ADGSOM1 & ADGMIN1  
       
  LAUNCH OF THE 50TH ANNIVERSARY CELEBRATION OF RUKUN NEGARA  
       
  KL SUMMIT 2019  
       
  HAWANA 2018  
       
  AES 2016  
       

 
 
 

April 27, 2024 -Sabtu

 
  PELANTIKAN TETAP PEGAWAI FARMASI GRED UF41 DI KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Monday 03/12/2018



KUALA LUMPUR, 3 Dis (Bernama) -- Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil maklum akan isu yang dibangkitkan di media sosial mengenai pelaksanaan pelantikan tetap bagi Pegawai Farmasi Gred UF41 (contract of service) yang sedang menjalani latihan siswazah atau khidmat wajib. Pada tahun 2016, Kerajaan memutuskan untuk melantik Pegawai Farmasi Gred UF41 secara contract of service bagi membolehkan calon menjalani latihan siswazah dan khidmat wajib bagi tujuan mendapatkan pendaftaran penuh daripada Lembaga Farmasi Malaysia (LFM) yang menjadikan syarat untuk mengamal di sektor swasta dan Kerajaan. Pelantikan secara kontrak ini dibuat berikutan perjawatan tetap sedia ada di KKM tidak lagi dapat menampung jumlah graduan yang menyebabkan tempoh menunggu yang lama untuk menjalani latihan siswazah dan khidmat wajib.

Seorang graduan farmasi perlu terlebih dahulu menjalani latihan siswazah selama satu (1) tahun di premis latihan yang tersenarai di dalam Jadual Kedua, Akta Pendaftaran Ahli Farmasi 1951 sebelum mendapat pendaftaran penuh daripada LFM. Sejurus selepas tamat latihan siswazah, LFM akan mengemukakan notis (khidmat wajib) kepada pegawai untuk berkhidmat selama satu (1) tahun.

Pada dasarnya Kerajaan tidak mempunyai obligasi menyerap kesemua Pegawai Farmasi yang tamat latihan siswazah/ khidmat wajib untuk terus berkhidmat dengan Kerajaan. Walau bagaimanapun bagi menampung keperluan semasa Pegawai Farmasi di fasiliti/ hospital Kerajaan, hanya sebahagian yang akan dilantik tetap setelah Pegawai Farmasi berkenaan menamatkan latihan siswazah, tertakluk kepada kekosongan jawatan.

Sebagai makluman, pemilihan bagi lantikan tetap ini telah melalui beberapa syarat dan kriteria yang telah diluluskan oleh pihak Kementerian. Pertimbangan lantikan tetap ini juga mengambil kira syarat skim selaras dengan Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 1 Tahun 2016 – Rasionalisasi Skim Perkhidmatan Bagi Perkhidmatan Awam Persekutuan di bawah Sistem Saraan Malaysia, Surat Pekeliling Ketua Setiausaha KKM Bil. 4/2016 dan syarat khusus Program Farmasi, KKM. Pegawai dinilai dari aspek teknikal dan kompetensi melalui Buku Log Provisionally Registered Pharmacist (PRP), Laporan Penilaian Prestasi Tahunan (LNPT) dan personal assessment. Penilaian ini dilakukan oleh beberapa pegawai penilai yang berbeza, sepanjang tempoh latihan siswazah/ khidmat wajib.

Seterusnya penilaian tersebut dipertimbangkan oleh Jawatankuasa Pemilihan Pegawai Farmasi Lantikan Tetap yang ditubuhkan bagi menentukan penilaian dan kelayakan untuk pelantikan tetap sebelum ianya diluluskan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA). Kementerian telah memutuskan untuk melantik tetap hanya bakat terbaik dengan berdasarkan kepada kekosongan jawatan di KKM.

Bagi pegawai kontrak yang tidak dilantik tetap, pegawai akan menghabiskan baki tempoh satu (1) tahun kontrak bagi menyempurnakan latihan siswazah atau khidmat wajib sebelum pegawai dilepaskan untuk mengamal di luar (swasta). Pegawai Farmasi yang telah dilepaskan berpeluang berkhidmat di sektor swasta sebagai Ahli Farmasi yang memegang Lesen Racun Jenis A dalam bidang-bidang seperti Farmasi Komuniti, Hospital dan Pusat Penjagaan Kesihatan Swasta, industri pengilangan, pengimportan dan pengeksportan. Selain itu, pegawai tersebut juga boleh berkhidmat dalam bidang pendidikan dan penyelidikan sama ada di sektor swasta atau badan-badan berkanun.

Kementerian sentiasa bersikap telus dan terbuka dalam menerima pandangan terhadap isu yang dibangkitkan. Kaedah pengambilan ini akan terus ditambah baik berdasarkan maklum balas dan dasar Kerajaan dalam pengambilan penjawat awam dari semasa ke semasa. Semoga dengan pemakluman ini dapat menjelaskan isu-isu berbangkit mengenai pelaksanaan pelantikan tetap bagi Pegawai Farmasi Gred UF41 (contract of service) di KKM.

YB DATUK SERI DR. DZULKEFLY AHMAD
Menteri Kesihatan Malaysia


SUMBER : Kementerian Kesihatan Malaysia

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama : Khairul Nizawati binti Amat Mustajab
Penolong Pegawai Perhubungan Awam
Seksyen Media Massa
Unit Komunikasi Korporat
Kementerian Kesihatan Malaysia
Tel : 03-8883 3675/019-3265122

--BERNAMA



 
 

 
 
 

Copyright @ 2024 MREM . All rights reserved.