ADGSOM1 & ADGMIN1  
       
  LAUNCH OF THE 50TH ANNIVERSARY CELEBRATION OF RUKUN NEGARA  
       
  KL SUMMIT 2019  
       
  HAWANA 2018  
       
  AES 2016  
       

 
 
 

April 26, 2024 -Jumaat

 
  PELAKSANAAN APEL BAGI TUJUAN AKSES KE PROGRAM PENGAJIAN

Tuesday 13/03/2018



KUALA LUMPUR, 13 Mac (Bernama) -- 

LATAR BELAKANG
 
Menerusi Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara iaitu Teras 6: Membudayakan Pembelajaran Sepanjang Hayat, Agensi Kelayakan Malaysia (Malaysian Qualifications Agency - MQA) telah diberikan mandat mewujudkan laluan di bawah pembelajaran sepanjang hayat. Lanjutan daripada itu, pada tahun 2008 MQA telah memulakan inisiatif pelaksanaan Pengakreditan Pembelajaran Berdasarkan Pengalaman Terdahulu (Accreditation of Prior Experiential Learning - APEL) dengan pengumpulan maklumat dari dalam dan luar negara.

Berdasarkan maklumat yang dikumpulkan, satu garis panduan amalan baik Pengakreditan Pembelajaran Berdasarkan Pengalaman Terdahulu (Guidelines To Good Practices: Accreditation of Prior Experiential Learning, APEL – GGP:APEL) telah dibina dan seterusnya telah diluluskan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi  pada 11 Disember 2009.
 
GGP:APEL yang menggariskan dasar asas dari segi syarat umum kelayakan APEL merupakan titik tolak pengendalian APEL yang berfungsi sebagai satu jalan kemasukan alternatif kepada mereka yang kurang atau tiada kelayakan akademik tetapi mempunyai pengalaman kerja yang berkaitan untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.
 
RINGKASAN PELAKSANAAN APEL
 
Selaras dengan hasrat untuk meningkatkan akses pendidikan tinggi menerusi pengiktirafan pembelajaran sepanjang hayat, APEL(A) bagi tujuan akses ke program Ijazah Sarjana Muda [tahap 6, Kerangka Kelayakan Malaysia (Malaysian Qualifications Framework, MQF)] telah dibuka kepada pihak umum pada 1 September 2011.  Ini diikuti pelaksanaan APEL(A) bagi tujuan akses ke program Sijil (tahap 3, MQF) dan Diploma (tahap 4, MQF) bermula 1 Februari 2013 serta Ijazah Sarjana (tahap 7, MQF) pada 18 Februari 2014. 
 
Sebagai kesinambungan usaha, pada 27 September 2016 APEL bagi tujuan pindah kredit (APEL(C)) pula telah diperkenalkan. APEL(C) memberi kelebihan kepada pelajar yang mempunyai pengalaman atau mengambil kursus-kursus pendek untuk mendapatkan pengecualian daripada mengambil mata pelajaran yang berkaitan dengan pengalamannya. Ini seterusnya akan mengurangkan jumlah kredit yang pelajar perlu ambil untuk mendapatkan kelayakan akademik yang dihasratkan.
 
Walau bagaimanapun, hanya Pemberi Pendidikan Tinggi (PPT) yang telah mendapat kelulusan MQA untuk melaksanakan APEL(C) sahaja yang boleh memberikan pindah kredit kepada pelajar masing-masing menerusi APEL(C). Buat masa sekarang hanya 5 PPT yang telah mendapat kelulusan untuk melaksanakan APEL(C) iaitu Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Terbuka Malaysia (OUM), Universiti Terbuka Wawasan (WOU), INTI International University dan Infrastructure University Kuala Lumpur (IUKL).
 
Sehubungan itu, MQA ingin menyeru semua PPT awam dan swasta untuk memohon melaksanakan APEL(C) di PPT masing-masing. Di samping itu, MQA juga ingin memaklumkan bahawa berdasarkan kaji selidik yang dijalankan oleh MQA pada tahun 2017, didapati 98% pelajar yang memasuki PPT dengan menggunakan laluan APEL(A) telah dapat mengikuti pengajian dengan baik. 

Kenyataan media ini dikeluarkan oleh MQA

SUMBER : Malaysian Qualifications Agency - MQA


UNTUK MAKLUMAT LANJUT SILA HUBUNGI: 
Nama : Mohamad Fairul Mohamad Hatim
Penolong Pengarah Unit Hal Ehwal Awam dan Antarabangsa
Tel : 03-7968 6034            
Emel : mfairul@mqa.gov.my

--BERNAMA 

 
 
 

Copyright @ 2024 MREM . All rights reserved.