ADGSOM1 & ADGMIN1  
       
  LAUNCH OF THE 50TH ANNIVERSARY CELEBRATION OF RUKUN NEGARA  
       
  KL SUMMIT 2019  
       
  HAWANA 2018  
       
  AES 2016  
       

 
 
 

Mac 29, 2024 -Jumaat

 
  KENYATAAN AKHBAR YB DATUK SERI DR. DZULKEFLY AHMAD MENTERI KESIHATAN MALAYSIA SEMPENA HARI AIDS SEDUNIA 2018 01 DISEMBER 2018

Saturday 01/12/2018



KUALA LUMPUR, 1 Dis (Bernama) -- Hari AIDS Sedunia disambut setiap tahun pada 01 Disember 2018 di seluruh dunia bagi meningkatkan kesedaran mengenai jangkitan HIV dan langkah-langkah pencegahan serta rawatan ke arah mengakhiri AIDS pada tahun 2030. Pada masa yang sama, ia juga menjadi platform untuk semua pihak memperbaharui komitmen dan tekad bagi mempergiatkan usaha bersama dalam menangani jangkitan HIV/AIDS. 
 
Lebih tiga (3) dekad negara mengembeling usaha dalam mengawal jangkitan HIV/AIDS. Dalam tempoh ini banyak kejayaan telah dilakarkan. Malaysia pernah mencatat angka tertinggi bilangan kes HIV baru dikesan pada tahun 2002 iaitu sebanyak 6,978 kes. Kini, pada penghujung tahun 2017, negara menyaksikan penurunan lebih 60% atau sebanyak 3,347 kes.
 
Perlaksanaan program ‘Pengurangan Mudarat’ (harm reduction) pada tahun 2005 telah berjaya menangani punca jangkitan HIV utama iaitu melalui penagihan dadah suntikan dari 66% kepada hanya 3.4% di antara tahun 2005 dan 2017. Pada 08 Oktober 2018, Malaysia telah melakar sejarah sebagai negara pertama di rantau Asia Pasifik Barat dan negara ke 12 di dunia yang telah berjaya  memperolehi pensijilan validasi eliminasi jangkitan HIV dan sifilis dari ibu-ke-anak. Pengiktirafan ini menandakan negara telah mencapai satu tahap kesihatan yang amat membanggakan di mana jangkitan HIV dan sifilis dari ibu-ke-anak tidak lagi menjadi ancaman kesihatan awam yang utama.
 
Walau pun kita telah memperolehi pencapaian yang amat membanggakan, ini tidak bermakna kita boleh merasa lega dan meneruskan usaha seperti sebelum ini atau “business as usual”. Epidemik HIV di negara ini kini berhadapan dengan transmisi seksual sebagai punca utama jangkitan HIV. Walaupun secara amnya bilangan kes baru HIV telah menurun tetapi kadar jangkitan melalui transmisi seksual telah meningkat dari 33% kepada 91% di antara tahun 2007 dan 2017. Jika perkara ini tidak dibendung segera, dikhuatiri bilangan kes baru HIV akan meningkat semula dan menggagalkan matlamat negara untuk mengakhiri AIDS pada tahun 2030.
 
Justeru, aktiviti - aktiviti pencegahan, kawalan dan rawatan sedia ada seperti saringan HIV, pendidikan pencegahan, amalan pencegahan jangkitan yang berkesan khususnya kepada kumpulan berisiko tinggi seperti penggunaan alat suntikan yang bersih dan kondom serta rawatan antiretroviral (ARV) dan methadone mesti terus dipertingkatkan bagi memastikan jangkitan baru HIV dapat terus dibendung.
 
Hari AIDS Sedunia tahun ini disambut dengan tema “Ketahui Status, Dapatkan Rawatan”. Ini adalah sejajar dengan usaha Kementerian untuk mengakhiri AIDS pada tahun 2030 dengan memastikan sekurang-kurangnya 95% mereka yang hidup dengan HIV mengetahui status mereka, 95% menerima rawatan ARV dan 95% yang menerima rawatan memiliki kualiti kehidupan yang baik. Bukti-bukti saintifik menunjukkan rawatan ARV bukan sahaja dapat mengurangkan kematian berkaitan HIV dan AIDS tetapi juga mengurangkan transmisi jangkitan HIV melalui seksual sebanyak 97%. 
 
Justeru, sempena sambutan Hari AIDS Sedunia ini, saya menyeru masyarakat terutamanya mereka dari kalangan populasi berisiko utama (key population) untuk tampil menjalani ujian saringan bagi mengetahui status HIV mereka dan seterusnya mendapatkan rawatan ARV tanpa berlengah. Kerajaan telah menyediakan rawatan ARV percuma di semua fasiliti kesihatan kerajaan membuktikan komitmen untuk memellihara kesihatan orang yang hidup dengan HIV serta membendung jangkitan HIV. Adalah menjadi harapan saya agar masyarakat dapat menggunakan kesempatan ini untuk memperkasakan pengetahuan dan kesedaran mengenai HIV/AIDS ini bagi mencegah jangkitan HIV/AIDS.
 
Kerajaan pada dasarnya akan terus menerajui kepimpinan dan memberikan komitmen dalam menangani HIV/AIDS. Namun dalam merealisasikan agenda negara untuk mengakhiri AIDS pada tahun 2030, komitmen dan kolaborasi pelbagai pihak dan agensi – Kerajaan, bukan Kerajaan, swasta, korporat dan sebagainya adalah amat penting. Saya berharap ‘Hari AIDS Sedunia’ ini akan dapat mengeratkan dan memantapkan kerjasama pintar dan komitmen ini ke arah satu matlamat, akhiri AIDS menjelang 2030.
 
Sekian, terima kasih
 
DATUK SERI DR. DZULKEFLY AHMAD
Menteri Kesihatan Malaysia
Kementerian Kesihatan Malaysia
01 Disember 2018

Sumber: Kementerian Kesihatan Malaysia 

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama: Khairul Nizawati binti Amat Mustajab
Penolong Pegawai Perhubungan Awam
Seksyen Media Massa
Unit Komunikasi Korporat
Kementerian Kesihatan Malaysia
Tel: 03-8883 3675 / 019-3265122

--BERNAMA

 
 
 

Copyright @ 2024 MREM . All rights reserved.