ADGSOM1 & ADGMIN1  
       
  LAUNCH OF THE 50TH ANNIVERSARY CELEBRATION OF RUKUN NEGARA  
       
  KL SUMMIT 2019  
       
  HAWANA 2018  
       
  AES 2016  
       

 
 
 

April 26, 2024 -Jumaat

 
  TEKAM SAMBUT USAHA KERAJAAN TUBUH SISTEM BAHARU BAGI PEREKRUTAN PEKERJA ASING

Friday 17/08/2018



KUALA LUMPUR, 17 Ogos (Bernama) -- TEKAM - PERSATUAN PEMBEKAL & PENGURUSAN TENAGA KERJA ASING MALAYSIA – berhasrat untuk bekerjasama dengan kerajaan dalam mencari penyelesaian dan menambah baik peranannya dalam perekrutan pekerja asing ke negara ini.
 
Presiden TEKAM Dato’ Megat Fairouz Junaidi Tan Sri Megat Junid menyambut baik pengumuman kerajaan untuk menubuhkan sistem tunggal bagi pengambilan pekerja asing tanpa pengasingan negara dia berkata: “Kami berminat untuk mengetahui dan menyertai sistem baharu itu. Kami menyambut baik perancangan itu dan bersedia untuk menjayakannya daripada aspek kemasukan sehingga penghantaran pulang pekerja asing yang sah dan terlatih.”
 
“Kami menyokong polisi kerajaan baharu untuk mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing dan bersedia untuk melengkapi dan menambah baik usaha baharu kerajaan dalam mencapai objektif ini.”
 
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad juga mengumumkan pada 14 Ogos berkenaan penubuhan gabungan jawatankuasa menteri antara Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Sumber Manusia serta jawatankuasa bebas yang dipengerusikan sama ada oleh pegawai tertinggi kerajaan, bekas hakim atau ketua setiausaha dibawah Institut Maklumat dan Analisis Pasaran Buruh (ILMIA).
 
TEKAM ditubuhkan pada 2006 dan mempunyai 149 syarikat penyumberan luar sebagai ahli namun sejak 2010 syarikat ini tidak dibenarkan untuk menguruskan kemasukan pekerja asing tanpa notis rasmi daripada kerajaan sebelum ini. Penguatkuasaan ini telah menyebabkan kebanyakan ahli terpaksa gulung tikar.
 
Dato’ Megat berkata TEKAM mempunyai kepakaran untuk bergabung dan bekerjasama dengan kerajaan dalam mengenalpasti masalah pengurusan pekerja asing di Malaysia.
 
“Kami ada kebolehan, keupayaan dan pengalaman untuk menambah baik dan melengkapi usaha kerajaan dalam menyelesaikan masalah pekerja asing tanpa izin melalui inisiatif yang telah dirancang.”
 
TEKAM mempunyai pengantaraan yang baik dengan agensi perekrutan asing di negara sumber dan kementerian buruh yang merupakan faktor penggabungan kepada perekrutan pekerja antara Malaysia dan negara asing.
 
Beliau berkata TEKAM ingin bekerjasama dan turut serta dengan jawatankuasa baharu di Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Sumber Manusia untuk berkongsi pengalaman dan kepakaran dalam membolehkan jawatankuasa ini mempunyai maklumat secara menyeluruh dan mempunyai keutamaan bagi latar belakang buruh asing di Malaysia. Lebih penting lagi, beliau mengatakan bahawa TEKAM mahu status asalnya dikembalikan semula.
 
“Mekanisme ini menyediakan kawalan dan semakan pekerja asing yang lengkap untuk membantu TEKAM membuat permohonan kepada kerajaan untuk mengembalikan semula status quo.”
 
Dato’ Megat berkata TEKAM berhasrat untuk menjadi penyedia penyelesaian bagi syarikat kecil dan sederhana yang merangkumi 92.5% perniagaan di Malaysia. TEKAM berkebolehan untuk menyediakan pusat-pusat latihan di negara-negara asal untuk membawa masuk pekerja yang tepat bagi sektor atau industri yang tepat dan membawa kepada konsep pemacu kemahiran dan pemindahan teknologi.
 
“Kami akan memastikan pekerja asing tanpa izin tidak lagi menjadi isu sekiranya kami berhubung, menjejaki, dikawalselia, diberi kuasa dan dipantau oleh kementerian-kementerian tertentu.”
 
TEKAM akan menyediakan penyelesaian bagi membasmi amalan rasuah dalam perekrutan pekerja dan kami bersetuju untuk bertanggungjawab memastikan setiap ahli mematuhi etika dan undang-undang ketika proses membawa masuk pekerja asing ke Malaysia.
 
“Kami juga akan melindungi Akta Kerja 1955 dan etika perniagaan yang bertanggungjawab dengan lebih profesional tanpa menjejaskan keselamatan negara dengan apa cara sekalipun.”
 
Beliau berkata adalah lebih baik sekiranya pihak kerajaan dapat menjaga ahli-ahli TEKAM dan 279 syarikat penyumberan luar daripada menjaga satu juta syarikat dan majikan. TEKAM mempunyai kepakaran dalam pengurusan pekerja asing di Malaysia. Kerajaan boleh berhubung dan bekerjasama dengan TEKAM dalam menyelesaikan isu-isu besar berkaitan pekerja asing dan majikan.
 
