ADGSOM1 & ADGMIN1  
       
  LAUNCH OF THE 50TH ANNIVERSARY CELEBRATION OF RUKUN NEGARA  
       
  KL SUMMIT 2019  
       
  HAWANA 2018  
       
  AES 2016  
       

 
 
 

April 19, 2024 -Jumaat

 
  PERKASA WANITA MENERUSI PERTANIAN

Thursday 08/03/2018



KUALA LUMPUR, 8 Mac (Bernama) -- Apabila YAB Perdana Menteri mengisytiharkan 2018 sebagai Tahun Memperkasa Wanita, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) melihat ia sebagai satu seruan yang murni dan telah mula merangka sumbangan kami untuk menyokong hasrat yang digariskan.  

MOA percaya, salah satu aspek memperkasakan wanita adalah dengan memberikan keupayaan ekonomi kepada mereka, agar mereka dapat membuat keputusan sendiri dalam menentukan kehidupan. 

Sektor pertanian sememangnya menyediakan pelbagai ruang untuk sesiapa sahaja meningkatkan taraf hidup dan pendapatan menerusi keusahawanan, termasuklah dalam bidang tanaman, ternakan, perikanan, mahupun industri asas tani, makanan serta kulinari. 

Sektor pertanian ini, yang dahulunya mungkin dikaitkan dengan kemiskinan dan tekanan ke atas wanita, kini pula mampu menjadi batu loncatan untuk melonjakkan kehidupan serta memberikan kebebasan ekonomi kepada golongan tersebut.

Untuk itu, MOA telah menggerakkan pelbagai agensi di bawahnya untuk membuka lebih banyak peluang bagi wanita menceburi bidang pertanian.

Antara lain, TEKUN Nasional telah mengumumkan bahawa separuh daripada RM500 juta dana tahun ini telah diperuntukkan kepada usahawan wanita, untuk membantu mereka memulakan atau mengembangkan perniagaan. 

Pada tahun 2017 sahaja, TEKUN telah membiayai sejumlah 18,320 orang usahawan wanita, atau separuh daripada peruntukan dana RM380 juta. Satu lagi agensi pembiayaan di bawah MOA, iaitu Agrobank pula pada tahun lalu telah memberi pembiayaan sejumlah RM340 juta kepada 11,400 usahawan wanita. 

Sementara itu, daripada 3,200 usahawan yang dibantu menerusi skim agropreneur muda MOA pada tahun lalu, 975 orang atau 30% adalah wanita.

Pada masa yang sama, Kementerian juga telah mengatur beberapa program besar pada tahun 2018, yang temanya menjurus ke arah pemerkasaan wanita. 

Malaysia Agriculture, Horticulture and Agrotourism International Show 2018 (MAHA2018) yang akan diadakan selama 11 hari pada bulan November dan Disember kelak akan membawakan konsep “Segalanya Wanita”. Ia bakal menjadi satu himpunan usahawan wanita dari serata negara, serta menonjolkan peranan dan sumbangan wanita dalam industri penghasilan makanan negara. 

Konsep “Segalanya Wanita” ini turut akan dibawa dalam siri jelajah “Road to MAHA” yang akan diadakan tiga lokasi, iaitu di Lundu Sarawak (24 – 25 Mac), Teluk Intan Perak (31 Mac – 1 April) dan Kemaman Terengganu (5 – 7 April).

Road to MAHA di Kemaman akan diadakan bersekali dengan Karnival Usahawanita 2018, yang menjadi medan untuk ratusan usahawan wanita mempamer dan menjual segala produk terbaik mereka, serta untuk pengunjung mendapat pengisian ilmu dan tip daripada usahawan yang berjaya dalam bidang masing-masing. 

MOA menyeru golongan wanita merebut peluang yang disediakan oleh MOA dan agensi-agensi Kerajaan yang lain, agar matlamat Tahun Memperkasa Wanita dapat bersama dicapai.

Selamat menyambut Hari Wanita Antarabangsa 2018!

DATO’ SRI AHMAD SHABERY CHEEK
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani

SUMBER : Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani

UNTUK MAKLUMAT LANJUT SILA HUBUNGI: 
Nama : Mohd Asril Idris
Ketua Komunikasi Korporat
Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani
Tel : 013-3448185
Emel : asril@moa.gov.my 

--BERNAMA 




 

 
 
 

Copyright @ 2024 MREM . All rights reserved.