ADGSOM1 & ADGMIN1  
       
  LAUNCH OF THE 50TH ANNIVERSARY CELEBRATION OF RUKUN NEGARA  
       
  KL SUMMIT 2019  
       
  HAWANA 2018  
       
  AES 2016  
       

 
 
 

April 25, 2024 -Khamis

 
  STATUS TERKINI KEJADIAN KERACUNAN MAKANAN DI KEDAH, PERAK DAN SELANGOR PADA 11 OKTOBER 2018

Friday 12/10/2018



KUALA LUMPUR, 12 Okt (Bernama) -- Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan status terkini kejadian keracunan makanan (KRM) yang disyaki berpunca dari memakan laksa yang dibeli dari premis di Kupang, Baling Kedah seperti yang dilaporkan dalam kenyataan akhbar sebelum ini.  Berbanding laporan sebelum ini pada 9 Oktober 2018, terdapat 19 kes baharu [satu (1) di Kedah, 15 di Perak dan tiga (3) di Selangor]. Ini menjadikan jumlah keseluruhan 80 kes termasuk dua (2) kematian; dengan pecahan 31 kes di Perak [termasuk dua (2) kes kematian], 25 kes di Kedah dan 24 kes di Selangor. Daripada jumlah tersebut, hanya sembilan (9) kes masih berada di hospital dan semuanya dalam keadaan stabil. 

Setakat ini, sebanyak 10 sampel makanan telah dihantar ke makmal untuk ujian termasuk empat (4) sampel mi laksa, empat (4) sampel kuah laksa dan dua (2) sampel bahan campuran salad untuk laksa. Pihak KKM masih menunggu keputusan sepenuhnya ujian-ujian tersebut. Punca sebenar bagi kejadian keracunan makanan ini masih lagi dalam siasatan.

KKM sekali lagi ingin menasihatkan orang ramai untuk mendapatkan rawatan segera jika mengalami gejala keracunan makanan. Tatacara keselamatan makanan perlu dititik beratkan oleh semua pengendali makanan dan orang awam. Makanan mesti dimakan tidak lebih dari empat (4) jam selepas penyediaannya. Sekiranya ia perlu disimpan, hendaklah di dalam suhu yang sesuai dan dipanaskan dengan suhu yang mencukupi bagi mengelakkan keracunan makanan. 
 
Orang ramai juga perlu sentiasa mengamalkan keselamatan makanan dengan memilih premis makanan yang bersih untuk membeli makanan, serta mengamalkan konsep ‘lihat, hidu dan rasa’ sebelum makan untuk mengelakkan memakan makanan yang telah basi. Orang ramai juga dinasihatkan agar sentiasa mengamalkan kebersihan diri dan membasuh tangan sebelum makan dan selepas menggunakan tandas.
 
DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULLAH
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia
11 Oktober 2018

Sumber:  Kementerian Kesihatan Malaysia

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama: BAHARUDIN BIN MOHAMAD
Pegawai Perhubungan Awam
Unit Komunikasi Korporat
Kementerian Kesihatan Malaysia
Tel: 03-88834536 / 017-2635008
Faks: 03-88886187

--BERNAMA

 
 
 

Copyright @ 2024 MREM . All rights reserved.