PIPOC 2007  
       
  LANGKAWI INTERNATIONAL DIALOGUE  
       
  IKIM :THE ROLE OF ISLAMIC  
       
  KL OIC HEALTH  
       
  PERAK ROYAL EVENT  
       
  DEVELOPING 8 (D8) MINISTERS MEETING ON FOOD SECURITY  

 
 
 

Disember 14, 2018 -Jumaat

 
  ISU PENARIKAN SEMULA PRODUK ICEBERG LETTUCE KELUARAN MALAYSIA DARI PASARAN SINGAPURA

Sunday 07/10/2018



KUALA LUMPUR, 7 Okt (Bernama) -- Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil maklum mengenai isu penarikan balik produk iceberg lettuce keluaran Malaysia dari pasaran Singapura di laman sesawang Agri-Food & Veterinary Authority (AVA) bertarikh 4 Oktober 2018. Laporan tersebut menyatakan pihak AVA telah mengarahkan produk lettuce berjenama Pasar dan Iceberg keluaran Malaysia dengan berat 400 gram setiap produk ditarik balik dari pasaran Singapura kerana dikesan tercemar dengan bahan kimia fipronil.

Fipronil adalah sejenis racun serangga yang biasanya digunakan ke atas haiwan untuk mengatasi masalah kutu dan hama. Pengambilan fipronil pada paras yang tinggi dalam jangka masa pendek boleh menyebabkan berpeluh, loya, muntah, sakit kepala, sakit perut, pening, resah, lemah dan kekejangan.

Hasil pemantauan KKM melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan dari tahun 2017 sehingga Julai 2018, sebanyak 5,297 sampel sayur-sayuran dan buah-buahan telah diambil di pasaran tempatan dan di pintu masuk negara bagi yang diimport untuk dianalisis. Hasil analisis mendapati sebanyak 97 (1.8%) sampel dikesan mengandungi residu racun perosak melebihi kadar maksimum yang dibenarkan dan tindakan penguatkuasaan telah dijalankan.

Bagi isu penjualan lettuce ini, KKM telah menjalankan siasatan dan mengesahkan bahawa produk lettuce terlibat dijual di pasaran tempatan dengan jenama Vege 2 Fresh. Sehubungan itu, syarikat terlibat sedang menarik balik produk secara sukarela dari pasaran. Manakala pihak penjual diminta untuk menghentikan penjualan produk tersebut serta-merta. Pengguna yang telah membeli produk tersebut dinasihatkan supaya tidak memakannya.

KKM akan terus meningkatkan pemantauan ke atas sayur-sayuran di pasaran tempatan dan di pintu masuk negara bagi memastikan pematuhan ke atas perundangan makanan.

Di bawah Seksyen 13, Akta Makanan 1983 telah menetapkan bahawa mana-mana orang yang menyediakan atau menjual apa-apa makanan yang ada dalam atau padanya apa-apa bahan yang beracun, merosakkan atau selainnya memudaratkan kesihatan adalah melakukan kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali.

KKM sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara-perkara yang boleh mengancam kesihatan pengguna. Sekiranya pengguna mempunyai sebarang kemusykilan berhubung sebarang isu keselamatan makanan, pengguna boleh menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat atau melalui laman sesawang http://moh.spab.gov.my atau facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) www.facebook.com/bkkmhq.

Sekian, terima kasih.

DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULLAH
KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA
6 Oktober 2018
 
SUMBER : Kementerian Kesihatan Malaysia

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama : Nor Suzaman Abdul Rahman
Tel : 03-8883 3470 / 013-399 7025
Emel : n.suzaman@moh.gov.my

--BERNAMA

 
 
 

Copyright @ 2018 MREM . All rights reserved.