ADGSOM1 & ADGMIN1  
       
  LAUNCH OF THE 50TH ANNIVERSARY CELEBRATION OF RUKUN NEGARA  
       
  KL SUMMIT 2019  
       
  HAWANA 2018  
       
  AES 2016  
       

 
 
 

April 26, 2024 -Jumaat

 
  MAJLIS PENYAMPAIAN HADIAH KEMPEN E-PEMBAYARAN BAGI MEMPROMOSIKAN PENGGUNAAN KAD MYDEBIT DAN PEMBAYARAN BIL MELALUI JOMPAY DI JABATAN DAN AGENSI KERAJAAN DI NEGERI SABAH

Tuesday 22/05/2018



Table
Dari kiri ke kanan:
  • En Zamre Ismail (Pejabat Bank Negara Malaysia, Kota Kinabalu)
  • Datin Arlina binti Ariff (Pejabat Jabatan Link, Bank Negara Malaysia)
  • Mr Firdaus Ghani (PayNet)
  • Madam Lee Kam See (Pemenang Kereta Perodua Bezza)


KOTA KINABALU, 22 Mei (Bernama) -- Payments Network Malaysia Sdn Bhd atau PayNet (dahulu dikenali sebagai Malaysian Electronic Clearing Corporation Sdn Bhd atau MyClear), pengendali sistem pembayaran elektronik  MyDebit dan JomPAY telah mengadakan Majlis Penyampaian Hadiah Kempen e-Pembayaran di Jabatan dan Agensi Kerajaan Negeri Sabah pada 4 Mei 2018 di Pejabat  Bank Negara Malaysia Kota Kinabalu.

‘Kempen e-Pembayaran Sabah’ yang diadakan melalui dua siri iaitu ‘Kempen MyDebit’ dan juga ‘Kempen JomPAY’ telah diadakan dari 4 Ogos 2017 hingga 31 Mac 2018 bersempena Karnival Kewangan Sabah yang dianjurkan oleh Bank Negara Malaysia bersama industri kewangan pada bulan Ogos lalu bagi meningkatkan kesedaran di samping menggalakkan penggunaan pembayaran secara elektronik di kalangan pengguna di Sabah sama ada melalui pembayaran di kaunter atau secara atas talian melalui JomPAY.

Bagi ‘Kempen MyDebit’, pemenang bertuah adalah Puan Lee Kam See dari Sandakan yang membawa pulang sebuah kereta Perodua Bezza sementara tiga puluh (30) lagi pemenang dari daerah Keningau, Tawau, Labuan, Sandakan dan Kota Kinabalu telah memenangi hadiah saguhati berupa Samsung Galaxy S8 setiap seorang. Selain itu, tiga (3) agensi Kerajaan Negeri iaitu Universiti Malaysia Sabah, Jabatan Air Sabah dan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional, Cawangan Sabah masing-masing telah memenangi anugerah agensi terbaik yang memperoleh jumlah transaksi pembayaran melalui kad MyDebit tertinggi di sepanjang kempen ini diadakan.

Bagi ‘Kempen JomPAY’, seramai tiga belas (13) pemenang telah dipilih untuk memenangi sembilan (9) unit iPad Pro serta empat (4) unit iPhone 7. Para pemenang tersebut telah menggunakan perkhidmatan JomPAY bagi tujuan pembayaran cukai taksiran secara atas talian kepada Pihak Berkuasa Tempatan Sabah; antaranya ialah Dewan Bandaraya Kota Kinabalu, Majlis Daerah Penampang dan Majlis Perbandaran Tawau.

Hadiah bagi kedua-dua kempen ini telah disampaikan oleh YBhg. Datin Arlina Ariff, Pengarah Jabatan LINK dan Pejabat BNM, Bank Negara Malaysia bersama wakil PayNet, Encik Azrul Fakhzan Mainor, Ketua Jabatan MyDebit. Turut hadir, Ketua Pejabat BNM Kota Kinabalu, Encik Zambre Ismail dan Pengurus Jabatan Skim Pembayaran Bil Nasional (JomPAY), Puan Heliziana Madzin.

“Melalui kempen e-Pembayaran Sabah ini, sambutan kesedaran penggunaan e-pembayaran sungguh menggalakkan dan bersama sokongan padu daripada pihak agensi Kerajaan Sabah, lebih banyak inisiatif sebegini adalah memanfaatkan dalam menyokong usaha kerajaan dalam meningkatkan keberkesanaan sistem pembayaran Negara”, kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PayNet, Encik Peter Schiesser.

Sejak diwujudkan pada tahun 2015, JomPAY telah berkembang menjadi perkhidmatan pembayaran bil online terbesar di Malaysia dengan lebih 3,000 bilangan kod pengebil, meliputi semua syarikat telekomunikasi, utiliti elektrik, perkhidmatan TV berbayar, utiliti air di 11 negeri, 112 pihak berkuasa tempatan, institusi pendidikan, syarikat insurans, broker saham, pedagang e-dagang, perusahaan kecil dan sederhana, serta banyak lagi perniagaan lain.

MyDebit adalah aplikasi pembayaran dalam setiap kad ATM bagi membolehkan pengguna membuat pembayaran untuk pembelian di kedai-kedai yang menerimapakai MyDebit. Semua transaksi melalui MyDebit didebitkan secara online terus dari akaun Simpanan atau Semasa melalui PIN atau tanpa sentuh (contactless). Pada akhir bulan Mac 2018, terdapat sebanyak 42 juta kad MyDebit atau ATM dikeluarkan oleh 20 institusi perbankan dengan lebih 340,000 terminal kad pembayaran menerima pakai kad MyDebit di seluruh negara.

MENGENAI PAYMENTS NETWORK MALAYSIA SDN BHD (PayNet)

PayNet (dahulunya dikenali sebagai Malaysian Electronic Clearing Corporation Sdn Bhd) membangun dan mengendalikan sistem pembayaran dan infrastruktur pasaran kewangan bertaraf dunia yang selamat, diyakini dan cekap bagi menaiktaraf fungsi dan pembangunan sistem kewangan Malaysia dan ekonomi secara keseluruhannya.Bank Negara Malaysia (BNM) adalah pemegang saham terbesar PayNet dengan sebelas bank di Malaysia sebagai pemegang saham bersama.
 
Untuk maklumat lanjut mengenai MyDebit, JomPAY atau PayNet, sila layari www.paynet.my atau www.jompay.com.my.
 
SUMBER : PAYMENTS NETWORK MALAYSIA SDN BHD (PayNet)

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama : Ms Amy Pang
Tel : 03-2264-8689
Emel : amy@paynet.my 
 
--BERNAMA

 
 
 

Copyright @ 2024 MREM . All rights reserved.