ADGSOM1 & ADGMIN1  
       
  LAUNCH OF THE 50TH ANNIVERSARY CELEBRATION OF RUKUN NEGARA  
       
  KL SUMMIT 2019  
       
  HAWANA 2018  
       
  AES 2016  
       

 
 
 

April 19, 2024 -Jumaat

 
  AGROBANK LANCAR MESIN ATM BANTU KOMUNITI LUAR BANDAR DI SABAH

Monday 19/03/2018


YAB Tan Sri Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman, Ketua Menteri Sabah merasmikan Mesin Teler Automatik (ATM) dan Mesin Deposit Tunai (CDM) Agrobank. Pelancaran tersebut turut dihadiri oleh Datuk James Ratib, Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal, Pengerusi Agrobank, dan menanggung tugas Presiden / Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Puan Masaat Awadz serta pemimpin-pemimpin tempatan.



BELURAN, 19 Mac (Bernama) -- Agrobank hari ini melancarkan Mesin Teler Automatik (ATM) dan Mesin Deposit Tunai (CDM) di Pekan Baru Botition berhampiran Beluran sebagai salah satu usaha untuk memberikan perkhidmatan perbankan kepada masyarakat di kawasan luar bandar terutamanya di negeri Sabah. Majlis pelancaran itu dirasmikan oleh YAB Tan Sri Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman, Ketua Menteri Sabah.
 
Pekan Baru Botition merupakan bandar baharu yang pesat dengan pertumbuhan dan kegiatan pertanian seperti ladang kelapa sawit, kilang kelapa sawit dan penternakan burung walit. Industri burung walit ini dikenalpasti sebagai sumber kekayaan baharu untuk diterokai selain industri durian, kelapa, jagung dan tenusu di kawasan tersebut. Pekan Baru Botition yang sejauh 200km dari Sandakan merupakan lokasi strategik adalah sesuai untuk penternakan burung walit.
 
Dengan potensi perkembangan aktiviti ekonomi di kawasan ini, Agrobank bersedia membantu memacu aktiviti ekonomi dengan penyediaan kewangan asas seperti kemudahan mesin ATM dan CDM. 
 
Menurut YBhg Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal, Pengerusi Agrobank, dengan adanya mesin ATM dan CDM ini, Agrobank dapat memberikan perkhidmatan perbankan asas untuk komuniti luar bandar selaras dengan usaha Bank untuk memberi perkhidmatan kepada masyarakat yang kurang mendapat perhatian (unserved & underserved) terutamanya di kawasan luar bandar.
 
“Sehingga kini, Agrobank mempunyai 17 cawangan dan 3 kiosk di  seluruh negeri Sabah. Dengan penambahan perkhidmatan terbaharu di Pekan Baru Botition ini akan terus menyokong masyarakat luar bandar dan meningkatkan ekonomi mereka ke tahap yang lebih baik. Ini juga merupakan inisiatif untuk menyokong matlamat Bank Negara Malaysia dalam meluaskan dan meningkatkan rangkuman kewangan (financial inclusion) di seluruh negara.  Lebih 71% cawangan Agrobank berada di kawasan luar bandar dalam usaha membantu golongan yang kurang mendapat liputan,” tambah beliau.
 
Dengan pelancaran mesin ATM dan CDM ini, seramai 37,000 orang penduduk di Pekan Baru Botition yang juga  terletak di bawah Dewan Undangan Negeri (DUN) Sugut tidak lagi perlu pergi jauh ke bandar terdekat untuk membuat pengeluaran dan deposit wang mereka kerana mesin ini terletak di kawasan pekan. Sebelum ini, penduduk terpaksa ke bandar terdekat di pekan Telupid dan pekan Beluran yang mengambil masa sekurang-kurangnya 2 jam untuk membuat pengeluaran dan penyimpanan wang di Mesin ATM.  Kemudahan asas ini dijangka akan merancakkan lagi bisnes agro di kawasan ini. Ini mencerminkan sokongan dan inisiatif Bank untuk terus berkhidmat kepada masyarakat luar bandar di Sabah.
 
Turut hadir semasa majlis pelancaran adalah YB Datuk James Ratib, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sugut dan Puan Masaat Awadz, yang menanggung tugas Presiden / Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank serta pemimpin-pemimpin tempatan.

Mengenai Agrobank
 
Agrobank ditubuhkan pada tahun 1969 dengan mandat untuk membangun dan memperkasakan sektor pertanian Negara. Ia adalah sebuah bank milik Kerajaan di bawah bidang kuasa Menteri Kewangan Diperbadankan. Pembiayaan Bank dalam sektor pertanian adalah didorong oleh dasar yang ditetapkan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA).
 
Dengan 47 tahun pengalaman dan rekod baik dalam industri perbankan pertanian, Agrobank secara aktif menyokong pembangunan pertanian negara dengan beroperasi di lapan (8) wilayah melalui 188 cawangan bank, Agrobank menawarkan produk dan perkhidmatan dalam bidang pembiayaan korporat, komersial dan mikro serta pembiayaan perdagangan, pembiayaan peribadi, perbankan elektronik dan deposit & perkhidmatan.
 
Agrobank secara rasmi bergelar institusi perbankan Islam sepenuhnya pada 1 Julai 2015.

Dikeluarkan oleh Jabatan Komunikasi Korporat, Agrobank

SUMBER : Agrobank

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:

Nama : Ainul Rofidza Ibrahim
Tel : 03-2731 1600 (ext 2624) / 019-2258210
Emel : ainul.ibrahim@agrobank.com.my 


Nama : Budiotomo Othman
Tel : 03-2731 1600 (ext 1656) / 016-3504274
Emel : budiotomo@agrobank.com.my

--BERNAMA

 
 
 

Copyright @ 2024 MREM . All rights reserved.