ADGSOM1 & ADGMIN1  
       
  LAUNCH OF THE 50TH ANNIVERSARY CELEBRATION OF RUKUN NEGARA  
       
  KL SUMMIT 2019  
       
  HAWANA 2018  
       
  AES 2016  
       

 
 
 

April 25, 2024 -Khamis

 
  ISU MINUMAN DALAM TIN KITAR SEMULA

Wednesday 05/12/2018



KUALA LUMPUR, 5 Dis (Bernama) -- Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil maklum mengenai isu minuman dalam tin kitar semula yang tular di media sosial. Isu ini timbul apabila sebuah kedai makan di Pulau Pinang dipercayai menghidangkan minuman kepada pelanggan menggunakan bekas tin susu (krimer manis) yang dikitar semula. 
 
Penggunaan tin bekas susu dan tin-tin lain yang dikitar semula bagi tujuan penyediaan minuman boleh memberikan risiko kepada pengguna. Kebersihan tin kitar semula adalah diragui kerana sukar dibersihkan dengan sempurna disebabkan rekabentuk tin tersebut dan kemungkinan terdapat permukaan tin yang kemek. Di samping itu, ia boleh mencederakan pengguna semasa minum disebabkan permukaan tin yang tajam. 
 
Peraturan 27, Peraturan-Peraturan Makanan 1985 melarang penggunaan apa-apa bungkusan yang boleh mengeluarkan bahan beracun, merosakkan atau mencacatkan atau yang membantu dalam pemerosotan kualiti makanan. Di bawah Seksyen 13, Akta Makanan 1983, sesiapa yang menyedia atau menjual apa-apa makanan yang di dalamnya mengandungi bahan yang memudaratkan kesihatan adalah melakukan kesalahan dan jika sabit kesalahan, boleh dijatuhi hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi sepuluh (10) tahun atau kedua-duanya.
 
Sehubungan itu, KKM menasihatkan supaya orang ramai khususnya peniaga makanan menghentikan penggunaan tin yang dikitar semula dalam penyediaan minuman kerana tin tersebut bukan bertujuan untuk penghidangan minuman. Peniaga hendaklah menggunakan bekas minuman yang bersesuaian dengan jenis minuman yang hendak dihidangkan bagi mengelakkan pencemaran makanan dan bahaya kepada kesihatan.
 
KKM sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara-perkara yang boleh mengancam kesihatan pengguna. Sekiranya pengguna mempunyai sebarang kemusykilan berhubung sebarang isu keselamatan makanan, pengguna boleh menghubungi Jabatan Kesihatan Negeri atau Pejabat Kesihatan Daerah/Bahagian/Kawasan yang terdekat atau pengguna boleh menghubungi KKM melalui laman web  atau laman facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM)  www.facebook.com/bkkmhq.
 
DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULLAH
KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA
5 DISEMBER 2018

Sumber: Kementerian Kesihatan Malaysia

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama: BAHARUDIN BIN MOHAMAD
Pegawai Perhubungan Awam
Tel: 03-88834536 / 017-2635008
Faks: 03-88886187 

--BERNAMA

 
 
 

Copyright @ 2024 MREM . All rights reserved.