ADGSOM1 & ADGMIN1  
       
  LAUNCH OF THE 50TH ANNIVERSARY CELEBRATION OF RUKUN NEGARA  
       
  KL SUMMIT 2019  
       
  HAWANA 2018  
       
  AES 2016  
       

 
 
 

April 25, 2024 -Khamis

 
  MALAYSIA JULUNG KALI MENJADI TUAN RUMAH KONGRES SEDUNIA PERPUSTAKAAN DAN MAKLUMAT, PERSEKUTUAN ANTARABANGSA DAN PERSATUAN INSTITUSI PERPUSTAKAAN 2018 (IFLA WLIC 2018) YANG KE-84

Wednesday 01/08/2018



KUALA LUMPUR, 1 Ogos (Bernama) -- Malaysia akan menjadi tuan rumah bagi Kongres Sedunia Perpustakaan dan Maklumat, Persekutuan Antarabangsa dan Persatuan Institusi Perpustakaan 2018 yang ke-84 (IFLA WLIC 2018) buat julung kalinya. 
 
Kongres ini diadakan bermula pada 24 hingga 30 Ogos 2018 bertempat di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) anjuran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Malaysia (MoTAC) bersama Perpustakaan Negara Malaysia. Seramai 3,000 pustakawan dari seluruh dunia dijangka menghadiri acara yang berprestij ini. Kongres ini bakal dirasmikan oleh YB Tuan Mohamaddin Ketapi, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Malaysia.
 
Bertemakan “Transformasi Perpustakaan, Tranformasi Masyarakat: Mencapai Yang Sukar Dicapai” adalah bagi mengiktiraf peranan yang dimainkan oleh perpustakaan dalam pembangunan sebuah negara terutama dalam memajukan masyarakat. Program ini turut memberi  peluang kepada Malaysia untuk mempamerkan status perpustakaan dan perkhidmatan maklumat di negara dan rantau ini serta  berkongsi pengalaman profesional bersama pustakawan antarabangsa dan  menjalin hubungan antarabangsa dengan cara yang unik. 
 
Menurut YBhg. Dato’ Nafisah Ahmad, Ketua Pengarah Perpustakaan Negara merangkap Presiden Persatuan Pustakawan Malaysia, pelbagai aktiviti akan dijalankan selama tujuh hari (7) termasuk Mesyuarat Lembaga Pengurusan dan Bahagian, lebih 150 sesi profesional pembentangan kertas kerja antaranya dari negara Malaysia, Netherlands, United States, Norway, Sweden, Italy, Indonesia, Qatar, India, Chile, Japan, Kenya, South Africa, Thailand, Poland, Nigeria, Singapore, Egypt, Finland dan Philippines serta pameran produk dan perkhidmatan perpustakaan tempatan dan antarabangsa. 
 
Selain itu, Perpustakaan Negara juga akan mengaturkan lawatan ke perpustakaan terpilih, boulevard perpustakaan tempatan, malam budaya dan pameran aplikasi dengan idea-idea inovatif bagi sektor perkhidmatan perpustakaan tempatan dan antarabangsa dari seluruh dunia. 
 
Persekutuan Antarabangsa dan Persatuan Institusi Perpustakaan (IFLA) adalah badan antarabangsa terkemuka yang mewakili perpustakaan, perkhidmatan maklumat dan pengguna perpustakaan. Persatuan ini menjadi suara global bagi perpustakaan dan profesion maklumat.
 
Terdapat lebih 1,400 ahli daripada 150 negara yang mewakili 500,000 pustakawan dan profesional maklumat. Ia memperjuangkan kepentingan akses maklumat secara sejagat dan saksama sebagai satu cara untuk mempromosikan kesejahteraan sosial, pendidikan, budaya, demokratik dan ekonomi. Selain itu, IFLA turut mempromosikan piawaian yang tinggi dalam penyediaan dan penyampaian perpustakaan dan perkhidmatan maklumat di seluruh dunia.
 
Orang ramai yang berminat untuk menyertai Kongres Sedunia Perpustakaan dan Maklumat 2018 ini boleh mendaftar melalui laman web rasmi IFLA iaitu https://2018.ifla.org dan tarikh tutup penyertaan pada 22 Ogos 2018.  

Disediakan oleh:
Bahagian Komunikasi Korporat, Perpustakaan Negara Malaysia  bersama
Unit Komunikasi Korporat, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia
Tel : 03-2687 1700 Faks : 03-2694 2490
Laman Web :  www.pnm.gov.my  Emel : webmaster@pnm.my


SUMBER : Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia 

--BERNAMA 

 
 
 

Copyright @ 2024 MREM . All rights reserved.