“Kami adalah penyelesaian kepada ratusan ejen perekrutan asing yang masuk ke Malaysia dan menubuhkan perniagaan dimana 90% daripadanya adalah syarikat pengambilan pekerja dan perkhidmatan pembersihan”.
 
Dato’ Megat berkata TEKAM adalah penyelesaian kepada penghantaran pulang ejen-ejen tidak sah dan syarikat-syarikat kerjasama asing dan tempatan yang terlibat dalam pengambilan secara tidak sah dan tidak berlesen keluar dari Malaysia. Kebanyakan daripada ejen-ejen tersebut adalah mereka yang terlibat dengan penyumberan luar tidak sah dan bukan merupakan ahli TEKAM kerana kami telah diberhentikan daripada membawa pekerja asing sejak 2010 di bawah arahan Kementerian Dalam Negeri walaupun kami adalah satu-satunya syarikat yang dilesenkan oleh kerajaan untuk berhubung, mengurus dan menghantar pulang pekerja asing di bawah kategori majikan.
 
“Kami hanya akan berhubung dengan kementerian-kementerian kerajaan dan tidak akan ada penglibatan pihak ketiga seperti situasi sekarang di mana ejen tengah seperti Bukti Megah, MyEg dan Iman Resources terlibat dengan program pengambilan semula.”
 
Dato’ Megat mengimbau kembali ketika tempoh kegemilangan pimpinan Tun Dr Mahathir pada tahun 1996, dasar untuk mengesahkan pekerja asing telah berjaya di mana 1.2 juta pekerja telah disahkan kemasukan dan pengambilan semula seterusnya membolehkan negara menjana pendapatan berbanding sekarang seperti yang dilaporkan oleh FMM dan MTUC, terdapat lebih daripada 5 juta pendatang asing tanpa izin di negara ini menikmati faedah subsidi tempatan dan kerajaan kehilangan berbilion ringgit dalam bayaran levi dan permit kerja di samping mewujudkan pelbagai gejala sosial kepada negara.
 
TEKAM mempunyai sistem maklumat untuk menjejaki pekerja asing dan dipantau kerap oleh agensi-agensi kerajaan menerusi laporan bulanan kami seperti Imigresen dan Sumber Manusia.
 
Ahli TEKAM, syarikat-syarikat penyumberan luar telah diberikan hak eksklusif untuk menguruskan pekerja asing mengikut terma dan syarat tertentu oleh Kementerian Dalam Negeri yang menepati kelayakan undang-undang.
 
Dalam pada MTUC dan FMM menyalahkan syarikat-syarikat penyumberan luar, Dato’ Megat berkata ahli-ahli TEKAM tidak terlibat. Kami bukan syarikat tidak sah kerana kami merupakan syarikat penyumberan luar yang dilesenkan dan dipantau oleh Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Dalam Negeri yang telah berhenti membawa masuk pekerja asing baru sejak 2010 seperti yang disebutkan sebelum ini.
 
LATAR BELAKANG TEKAM
 
Persatuan Pembekal dan Pengurusan Tenaga Kerja Asing Malaysia (TEKAM) ditubuhkan pada 2006 dan mempunyai 149 syarikat penyumberan luar yang berdaftar.
 
Syarikat penyumberan luar di bawah TEKAM diberi tanggungjawab melakukan pengambilan, pengurusan dan penghantaran balik pekerja asing mengikut peraturan yang telah ditetapkan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) sejak dilantik pada 2005.
 
Syarikat penyumberan luar perlu mematuhi 17 syarat yang telah ditetapkan oleh KDN dan mematuhi semua akta imigresen bermula daripada pengambilan, pengurusan dan penghantaran pulang.
 
Syarikat penyumberan luar di bawah TEKAM mendapat hak eksklusif sebagai majikan untuk menghubung, membekal, mengurus serta menghantar pulang pekerja asing di negara ini.
 
Bagaimanapun, sejak 2010, syarikat penyumberan luar tidak dibenarkan untuk mengurus sebarang kemasukan pekerja asing tanpa sebarang notis rasmi daripada kerajaan. Tindakan ini menyebabkan ramai ahli yang bernaung di bawah TEKAM terpaksa gulung tikar.
 
Program naziran yang dijalankan oleh KDN kepada syarikat penyumberan luar pada tahun 2016 menunjukkan ahli TEKAM masih aktif dan diikitiraf oleh kerajaan pada waktu itu. Kami menafikan sebarang salahlaku dan kemasukan pendatang tanpa izin ke Malaysia kerana setakat ini tiada ahli TEKAM yang pernah didenda atau ditamatkan oleh Kementerian Dalam Negeri atas sebarang kesalahan tenaga kerja.
 
SUMBER: PERSATUAN PEMBEKAL & PENGURUSAN TENAGA KERJA ASING MALAYSIA (TEKAM)
 
UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama  : Dato’ Megat Fairouz Junaidi Tan Sri Megat Junid
Presiden
PERSATUAN PEMBEKAL & PENGURUSAN TENAGA KERJA ASING MALAYSIA  (TEKAM)
Tel       : 03-5567 0333
Emel    : megatfj@gmail.com
 
--BERNAMA

 
 
 

Copyright @ 2024 MREM . All rights reserved.