ADGSOM1 & ADGMIN1  
       
  LAUNCH OF THE 50TH ANNIVERSARY CELEBRATION OF RUKUN NEGARA  
       
  KL SUMMIT 2019  
       
  HAWANA 2018  
       
  AES 2016  
       

 
 
 

April 27, 2024 -Sabtu

 
  SITUASI SEMASA DEMAM DENGGI, ZIKA DAN CHIKUNGUNYA DI MALAYSIA

Wednesday 07/03/2018



(Bagi Minggu 8/2018 Dari 18 Hingga 24 Februari 2018)

KUALA LUMPUR, 7 Mac (Bernama) -- Pada minggu ke-8 tahun 2018, tiga (3) kematian akibat Denggi telah dilaporkan dari Perak, Sarawak dan Pahang. Ketiga-tiga kes tersebut berumur melebihi 60 tahun dan mempunyai penyakit kronik seperti kencing manis dan darah tinggi. Untuk tempoh tersebut juga, terdapat peningkatan kes Demam Denggi, iaitu sejumlah 1,224 kes dilaporkan, meningkat sebanyak 52 kes (4.4%) berbanding 1,172 kes pada minggu ke-7 tahun 2018.

Hasil pemantauan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia pada minggu ke-8 tahun 2018 mendapati jumlah kumulatif kes Denggi yang direkodkan sehingga 24 Februari 2018 ialah sebanyak 9,072 kes berbanding 14,513 kes bagi tempoh yang sama tahun 2017, iaitu penurunan sebanyak 5,441 kes (37.5%). Untuk kematian Denggi pula, sebanyak 20 kematian dicatatkan untuk tempoh yang sama, berbanding 40 kematian dilaporkan pada tahun 2017, penurunan sebanyak 20 kes (50%).

Sehingga 24 Februari 2018, sejumlah 383 lokaliti wabak Demam Denggi masih aktif di 11 negeri. Pada minggu yang sama juga, terdapat 136 lokaliti hotspot semasa yang dilaporkan melibatkan empat (4) buah negeri iaitu 30 lokaliti di Selangor, tiga (3) di Perak, dua (2) lokaliti di Sabah, dan satu (1) lokaliti di Pulau Pinang.

Menurut kajian yang dilakukan oleh Farah Amirah et al 2016 untuk melihat profil nyamuk Aedes di bangunan bertingkat di negeri Selangor, didapati indeks ovitrap yang agak tinggi di pangsapuri (16.7%) berbanding apartmen (6.1%). Antara penemuan penting hasil kajian tersebut adalah keadaan sanitasi dan kebersihan pangsapuri yang tidak memuaskan kerana terdapat banyak bekas-bekas domestik seperti baldi, pasu dan mangkuk plastik selain sampah yang dibuang di atas bumbung bangunan oleh penduduk setempat yang tidak bertanggungjawab.

Di samping itu, kajian tersebut juga mendapati air bertakung di koridor dan parit selepas hujan yang turut menyumbang kepada tampat pembiakan nyamuk Aedes. Sehubungan itu, kerjasama antara orang ramai dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) perlu ditingkatkan dalam memusnahkan kawasan pembiakan nyamuk Aedes bagi mengurangkan risiko penularan jangkitan Demam Denggi.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga telah menerima satu (1) kes Chikungunya iaitu dari daerah Sik, Kedah. Jumlah kumulatif kes Chikungunya sehingga 24 Februari 2018 adalah sebanyak 37 kes iaitu 31 kes dari Kelantan, dua (2) kes di Kedah dan masing-masing satu (1) di Perlis, Selangor, Sarawak dan Sabah. Pemantauan sistem survelan virus Zika oleh Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) dan lnstitut Penyelidikan Perubatan (IMR) sehingga 24 Februari 2018, mendapati keputusan ujian bagi 278 sampel darah di kalangan pesakit yang menunjukkan gejala jangkitan virus Zika adalah negatif.

KKM menyeru supaya masyarakat meneruskan perlaksanaan aktiviti pembersihan dan menghapuskan tempat-tempat potensi untuk pembiakan nyamuk Aedes di premis masing-masing setiap minggu. Komitmen daripada individu, masyarakat dan agensi lain dalam aktiviti pencegahan Denggi diperlukan untuk membendung peningkatan kes Denggi. Tiada Aedes, Tiada Denggi dan Chikungunya.

Laporan Lengkap Beserta Lampiran di sini
 
DATUK DR. NOOR HISHAM BIN ABDULLAH
Ketua Pengarah Kesihatan
Kementerian Kesihatan Malaysia

Sumber : Kementerian Kesihatan Malaysia

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama : Nor Suzaman Abdul Rahman
Tel : 03-8883 3470 / 013-399 7025
Emel : n.suzaman@moh.gov.my

--BERNAMA

 

 
 
 

Copyright @ 2024 MREM . All rights reserved.