ADGSOM1 & ADGMIN1  
       
  LAUNCH OF THE 50TH ANNIVERSARY CELEBRATION OF RUKUN NEGARA  
       
  KL SUMMIT 2019  
       
  HAWANA 2018  
       
  AES 2016  
       

 
 
 

Mac 29, 2024 -Jumaat

 
  KENYATAAN MEDIA MENTERI KESIHATAN YB DR DZULKEFLY AHMAD SEMPENA LAWATAN KE KOTA KINABALU, SABAH PADA 1 OGOS 2018.

Thursday 02/08/2018



MESYUARAT TERTUTUP PERTAMA BERSAMA PPS, PEGAWAI PERUBATAN DAN PEGAWAI PERUBATAN PAKAR.


Alhamdulillah, seperti mana yang saya nyatakan sebelum ini, perjumpaan tertutup yang pertama bersama Pegawai-pegawai Perubatan Siswazah (PPS) telah berjaya diadakan semalam di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu.
 
Perjumpaan yang serupa turut diadakan secara berasingan bersama Pegawai Perubatan dan juga Pegawai Perubatan Pakar, yang turut dihadiri oleh pegawai-pegawai Jabatan Kesihatan Negeri Sabah. Mereka yang hadir adalah para PPS, Pegawai Perubatan dan Pegawai Perubatan Pakar dari Hospital Queen Elizabeth 1 & 2, Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah, dan Hospital Mesra Bukit Padang.
 
Perjumpaan ini diadakan selari dengan pendirian saya untuk mengenal pasti permasalahan yang ada dalam kalangan pegawai-pegawai perubatan berkenaan yang membawa kepada apa yang digambarkan sebagai “budaya kerja toksik” di hospital.
 
Banyak isu-isu yang dibangkit dan tidak terhad kepada isu buli di tempat kerja, tetapi juga isu-isu yang melibatkan polisi, kekangan yang dihadapi dalam menjalankan tugas serta isu-isu berkaitan perancangan dan pembangunan fasiliti kesihatan.
 
Tujuan diadakan perjumpaan yang berasingan dan tertutup adalah bagi mendengar dan meneliti perspektif yang berbeza daripada PPS, Pegawai Perubatan dan Pegawai Perubatan Pakar mengenai situasi kerja mereka serta kekangan yang dihadapi.
 
Melihat kepada sambutan yang menggalakkan terhadap perjumpaan pada lawatan ini, saya akan turut mengadakan perjumpaan yang serupa bersama pegawai-pegawai daripada skim perkhidmatan lain di bawah KKM dalam lawatan-lawatan yang akan datang.
 
Dalam pada itu sebelum perjumpaan tertutup diadakan, saya telah diberikan taklimat oleh pihak Hospital Queen Elizabeth berkenaan operasi di hospital itu serta kekangan-kekangan yang dihadapi terutamanya bagi perkhidmatan forensik dan perkhidmatan ambulans bagi urusan penghantaran pesakit yang dirujuk dari fasiliti kesihatan lain di seluruh Negeri Sabah.
 
Saya juga amat bangga dengan dedikasi yang ditunjukkan oleh Pakar Perubatan Forensik yang telah selama ini mengendalikan pelbagai urusan perkhidmatan forensik dalam keterbatasan fasiliti untuk mengendalikan kes di seluruh Negeri Sabah.
 
Terdahulu di sebelah pagi, saya berkesempatan membuat lawatan mengejut ke Klinik Kesihatan Putatan bagi melihat sendiri operasi klinik kesihatan itu selain keadaan parkir kereta yang padat.
 
Hasil daripada lawatan itu, saya juga dapati keadaan klinik kesihatan tersebut jelas perlu diberikan perhatian antaranya keadaan siling di dua bilik pemeriksaan dalam keadaan yang tidak selamat, penghawa dingin yang tidak lagi berfungsi, dua mesin “Full Blood Count (FBC)” yang rosak serta isu kekurangan “reagen” untuk mesin ujian biokimia yang berulang.
 
Berdasarkan apa yang dimaklumkan kepada saya, kerosakan dua mesin FBC itu telah mengakibatkan sampel darah yang hendak diuji terpaksa dihantar ke klinik kesihatan lain dan ini melambatkan proses untuk mendapatkan keputusan ujian darah sehingga 24 jam. Lazimnya, keputusan ujian darah menggunakan mesin tersebut boleh diperolehi dalam tempoh beberapa minit sahaja.
 
Secara keseluruhannya, saya amat berpuas hati dengan hasil lawatan kerja pada kali ini dan mengambil maklum akan semua permasalahan yang dibentangkan. Sehubungan itu, saya komited untuk membincangkan semua permasalahan tersebut sama ada di peringkat pengurusan tertinggi KKM ataupun Kabinet bagi memastikan penghantaran perkhidmatan kesihatan yang berkesan dan terbaik.
 
YB DR DZULKEFLY AHMAD
MENTERI KESIHATAN MALAYSIA
 
2 OGOS 2018
 
SUMBER : Kementerian Kesihatan Malaysia

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama : Nor Suzaman Abdul Rahman
Tel : 03-8883 3470 / 013-399 7025
Emel : n.suzaman@moh.gov.my

--BERNAMA

 
 
 

Copyright @ 2024 MREM . All rights reserved.