ADGSOM1 & ADGMIN1  
       
  LAUNCH OF THE 50TH ANNIVERSARY CELEBRATION OF RUKUN NEGARA  
       
  KL SUMMIT 2019  
       
  HAWANA 2018  
       
  AES 2016  
       

 
 
 

April 20, 2024 -Sabtu

 
  ​INTA MEMILIH SINGAPURA UNTUK MESYUARAT TAHUNAN KE-142 PADA APRIL 2020

Tuesday 22/05/2018



SEATTLE, 22 Mei (Bernama-GLOBE NEWSWIRE) -- Persatuan Tanda Dagangan Antarabangsa (INTA) hari ini mengumumkan bahawa Mesyuarat Tahunannya—acara tanda perniagaan terbesar di dunia—kali ke-142 akan diadakan di Singapura pada 25 hingga 29 April 2020 di Marina Bay Sands. Ini merupakan kali kedua INTA mengadakan Mesyuarat Tahunannya di Asia dan kali pertama organisasi tersebut mengehoskan acara tersebut di Asia Tenggara.

CEO INTA, Etienne Sanz de Acedo membuat pengumuman yang dinanti-nantikan itu di majlis pembukaan Mesyuarat Tahunan ke-140 yang bertempat di Seattle, Washington hari ini hingga 23 Mei. Hampir 11,000 pengamal tanda dagangan dan profesional harta intelektual (IP) dari 150+ buah negara hadir di acara ini. Bilangan pendaftar telah meningkat tahun demi tahun.

Pada tahun 2014, INTA mengadakan Mesyuarat Tahunannya yang pertama di Asia iaitu Mesyuarat Tahunan ke-136 di Hong Kong SAR, China. Selepas acara yang berjaya itu, Lembaga Pengarah INTA meluluskan strategi giliran untuk mengehoskan Mesyuarat Tahunan di luar Amerika Syarikat setiap tiga tahun.

“Dengan membawakan Mesyuarat Tahunan ke Singapura pada tahun 2020, INTA menawarkan ahli globalnya peluang untuk bertemu semula di lokasi yang optimum untuk belajar, menjalin hubungan dan berbincang tentang isu menarik kepada profesional IP, pegawai kerajaan, pengguna dan masyarakat secara umumnya,” kata Presiden INTA 2018, Tish Berard.

Pendaftaran untuk Mesyuarat Tahunan 2020 di Singapura itu akan dibuka pada Januari 2019 dan tiket prajualan boleh dibeli di Mesyuarat Tahunan INTA 2019 di Boston, Massachusetts.

Beberapa faktor telah menyumbang kepada pemilihan Singapura untuk pertemuan 2020 itu, termasuk persekitarannya yang bertenaga, kepelbagaian budaya, kemudahan kebolehcapaian dan pencapaiannya dalam bidang IP. INTA yang mempunyai semakin ramai ahli antarabangsa yang kini merentasi 191 buah negara telah membuka Pejabat Wakil Asia Pasifik di Singapura pada Mac 2016.

“Singapura ialah lokasi berpengaruh untuk dialog tanda dagangan global yang akan diadakan di Mesyuarat Tahunan INTA pada 2020. Kami berasa gembira untuk pergi ke sana dan melihat keputusan ini sebagai peluang untuk berinteraksi dan berkhidmat kepada ahli dengan lebih lanjut pada peringkat global,” kata En. Sanz de Acedo.

Kajian kesan INTA yang bertajuk Sumbangan Industri Intensif Tanda Dagangan kepada Ekonomi di Indonesia, Malaysia,Filipina, Singapura dan Thailand menandakan bahawa aktiviti intensif tanda dagangan di Singapura menjana semakin banyak pekerjaan di seluruh sektor dan menyumbang kepada perdagangan antarabangsa.

Data daripada tahun 2012 hingga 2015 khususnya menunjukkan bahawa industri intensif tanda dagangan di Singapura menjana 50 peratus sumbangan langsung kepada keluaran dalam negara kasar. Ia juga menjana 60 peratus eksport negara, manakala tenaga kerjanya adalah 29 peratus daripada keseluruhan penggajian.

“Kami berbangga untuk menjadi tuan rumah kepada persidangan IP terbesar dan paling ramai dihadiri, iaitu Mesyuarat Tahunan INTA ke-142, pada tahun 2020,” kata Daren Tang, Ketua Eksekutif Pejabat Harta Intelektual Singapura. “Persidangan mega ini akan menghubungkan komuniti inovasi Singapura dengan komuniti tanda dagangan global dan profesional harta intelektual yang akan meningkatkan amalan dan kepakaran terbaik antara satu sama lain, berkongsi perbincangan tentang penciptaan jenama yang kukuh untuk mencipta syarikat yang unik daripada yang lain.”

Jeannie Lim, Pengarah Eksekutif Persidangan, Mesyuarat & Pelancongan Insentif, Lembaga Pelancongan Singapura menambah:  “Bandar ini merupakan platform ideal untuk acara berprestij ini. Di sini, para wakil boleh belajar, melibatkan diri dan meneroka peluang baharu serta menikmati juadah dan pengalaman yang ditawarkan oleh bandar ini di luar acara. Kami bersedia dan mengalu-alukan acara ini di Singapura pada tahun 2020.”

Perihal Persatuan Tanda Dagangan Antarabangsa

Persatuan Tanda Dagangan Antarabangsa (INTA) ialah persatuan antarabangsa yang terdiri daripada pemilik jenama dan profesional yang berdedikasi untuk menyokong tanda dagangan dan harta intelektual (IP) berkaitan untuk memupuk kepercayaan pelanggan, pertumbuhan ekonomi dan inovasi. Ahlinya termasuk lebih daripada 7,200 pemilik tanda dagangan, profesional dan ahli akademik dari 191 buah negara, termasuk 62 ahli dari Singapura yang mendapat manfaat daripada sumber tanda dagangan, pembangunan polisi, pendidikan dan latihan serta hubungan antarabangsa INTA. Diasaskan pada tahun 1878, INTA beribu pejabat di Bandar New York, dengan pejabat di Brussels, Santiago, Shanghai, Singapura dan Washington, D.C., serta wakil di Geneva dan New Delhi. Untuk mendapatkan maklumat lanjut, sila lawati www.inta.org.

Hubungan:
Sari Schwartz
Ahli Strategi Kanan, Komunikasi
sschwartz@inta.org
1-212-642-1774

Foto yang disertakan dengan pengumuman ini boleh didapati di http://www.globenewswire.com/NewsRoom/AttachmentNg/bab1761a-add4-4ae9-9ee9-4e2b81373c52 

Sumber : International Trademark Association

--BERNAMA

 
 
 

Copyright @ 2024 MREM . All rights reserved.