAN KETUA SETIAUSAHA (PERDAGANGAN) MITI)

Thursday 21/03/2019



MAJLIS KONVOKESYEN PROGRAM PERANTISAN 2019, 21 MAC 2019 (KHAMIS), 2.15 PETANG, DEWAN PERDANA, MIDA

Terima kasih Pengacara Majlis.
 
Yang Berusaha En. Zabidi Mahbar
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif MIDA
 
Yang Berusaha En. Zainuren bin Hj. Mohd Nor
Pengarah, Bahagian Pendidikan Teknik dan Vokasional
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM)
 
Yang Berusaha Dr. Aruna Binti Ismail@ Abdul Wahab
Pengarah, Sistem Latihan Dual Nasional,
Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK)
 
Yang Berbahagia Dato' Soh Thian Lai
Presiden, Persekutuan Pengilang-Pengilang Malaysia (FMM)
 
Para Graduan,
 
Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,
 
Saya sangat berbesar hati dapat bersama-sama meraikan Majlis Konvokesyen Program Perantisan pada hari ini. Tahniah kepada kesemua 24 orang graduan kumpulan pertama yang telah berjaya menamatkan program perantisan modul Skim Latihan Dual Nasional (SLDN).
 
Tahniah juga diucapkan kepada para ibu bapa dan keluarga yang telah memberi sepenuh dorongan bagi memastikan kejayaan graduan-graduan kita pada hari ini.

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,
 
Pada minggu lepas, saya telah mengumumkan laporan prestasi pelaburan Malaysia bagi tahun 2018.
 
Secara keseluruhan, jumlah pelaburan yang diluluskan dalam sektor perkilangan, perkhidmatan dan utama telah meningkat dari RM200.6 bilion pada 2017 kepada RM201.7 bilion pada 2018.
 
Prestasi sektor perkilangan sangat cemerlang, dimana telah mencatatkan peningkatan pelaburan sebanyak 37.2% iaitu dari RM63.7 bilion pada tahun 2017 kepada RM87.4 bilion pada tahun 2018. Apa yang saya ingin tekankan di sini ialah peningkatan pelaburan akan membawa kepada penambahan peluang pekerjaan berkualiti kepada rakyat Malaysia. Kita menjangkakan apabila semua projek perkilangan ini dilaksanakan, ia akan memberi peluang pekerjaan kepada hampir 60,000 tenaga kerja di negara ini. Dari jumlah tersebut sebanyak 18,000 atau pun 30% adalah dalam kategori teknikal, penyeliaan dan tenaga mahir. Ini jelas menunjukkan peluang pekerjaan bagi graduan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) di Malaysia, sangat cerah.
 
Di bawah Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK11), usaha akan dipergiat untuk menambah baik kualiti TVET dalam meningkatkan kebolehpasaran lepasan TVET. Penekanan akan diberi untuk mengukuhkan TVET sebagai laluan pendidikan pilihan.
 
Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,
 
Revolusi Industri 4.0 yang kini sedang rancak dilaksanakan di seluruh dunia memerlukan semua pihak bertindak pantas bagi meningkatkan tahap teknologi, inovasi dan produktiviti sedia ada.
 
Selaras dengan Dasar Kebangsaan mengenai Industri 4.0 atau Industry4WRD yang telah dilancarkan pada tahun lepas, kerajaan sangat menitikberatkan kesediaan modal insan di dalam negara. Oleh itu, kerajaan terus menggalakkan kerjasama di antara pihak institusi pendidikan dan kemahiran dengan pihak industri bagi memastikan para graduan yang dilahirkan bukan sahaja mempunyai pengetahuan asas tetapi berupaya menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi semasa.
 
Program perantisan ini menjadi antara contoh terbaik kerjasama MIDA-akademia-industri yang diharap dapat melahirkan lebih ramai tenaga kerja berkemahiran tinggi yang mampu memberikan sumbangan besar kepada pembangunan negara.
 
Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,
 
Saya difahamkan bahawa program yang bermula pada tahun 2017 ini melibatkan 5 buah syarikat iaitu Royal Selangor International, Top Glove, Gethi Engineering, Fire Fighter Industry dan YKGI Holdings.
 
Saya sangat gembira apabila mengetahui bahawa program ini akan diperluaskan oleh MIDA ke peringkat nasional dengan sasaran penglibatan lebih daripada 100 buah syarikat dengan 700 orang perantis. Syabas kepada semua pihak yang terlibat di atas komitmen tinggi bagi menjayakan program ini.
 
Majlis hari ini pastinya bukan destinasi terakhir bagi para graduan. Ia hanyalah merupakan permulaan kepada pengembaraan kerjaya yang lebih mencabar yang tentunya bakal menawarkan peluang yang lebih cerah di masa hadapan.
 
All the best to the graduates!
 
Sekian, terima kasih.

Sumber: Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia 
 
UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI: 
Nama: En. Mohamad Ismail Abu Bakar
Pengarah, Bahagian Pengurusan Talent Industri Dan Ekspatriat, MIDA
Tel: 03-2267 6715
Emel: ismail@mida.gov.my 
 
--BERNAMA

 

 
 
 

Copyright @ 2024 MREM . All rights reserved.