|
|
|
|
|
|
TRANSFORMASI PERPUSTAKAAN KE ARAH UNIVERSITI PENUH
Tuesday 22/05/2018
KUALA LUMPUR, 22 Mei (Bernama) -- Matlamat ataupun perancangan perpustakaan Imam Al-Syafi’I di masa akan datang adalah untuk menjadi sebuah perpustakaan digital. Walau bagaimanapun koleksi bercetak masih dikekalkan dalam jumlah yang lebih kecil bagi menampung keperluan terutamanya dalam bidang pengajian Islam. Dengan adanya perpustakaan digital, pengguna boleh mendapatkan maklumat di hujung jari dengan lebih mudah malah menjimatkan masa dan tenaga. Apatah lagi dengan ledakan maklumat dan dunia tanpa sempadan ini. Maklumat boleh diakses di mana-mana dan pada bila-bila masa sahaja. Ini sudah tentu melibatkan perubahan yang besar dalam pentadbiran perpustakaan itu sendiri termasuk keperluan bajet yang tinggi.
Untuk membangunkan perpustakaan digital ini, perpustakaan dan pihak IT perlu bekerjasama kerana kedua-duanya saling perlu memerlukan dalam merealisasikan penubuhan sesebuah perpustakan digital. Ini adalah kerana kejayaan mengakses maklumat bergantung kepada prasarana yang dikawal selia oleh pihak IT dan dengan keupayaan wi-fi yang disediakan.
Bagi merealisasikan matlamat tersebut, perpustakaan perlu bersedia membuat perancangan yang rapi dan teratur serta diiringi dengan usaha yang berterusan. Kakitangan akan dilatih dan dilengkapkan dengan kemahiran dan pengetahuan berkaitan dengan teknologi maklumat supaya dapat berperanan membantu pengguna perpustakaan mengakses bahan dengan cepat dan tepat seperti yang diinginkan.
Transformasi ruang juga merupakan satu anjakan paradigma dalam perpustakaan akademik bagi memastikan perpustakaan masih lagi relevan untuk dikunjungi. Sehubungan dengan itu, perancangan penaiktarafan bangunan Teknologi Maklumat dan seterusnya dimiliki sepenuhnya oleh Perpustakaan Imam Al-Syafi’i akan dilakukan secara berperingkat pada tahun hadapan bagi menampung pengguna seramai 1,500 orang dalam satu masa.
Begitu juga perancangan penubuhan Repositori Institusi juga sedang giat diusahakan bagi menempatkan koleksi intelektual hasil penulisan warga KUIS bagi memudahkan proses pembelajaran dan penyelidikan dan ianya boleh diakses secara atas talian.
Selain daripada itu, keperluan melengkapkan koleksi perpustakaan yang lebih mantap dalam pelbagai format (bercetak dan elektronik) juga di dalam perancangan agar visi Perpustakaan Imam Al-Syafi’i untuk menjadi sebuah perpustakaan akademik yang lengkap dan bersifat menyeluruh tercapai.
Disediakan oleh: Puan Hajah Noorlia binti Ramli Ketua Pustakawan
SUMBER : Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS)
UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI: Nama : Puan Hajah Noorlia binti Ramli Ketua Pustakawan Tel : 03-89117000 ext 2110 Emel : kp@kuis.my
--BERNAMA |
|
|
|
|
|