PIPOC 2007  
       
  LANGKAWI INTERNATIONAL DIALOGUE  
       
  IKIM :THE ROLE OF ISLAMIC  
       
  KL OIC HEALTH  
       
  PERAK ROYAL EVENT  
       
  DEVELOPING 8 (D8) MINISTERS MEETING ON FOOD SECURITY  

 
 

April 25, 2018 -Rabu

 
  SPR SAMBUT BAIK PERISYTIHARAN CUTI UMUM TAMBAHAN OLEH KERAJAAN PADA 9 MEI 2018

Thursday 12/04/2018



KUALA LUMPUR, 12 April (Bernama) -- Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) hari ini menyambut baik pengumuman oleh Kerajaan Malaysia bahawa tarikh 9 Mei 2018 ditetapkan sebagai Hari Kelepasan Am tambahan seluruh negara untuk membolehkan rakyat Malaysia menunaikan tanggung jawab mereka sebagai pengundi.

Sejajar dengan ini juga SPR ingin menarik perhatian para majikan yang masih meneruskan operasi mereka pada hari mengundi, bahawa tiap-tiap majikan dikehendaki memberi tempoh yang munasabah kepada pengundi-pengundi yang bekerja dengannya untuk keluar mengundi. Subseksyen 25 (1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 memperuntukkan seperti yang berikut:

“25. (1) Tiap-tiap majikan hendaklah, pada hari mengundi membenarkan suatu tempoh yang munasabah bagi tiap-tiap pemilih yang bekerja dengannya mengundi, dan tiada majikan boleh membuat apa-apa potongan daripada gaji atau saraan lain mana-mana pemilih itu atau mengenakan ke atasnya atau menuntut daripadanya apa-apa penalti oleh sebab dia tidak hadir bekerja dalam tempoh itu”.

Majikan yang tidak membenarkan pekerjanya yang menjadi pemilih untuk keluar mengundi boleh didenda sebanyak lima ribu ringgit (RM5000) atau satu tahun penjara sebagaimana yang diperuntukkan di bawah subsekyen 25(3) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Dalam hal ini juga, SPR juga turut menyeru serta menggalakkan pihak majikan untuk menggunakan budi bicara mereka bagi memberikan cuti khas atau pelepasan sewajarnya kepada pekerja-pekerja mereka yang dilantik sebagai Petugas Pilihan Raya Umum Ke-14 ini.

Berhubung pelaksanaan pilihan raya pada 9 Mei 2018 itu juga, SPR menegaskan bahawa ketetapan itu bukanlah suatu perkara yang baharu kerana rekod PRU sebelum ini menunjukkan bahawa ianya telah beberapa kali diadakan pada hari bekerja iaitu pada PRU-1 (1959), PRU Ke-6 (1982), PRU Ke-9 (1995) dan PRU Ke-10 (1999). Maka dengan pengumuman cuti umum ini ia sewajarnya tidak dijadikan isu. Malah, pemakluman awal berkenaan tarikh PRU-14 ini juga membolehkan para pengundi mempunyai masa yang secukupnya untuk merancang perjalanan dan sebagainya.

Sekian dan terima kasih.

TAN SRI MOHD HASHIM BIN ABDULLAH
Pengerusi
Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR)

SUMBER : Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) 


UNTUK MAKLUMAT LANJUT SILA HUBUNGI :
Nama : Mohd Sabri Abdullah 
Ketua Unit Komunikasi Korporat 
Tel : 019 288 6045

--BERNAMA

 
 
 

Copyright @ 2018 MREM . All rights reserved.