PIPOC 2007  
       
  LANGKAWI INTERNATIONAL DIALOGUE  
       
  IKIM :THE ROLE OF ISLAMIC  
       
  KL OIC HEALTH  
       
  PERAK ROYAL EVENT  
       
  DEVELOPING 8 (D8) MINISTERS MEETING ON FOOD SECURITY  

 
 
 

Oktober 22, 2018 -Isnin

 
  MALAYSIA MENERIMA PENGIKTIRAFAN PERTUBUHAN KESIHATAN SEDUNIA DENGAN PERSIJILAN VALIDASI ELIMINASI JANGKITAN HIV DAN SIFILIS DARI IBU-KE-ANAK

Monday 08/10/2018



KUALA LUMPUR, 8 Okt (Bernama) -- Pada hari ini, Malaysia telah melakar sejarah sebagai negara pertama di Rantau Pasifik Barat yang berjaya memperolehi persijilan validasi eliminasi jangkitan HIV dan Sifilis dari ibu-ke-anak (elimination of mother-to-child transmission of HIV and syphilis – eMTCT). Sijil eliminasi tersebut telah diserahkan oleh Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (World Health Organization, WHO), Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus kepada saya selaku Menteri Kesihatan Malaysia di Manila pada 8 Oktober 2018 sempena Mesyuarat Jawatankuasa serantau WHO bagi Asia-Pasifik.

Kejayaan ini juga bermakna Malaysia merupakan negara kedua belas di dunia yang telah berjaya mendapat sijil validasi eMTCT daripada badan berkenaan. Pengiktirafan yang diberikan ini menandakan Malaysia telah mencapai satu tahap kesihatan yang amat membanggakan di mana jangkitan HIV dan sifilis melalui transmisi ibu-ke-anak (jangkitan vertikal) tidak lagi menjadi ancaman kesihatan awam yang utama.

Jangkitan HIV melalui transmisi ibu-ke-anak adalah merupakan penyebab utama jangkitan HIV di kalangan kanak-kanak. Tanpa intervensi, antara 30% hingga 45% kanak-kanak yang dilahirkan oleh ibu HIV positif akan mendapat jangkitan semasa di dalam kandungan, semasa proses kelahiran atau melalui penyusuan ibu.

Bagi mengatasi masalah tersebut, Kementerian Kesihatan Malaysia telah melaksanakan program pencegahan jangkitan melalui transmisi ibu-ke-anak (Prevention of mother-to-child transmission – PMTCT) sebagai projek rintis pada tahun 1997 dan diperluaskan seluruh negara pada tahun 1998. Program ini meliputi ujian saringan universal kepada semua ibu mengandung dan rawatan diberi kepada ibu HIV positif dan bayi mereka. Bagi memastikan bayi terus dilindungi dari jangkitan menerusi penyusuan ibu, kerajaan juga telah memberikan susu formula gantian susu ibu secara percuma untuk tempoh 2 tahun.

Bagi ibu mengandung yang dijangkiti sifilis pula, jika tidak dirawat boleh mengakibatkan lebih 50% bayi mengalami kesan buruk seperti sifilis kongenital (congenital syphilis), kematian janin, kelahiran pra-matang, bayi kurang berat (low birth weight), kelahiran mati (stillbirth), komplikasi jangkitan serta kematian neonatal. Bagi memastikan bayi dilahirkan bebas dari kesan buruk akibat sifilis, kerajaan telah memulakan saringan sifilis universal kepada ibu mengandung sejak tiga dekad yang lalu di mana ibu yang dijangkiti serta bayi mereka diberi rawatan dan jagaan yang khusus.

Perlaksanaan program PMTCT HIV dan sifilis ini telah berjaya menurunkan kadar jangkitan transmisi HIV dari ibu-ke-anak kepada kurang 2% pada tahun 2016 iaitu menepati indikator yang ditetapkan untuk status eliminasi. Manakala transmisi jangkitan sifilis dari ibu-ke-anak pula sentiasa rendah dengan bilangan kes sifilis kongenital dilaporkan di bawah 50 kes per 100,000 kelahiran hidup iaitu indikator eliminasi. Pada tahun 2016, Malaysia mencatat bilangan sifilis kongenital sebanyak 4 kes sahaja bagi setiap 100,000 kelahiran hidup.

Kejayaan ini dicapai hasil perkhidmatan ibu dan anak (maternal and child health services) yang cemerlang di Malaysia di mana:

Lebih 95% ibu mengandung hadir ke klinik untuk pemeriksaan dan jagaan antenatal sekurang-kurangnya sekali;
Lebih 95% ibu mengandung telah menjalani saringan HIV dan sifilis;
Lebih 95% ibu HIV positif telah menerima rawatan antretroviral; dan
Kesemua (100%) ibu yang dikesan mengidap sifilis telah menerima rawatan yang sesuai

WHO amat menggalakkan negara-negara untuk mencapai eMTCT untuk tiga penyakit berjangkit iaitu HIV, sifilis dan Hepatitis B. Pencapaian Malaysia dalam eMTCT bagi dua penyakit iaitu HIV dan sifilis adalah pemangkin bagi negara untuk meneruskan eMTCT bagi Hepatitis B. Beberapa buah negeri di Malaysia akan memulakan saringan Hepatitis B di kalangan ibu mengandung secara rintis dan akan diperluaskan ke seluruh negara secara berperingkat. Negara yakin dan komited untuk mencapai eMTCT bagi Hepatitis B pula selepas ini.

Saya juga menerima ucapan tahniah dari Dr. Ying-Ru Lo, wakil WHO bagi Brunei, Malaysia dan Singapura seperti kenyataan beliau di bawah:

“I congratulate Malaysia for its achievements. Malaysia's success in ensuring babies born free of HIV and syphilis is an indication of a health care system that truly provides health care to those in need. With this strong foundation in place I am confident that health care will remain accessible to all and sustainable for future generations”

Saya berharap sokongan padu WHO dapat diteruskan bagi Malaysia untuk mencapai eMTCT Hepatitis B pada masa terdekat.

YB DR DZULKEFLY AHMAD
MENTERI KESIHATAN MALAYSIA
8 OKTOBER 2018

Sumber : Kementerian Kesihatan Malaysia

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama : Puan Khairul Nizawati binti Amat Mustajab
Tel : 019-3265122

--BERNAMA

 
 
 

Copyright @ 2018 MREM . All rights reserved.