ADGSOM1 & ADGMIN1  
       
  LAUNCH OF THE 50TH ANNIVERSARY CELEBRATION OF RUKUN NEGARA  
       
  KL SUMMIT 2019  
       
  HAWANA 2018  
       
  AES 2016  
       

 
 
 

Mac 29, 2024 -Jumaat

 
  JANGAN ABAIKAN SURAT ATAU E-MEL DARIPADA LHDNM BERKENAAN PROGRAM KHAS PENGAKUAN SUKARELA

Wednesday 05/12/2018



KUALA LUMPUR, 5 Dis (Bernama) -- Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) ingin menasihatkan pembayar cukai agar tidak mengabaikan surat atau e-mel Makluman Program Khas Pengakuan Sukarela yang mereka terima.
 
Program Khas Pengakuan Sukarela yang telah diumumkan oleh Menteri Kewangan melalui pembentangan Belanjawan 2019 merupakan sebahagian daripada inisiatif kerajaan dalam melakukan reformasi percukaian bagi menggalakkan pembayar cukai tampil secara sukarela mengisytiharkan pendapatan dan seterusnya berupaya mengurangkan ketirisan hasil negara.
 
Sebagai usaha memberikan kesedaran kepada rakyat mengenai program ini, LHDNM sedang dalam proses menghantar surat dan e-mel kepada lebih 8.3 juta pembayar cukai yang berdaftar dengan LHDNM.
 
Di antara kriteria pembayar cukai yang akan menerima surat atau e-mel berkenaan ialah seperti berikut:

i. Pembayar cukai berdaftar tetapi dikesan belum pernah mengemukakan Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP);
ii. Pembayar cukai berdaftar tetapi gagal mengemukakan BNCP secara teratur (terdapat BNCP bagi mana-mana tahun taksiran yang gagal dikemukakan);
iii. Pembayar cukai berdaftar yang telah mengemukakan BNCP tetapi dikesan mempunyai isu pematuhan cukai seperti keraguan amaun pendapatan (terkurang isytihar pendapatan) atau keraguan amaun perbelanjaan dan pelepasan cukai yang dituntut (terlebih tuntut).
 
Sehubungan itu, pembayar cukai yang menerima surat atau e-mel Program Khas Pengakuan Sukarela ini hendaklah mengambil tindakan segera dengan membuat semakan terhadap rekod percukaian mereka dan mengisytiharkan semua pendapatan serta perbelanjaan yang betul dalam tempoh tawaran program ini (3 November 2018 sehingga 30 Jun 2019) bagi melayakkan mereka menikmati pengenaan kadar penalti yang rendah iaitu hanya 10% dan 15% atas amaun cukai yang kena dibayar. Pengakuan sukarela yang dibuat oleh mereka dalam tempoh program ini juga akan diterima secara suci hati tanpa pertanyaan lanjut daripada pihak LHDNM.
 
Selepas tempoh program ini tamat iaitu mulai 1 Julai 2019 pemeriksaan lanjut boleh diambil oleh LHDNM melalui tindakan audit atau siasatan dan penalti yang tinggi antara 80% hingga 300% akan dikenakan.
 
Dalam dunia yang mengaplikasikan teknologi tinggi pada masa ini serta kerjasama pertukaran maklumat dengan pelbagai agensi termasuklah dengan pihak berkuasa cukai antarabangsa, LHDNM memiliki kemampuan untuk mengesan kegagalan pembayar cukai membuat pengisytiharan pendapatan yang betul.

Elak sindiket penipuan
 
Bagi mengelakkan terjebak dengan sebarang sindiket penipuan yang mungkin mengambil kesempatan terhadap pelaksanaan program ini, pembayar cukai yang menerima surat atau e-mel makluman program tersebut boleh mendapatkan pengesahan lanjut terlebih dahulu dengan cara:

i. Mengunjungi Pejabat LHDNM yang berhampiran;
ii. Menghubungi Hasil Careline LHDNM di talian 1-800-88-5436 atau 603-7713 6666 (Luar Negara); atau
iii. Menghantar e-Mel pertanyaan kepada: pengakuansukarela@hasil.gov.my 

Dikeluarkan oleh:
Bahagian Komunikasi | Pejabat Ketua Pegawai Eksekutif


SUMBER : Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) 

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:

Tel : 03-8313 8888 samb. 21658 / 21674 
Faks : 03-8313 7873
Hasil Care Line : 1-800-88-5436 (LHDN)
Portal Rasmi : www.hasil.gov.my 

--BERNAMA

 
 
 

Copyright @ 2024 MREM . All rights reserved.