ADGSOM1 & ADGMIN1  
       
  LAUNCH OF THE 50TH ANNIVERSARY CELEBRATION OF RUKUN NEGARA  
       
  KL SUMMIT 2019  
       
  HAWANA 2018  
       
  AES 2016  
       

 
 
 

April 26, 2024 -Jumaat

 
  24 PELAJAR BERJAYA MELEPASI PROGRAM PERANTISAN MIDA-KPM-FMM

Thursday 21/03/2019



Fasa kedua bakal bermula pada akhir April 2019
 
KUALA LUMPUR, 21 Mac (Bernama) -- Seramai 24 graduan dari kumpulan pertama Program Perantisan menerima Sijil Kemahiran Malaysia pada majlis konvokesyen yang diadakan di ibu pejabat Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) hari ini. Program ini merupakan hasil kerjasama antara MIDA dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) serta Persekutuan Pengilang-Pengilang Malaysia (FMM).
 
Program Perantisan ini merupakan inisiatif 2 tahun yang mensasarkan pelajar lepasan PT3 (Pentaksiran Tingkatan Tiga). Program ini disesuaikan daripada model latihan TVET Jerman, di mana 70 peratus latihan dijalankan dalam industri manakala 30 peratus selebihnya dijalankan di institusi latihan. Program ini merupakan program pintas yang bertujuan untuk menyediakan pekerja mahir yang boleh diserap terus ke dalam industri.
 
Majlis ini dihadiri oleh Encik Zabidi Mahbar, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif MIDA dan Dato' Sri Norazman Ayob, Timbalan Ketua Setiausaha (Perdagangan), Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) yang mewakili YB Datuk Darell Leiking, Menteri MITI.
 
Dalam ucapan YB Datuk Darell yang dibacakan oleh Dato' Sri Norazman Ayob, "Program Perantisan ini merupakan contoh terbaik inisiatif industri-akademik MIDA bagi menghasilkan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang mampu memberikan sumbangan besar kepada pembangunan negara. Selaras dengan Dasar Kebangsaan mengenai Industri 4.0 atau Industry4WRD yang telah dilancarkan pada tahun lepas, Kerajaan terus menggalakkan kerjasama di antara pihak institusi pendidikan dan kemahiran dengan pihak industri bagi memastikan para graduan yang dilahirkan bukan sahaja mempunyai pengetahuan asas tetapi berupaya menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi semasa. Saya sangat gembira apabila mengetahui bahawa program ini akan diperluaskan oleh MIDA ke peringkat nasional dengan penglibatan lebih daripada 100 buah syarikat dan 700 pelatih.”
 
Program Perantisan siri pertama ini melibatkan lima buah syarikat iaitu Royal Selangor International, Top Glove, Gethi Engineering, Fire Fighter Industry dan YKGI Holdings serta tiga buah kolej vokasional iaitu Kolej Vokasional Setapak, Kolej Vokasional Klang dan Kolej Vokasional Sungai Buloh.
 
Encik Zabidi, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif MIDA yang membacakan ucapan bagi pihak Dato' Azman Mahmud, Ketua Pegawai Eksekutif MIDA berkata, "Ketersediaan tenaga kerja mahir sangat penting dalam mengubah semua sektor ekonomi ke arah aktiviti berintensifkan pengetahuan, mendorong produktiviti pekerja dan menarik pelaburan berkualiti ke Malaysia. Setiap tahun, jumlah projek perkilangan yang diluluskan oleh MIDA terus meningkat. Oleh yang demikian, latihan yang diterajui oleh industri untuk pembangunan kemahiran tenaga kerja tempatan dan kerjasama industri akademik diperlukan untuk memastikan penawaran itu sesuai dengan permintaan industri. Justeru, program ini merupakan ‘game-changer’ bagi melonjakkan agenda TVET kehadapan. Fasa kedua Program Perantisan MIDA-KPM-FMM akan bermula pada akhir April 2019. MIDA menggesa agar lebih banyak syarikat tampil mengambil bahagian bagi mewujudkan lebih banyak peluang penempatan latihan bagi para peserta program."
 
Para graduan ini telah dianugerahkan Sijil Kemahiran Malaysia dalam bidang Pemesinan Industri, Teknologi Elektrikal, Teknologi Elektronik dan Teknologi Kimpalan.
 
Tentang MIDA
MIDA merupakan agensi promosi utama kerajaan di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) untuk menyelia dan memacu pelaburan ke dalam sektor perkilangan dan perkhidmatan di Malaysia. Memulakan operasi pada tahun 1967 dengan hanya 37 kakitangan, MIDA telah berkembang menjadi organisasi yang kukuh dan dinamik dan mempunyai lebih 700 pekerja. Beribu pejabat di Kuala Lumpur Sentral, MIDA hari ini mempunyai 12 pejabat daerah dan 20 pejabat di luar negara. MIDA terus menjadi rakan strategik kepada perniagaan dalam merebut peluang yang muncul daripada revolusi teknologi era ini.
 
Sumber: Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia
 
UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama: En. Mohamad Ismail Abu Bakar
Pengarah, Bahagian Pengurusan Talent Industri Dan Ekspatriat, MIDA
Tel: 03-2267 6715
Emel: ismail@mida.gov.my
 
--BERNAMA

 
 
 

Copyright @ 2024 MREM . All rights reserved.