ADGSOM1 & ADGMIN1  
       
  LAUNCH OF THE 50TH ANNIVERSARY CELEBRATION OF RUKUN NEGARA  
       
  KL SUMMIT 2019  
       
  HAWANA 2018  
       
  AES 2016  
       

 
 
 

April 19, 2024 -Jumaat

 
  MIMOS BANGUNKAN ALTERNATIF UNTUK MRI

Tuesday 19/03/2019



Peranti ringan yang dipakaikan di kepala pesakit dapat mengesan Ketidakmampuan Kognitif Ringan dan Alzheimer dengan menggunakan teknologi fotonik

KUALA LUMPUR, 19 Mac (Bernama) -- Agensi penyelidikan dan pembangunan (R&D) negara, MIMOS, telah mengumumkan kejayaan program penyelidikan mereka yang melibatkan penggunaan teknologi fotonik sebagai alat sokongan untuk pengesanan awal penyakit Alzheimer.

Pasukan penyelidik fotonik di MIMOS telah membangunkan prototaip peranti pengimejan otak yang boleh dipakai yang dikenali sebagai Alzheimer Headband, yang boleh melakukan analisis hemodinamik (analisis aliran darah) pada otak.

Fotonik adalah satu cabang fizik yang dikaitkan dengan aplikasi cahaya (foton), terutama sebagai medium untuk menghantar maklumat.

Dengan menggunakan spektroskopi hampir infra merah fungsian (functional Near Infrared Spectroscopy - fNIRS) sebagai teknologi teras, Alzheimer Headband dijangka menjadi pelengkap penting kepada Pengimejan Resonans Magnetik atau Magnetic Resonance Imaging (MRI) untuk pengesanan awal penyakit Ketidakmampuan Kognitif Rendah (Mild Cognitive Impairment - MCI) dan Alzheimer.

Ketua Pegawai Teknologi MIMOS Thillai Raj berkata MIMOS telah mula mempromosikan aplikasi fNIRS dalam sains neuro, terutamanya untuk kajian kognitif dan pengoksigenan tisu di Malaysia sejak tahun 2014.

Beliau berkata kerja-kerja pembangunan Alzheimer Headband di MIMOS merupakan kajian tentang Alzheimer berasaskan fNIRS yang pertama dijalankan di Malaysia. MIMOS sedang mengadakan penyelidikan bersama dengan Artinis Medical Systems, Belanda, mengenai penggunaan fNIRS dalam kajian kognitif sains neuro untuk penyakit Dementia-Alzheimer.

"Pasukan kami telah menghasilkan satu kaedah baharu mengenai tatacara pengumpulan pensampelan data khusus kepada pesakit Alzheimer di Malaysia dengan menggunakan teknologi fNIRS. Kami juga telah membangunkan tatacara operasi standard untuk penggunaan fNIRS dalam kajian kes Alzheimer," katanya.

Beliau berkata Alzheimer Headband boleh memberikan analisis yang lebih tepat (berbanding piawaian semasa iaitu menggunakan soal selidik) kerana peralatan fNIRS dapat mengukur tahap penyakit Alzheimer untuk mengklasifikasikan tahap atau kategori Dementia.

Beliau berkata MIMOS telah menjalankan kajian klinikal awal yang melibatkan warga emas dari Rumah Seri Kenangan di Cheras di mana para penyelidik telah mengumpulkan data, dengan kelulusan etika yang diperolehi daripada Fakulti Sains Kesihatan, UiTM Puncak Alam; Fakulti Perubatan UiTM Sungai Buloh dan Jabatan Kebajikan Masyarakat di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
 
Selain daripada UiTM, MIMOS juga bekerjasama dengan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dalam penggunaan fNIR untuk pengimejan otak.

"Oleh sebab Alzheimer Headband mudah dibawa, fleksibel, mudah digunakan dan berkos rendah, alat ini berpotensi digunakan sebagai alternatif kepada MRI untuk pemeriksaan awal MCI," kata Thillai Raj.

Tambahnya lagi, MIMOS sedang mencari rakan kongsi yang berminat untuk terus membangunkan sistem itu.

Penyakit Alzheimer adalah keadaan di mana pesakit mengalami kehilangan ingatan kerana kerosakan sel otak. Keadaan ini sering dikaitkan dengan golongan tua.

Untuk mengesan keluarbiasaan di dalam otak, teknik pengimejan seperti MRI, imbasan tomografi berkomputer (CT scan), dan electroencephalogram (EEG) merupakan kaedah-kaedah yang biasa digunakan oleh doktor dan pakar neurologi.

Pembangunan Alzheimer Headband adalah sebahagian daripada inisiatif MIMOS dalam bidang teknologi perubatan dan penjagaan kesihatan, yang juga melibatkan penyelidikan dalam aplikasi pergigian serta penyakit-penyakit kronik seperti diabetes, hipertensi dan penyakit degeneratif neuro.

Untuk maklumat lanjut mengenai produk ini, hantarkan e-mel kepada pasukan penyelidik fotonik MIMOS di alamat zalhan.yusof@mimos.my.
 
Tentang Alzheimer Headband MIMOS
MIMOS Alzheimer Headband adalah peranti boleh dipakai yang diletakkan di dahi pesakit untuk memantau pengoksigenan darah yang berkaitan dengan fungsi otak. Peranti ini mempunyai empat pemegang optik dengan 16 saluran optik, yang menghantar isyarat ke komputer melalui Bluetooth dan WiFi. Sifat ringan dan fleksibel peranti ini membolehkan pengguna bergerak dengan lebih bebas semasa proses pengimejan dijalankan, justeru menjadikannya ideal untuk digunakan pada orang dewasa, kanak-kanak dan bayi.
 
Tentang MIMOS
MIMOS adalah pusat Penyelidikan dan Pembangunan Gunaan nasional Malaysia.  Sebagai sebuah agensi strategik di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), MIMOS menyumbang ke arah mentransformasi industri tempatan menerusi produk, penyelesaian dan platform teknologi yang dipatenkan.  Dalam jangkamasa 12 tahun terakhir ini, MIMOS telah memfailkan lebih daripada 2,000 Harta Intelek dalam pelbagai bidang teknologi dan merentasi sektor-sektor sosio-ekonomi utama negara.  Mendukung peranan teras dalam kembara transformasi dan wawasan ICT negara, MIMOS beriltizam mewujudkan suatu budaya inovasi dengan memupuk jalinan antara pemegang-pemegang kepentingan dalam semangat perkongsian pintar dan model pertumbuhan menyeluruh.

Sumber: MIMOS Berhad

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama: Laurence Sebastian
Tel: +603 8995 5000 / +601 9236 4938
Emel: laurence@mimos.my
 
Laman sesawang: www.mimos.my

--BERNAMA

 
 
 

Copyright @ 2024 MREM . All rights reserved.