PIPOC 2007  
       
  LANGKAWI INTERNATIONAL DIALOGUE  
       
  IKIM :THE ROLE OF ISLAMIC  
       
  KL OIC HEALTH  
       
  PERAK ROYAL EVENT  
       
  DEVELOPING 8 (D8) MINISTERS MEETING ON FOOD SECURITY  

 
 
 

Oktober 22, 2018 -Isnin

 
  KENYATAAN MEDIA DATUK SERI MAH SIEW KEONG MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI: KUNJUNGAN HORMAT OLEH PESURUHJAYA TINGGI BRITISH KE MALAYSIA, H.E. VICKI TREADELL

Wednesday 07/02/2018


Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Mah Siew Keong menyerahkan syiling Peringatan Ulang Tahun Industri Minyak Sawit Malaysia ke-100 Tahun kepada Pesuruhjaya Tinggi British ke Malaysia, H.E. Vicki Treadell



KUALA LUMPUR, 7 Feb (Bernama) -- Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Mah Siew Keong telah menerima kunjungan hormat dari H.E. Vicki Treadell, Pesuruhjaya Tinggi British ke Malaysia.
 
Perbincangan semasa pertemuan tersebut telah tertumpu kepada cadangan Parlimen Kesatuan Eropah (EU ) untuk menghalang penggunaan biofuel dan tenaga dari sumber sawit menjelang tahun 2021 dan impaknya kepada 650,000 pekebun kecil sawit di Malaysia.
 
Malaysia berpendirian teguh menentang keras resolusi yang bersifat diskriminasi tersebut memandangkan penggunaan minyak sayuran lain masih dibenarkan di bawah perundangan Renewable Energy Directive (RED) sehingga tahun 2030.
 
Dalam hal ini, H.E. Vicki Treadell berkongsi pendapat bahawa pengharaman penggunaan minyak sawit lebih awal daripada minyak sayuran yang lain adalah tidak adil dan bertentangan dengan semangat amalan perdagangan bebas.
 
Datuk Seri Mah Siew Keong turut merakamkan ucapan penghargaan kepada ahli-ahli parlimen Kesatuan Eropah dari United Kingdom yang telah menentang resolusi pengharaman minyak sawit pada bulan Januari lalu, terutamanya daripada ahli-ahli parlimen yang mewakili UK Conservative Party.
 
Dalam hal yang berlainan, pertemuan tersebut turut membincangkan potensi kerjasama masa hadapan antara Malaysia dan UK, terutamanya dalam menerokai pembangunan produk-produk hiliran bernilai tambah tinggi berasaskan sawit bagi mewujudkan lebih banyak peluang ekonomi baru.
 
Bagi tujuan tersebut, kedua-dua belah pihak bersetuju untuk menganjurkan rundingan meja bulat dengan para peneraju utama industri sawit tempatan, bakal pelabur serta pakar teknikal daripada Malaysia dan UK.
 
Pada penghujung pertemuan, Datuk Seri Mah Siew Keong turut memaklumkan Kerajaan British bahawa beliau bakal mengetuai Delegasi Malaysia ke Eropah bagi Misi Rundingan Sawit Malaysia-EU bermula pada 10hb Februari 2018.

Selain berjumpa dengan beberapa orang Komisioner EU serta pembuat dasar, misi rundingan ini bakal melibatkan pertemuan bersama wakil-wakil kerajaan daripada 6 buah negara EU yang berbeza, seperti Jerman, United Kingdom, Belgium, Sepanyol, Itali dan Poland.
 
Misi ini adalah bertujuan untuk berunding dengan ahli-ahli mesyuarat rundingan tiga hala (tripartite meeting) dari negara-negara yang berpengaruh bagi mendapatkan sokongan dan menyampaikan pendirian tegas Malaysia berkenaan ketidakadilan terhadap industri sawit.
  
DATUK SERI MAH SIEW KEONG
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Malaysia

Sumber : kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi Malaysia

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Name : SITI HAJAR ZULKEFLE
Unit Komunikasi Korporat
Tel : 03 - 88873381
Faks : 03 – 88878205

--BERNAMA

 

 
 
 

Copyright @ 2018 MREM . All rights reserved.