ADGSOM1 & ADGMIN1  
       
  LAUNCH OF THE 50TH ANNIVERSARY CELEBRATION OF RUKUN NEGARA  
       
  KL SUMMIT 2019  
       
  HAWANA 2018  
       
  AES 2016  
       

 
 
 

Mac 29, 2024 -Jumaat

 
  FNC MENERIMA ANUGERAH LESTARI DAN KUALITI PENTING DARIPADA INDUSTRI KOPI

Thursday 17/05/2018



Rainforest Alliance, Institut Kualiti Kopi (CQI) dan Persatuan Kopi Istimewa (SCA) memberi penghormatan kepada penanam kopi Colombia
 
BOGOTÁ, Colombia, 17 Mei (Bernama-GLOBE NEWSWIRE) -- Pada minggu baru-baru ini, Persekutuan Penanam Kopi Colombia (FNC) telah menerima anugerah kelestarian dan kualiti yang penting daripada pihak utama dalam industri kopi global seperti Rainforest Alliance, Institut Kualiti Kopi (CQI) dan Persatuan Kopi Istimewa (SCA).
 
Pada 9 Mei minggu lepas, FNC telah menerima salah satu Anugerah Penetap Standard Lestari Rainforest Alliance untuk komitmennya dalam mengekalkan kelestarian, meningkatkan pendapatan penanam kopi dan memelihara hutan.
 
Sejak penubuhannya pada tahun 1927, FNC telah berusaha untuk meningkatkan kualiti hidup lebih 540,000 keluarga penanam kopi yang diwakilinya hari ini. “Untuk penanam kopi Colombia, kelestarian berkait rapat dengan raison d’être mereka. Hal ini demikian sehingga lebih 236,000 ladang kopi di Colombia mematuhi sesetengah standard kelestarian dan menjelang 2027, apabila FNC mencecah 100 tahun, kami berazam untuk menjadikan semua kopi Colombia lestari,” kata CEO FNC, Roberto Vélez semasa menerima pengiktirafan tersebut bagi pihak penanam kopi Colombia.
 
“Individu, masyarakat dan syarikat yang kami serlahkan sedang berusaha untuk menangani cabaran signifikan berkaitan perubahan iklim, kemiskinan luar bandar dan kehilangan biodiversiti. Usaha mereka telah membuahkan hasil yang nyata dan membantu meningkatkan kehidupan petani dan komuniti hutan,” kata Han de Groot, CEO Rainforest Alliance.
 
Pingat Merit Kepimpinan 2018 CQI
 
Pada 21 April di majlis makan tengah hari di Seattle, Institut Kualiti Kopi (CQI) telah menganugerahkan Pingat Merit Kepimpinan 2018 dalam kategori korporat kepada FNC sekali gus mengiktiraf komitmennya selama 90 tahun untuk meningkatkan pendapatan petani, memupuk kelestarian dan meningkatkan kualiti kopi, yang membantu mengukuhkan sektor kopi Colombia secara keseluruhan.
 
“Disebabkan usaha FNC, kualiti dan kelestarian bukan trend baharu untuk penanam kopi Colombia,” kata Pengarah Eksekutif CQI, David Roche. “Hal ini telah menjadi keutamaan kami selama lebih 90 tahun, di samping membezakan kualiti, menambah nilai dan mendahului amalan ekonomi, sosial dan alam sekitar.”
 
“Kami sangat berbesar hati untuk menerima pengiktirafan ini kerana: pertama, prestij CQI dan kedua, anugerah ini diberi pada masa yang penting, pada masa kami melipat gandakan usaha untuk meningkatkan kelestarian penanam kopi bukan sahaja di Colombia, malah di dunia, dengan pendekatan bahawa tanggungjawab ini dipikul oleh semua pihak dalam industri,” kata Vélez, CEO FNC, yang mewakili semua pengeluar Colombia.
 
CQI mengiktiraf bahawa FNC telah mengambil inisiatif penting dan langkah berwawasan untuk mengukuhkan sektor kopi Colombia. Program-program FNC juga membantu petani untuk bersedia menghadapi cabaran akan datang, termasuk menyesuaikan diri dengan perubahan iklim, memupuk penanaman kopi yang lestari dan merangsang kesinambungan generasi, tekan CQI.
 
Manos al Agua diberikan Anugerah Kelestarian SCA
 
Pada 19 April di Seattle juga, Projek Manos al Agua yang dilaksanakan oleh FNC sebagai sebahagian daripada kerjasama awam-swasta telah diberikan Anugerah Kelestarian 2018 Persatuan Kopi Istimewa (SCA), anugerah yang terpenting disebabkan hasil yang dicapai dalam kategori Projek Lestari.
 
Anugerah tersebut diberikan kerana kepentingan dan hasil projek Manos al Agua (termasuk pemasangan sistem penjimatan dan rawatan air di ladang) yang merupakan projek inovatif untuk pengurusan sumber air bersepadu dalam lembangan sungai kopi, iaitu model bagi pembangunan lestari di luar bandar Colombia.
 
Anugerah Kelestarian SCA diberikan sejak tahun 2004 kepada syarikat dan organisasi yang mencipta dan melaksanakan projek atau model perniagaan inovatif untuk mengembangkan dan mempromosikan kelestarian kopi di dunia serta memberi inspirasi kepada orang lain untuk mengambil inisiatif yang serupa.
 
“Manos al Agua ialah projek holistik dan antara yang paling berjaya dalam kalangan institusi kopi Colombia,” kata Vélez, CEO FNC.
 
Projek itu merupakan kerjasama awam-swasta selama 5 tahun yang dimulakan pada tahun 2013 dan terdiri daripada FNC, Agensi Kerjasama Belanda, syarikat swasta Nestlé & Nespresso; Pusat Kajian Kopi Colombia (Cenicafé) dan Wageningen University sebagai rakan kongsi saintifik-akademik dan Agensi Kerjasama Antarabangsa Presiden Colombia (APC-Colombia).
 
Maklumat Hubungan:
Pejabat Akhbar FNC
(57+1) 3136600 Samb. 1790
martha.sanchez@cafedecolombia.com
 
SUMBER: Federacion Nacional de Cafeteros de Colombia-Fondo Nacional del Café
 
--BERNAMA
 

 
 
 

Copyright @ 2024 MREM . All rights reserved.