PIPOC 2007  
       
  LANGKAWI INTERNATIONAL DIALOGUE  
       
  IKIM :THE ROLE OF ISLAMIC  
       
  KL OIC HEALTH  
       
  PERAK ROYAL EVENT  
       
  DEVELOPING 8 (D8) MINISTERS MEETING ON FOOD SECURITY  

 
 

Ogos 28, 2014 -Khamis

 
 
  UNITAR IKTIRAF PELAJAR DI MALAM ANUGERAH KELAB DAN PERSATUAN

Friday 20/02/2004

KELANA JAYA, 20 Feb. 2004 -- Universiti Tun Abdul Razak (UNITAR), sebuah universiti e-pembelajaran bertaraf MSC dan memiliki sijil kualiti ISO 9001:2000 pertama di Malaysia, baru-baru ini telah mengiktiraf kelab dan persatuan pelajar UNITAR di Malam Anugerah Kelab dan Persatuan pertama yang diadakan pada 17 Februari 2004 yang lalu di pusat pembelajaran Kelana Jaya.

Pertandingan ini adalah anjuran bersama Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Majlis Perwakilan Mahasiswa, UNITAR.

"Malam Anugerah Kelab dan Persatuan diaturkan khas bagi menghargai pencapaian dan komitmen pelajar dalam mengendalikan kelab dan persatuan, dan aktiviti tahunannya" kata Datuk Dr. Syed Othman Alhabshi, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, UNITAR.

"UNITAR ingin memberi penekanan bahawa menyertai aktiviti luar kurikulum adalah sama penting dengan telaah pelajaran kerana ini mampu membentuk personaliti dan watak seseorang pelajar," tambah Datuk Syed lagi.

Kategori-kategori yang telah dipertandingkan adalah Kelab/Persatuan Baru Terbaik, Kelab/Persatuan Harapan, Kelab/Persatuan Keseluruhan Terbaik, dan sebuah penghargaan khas iaitu Anugerah Khas Sukan yang akan diberikan kepada pelajar yang mendapat pencapaian cemerlang dalam sukan di peringkat universiti atau lebih tinggi sepanjang tahun 2003.

Kelab Wawasan yang telah ditubuhkan pada 15 Februari 2003 telah memenangi kategori Kelab/Persatuan Baru Terbaik.

Bermula hanya dengan 30 orang ahli, ia dianggotai oleh lebih 110 ahli.

Antara aktiviti yang boleh dibanggakan sepanjang tahun 2003 adalah Khemah Bina Insan dan Sukarelawan Turun ke Kampung.

Bagi kategori Kelab/Persatuan Harapan pula, Persatuan Mahasiswa India UNITAR (PMIU) berjaya memenangi dengan kejayaannya menganjurkan acara-acara penting seperti Kalai Iravu iaitu Malam Kebudayaan India, Malam Deepavali dan Pertandingan Bola Jaring.

Hadiah bagi kategori Kelab/Persatuan Keseluruhan Terbaik pula digondol oleh Borneo Student Society (BSS) iaitu sebuah persatuan anak-anak jati Sabah.

Persatuan ini bukan sahaja aktif mengadakan atau menganjurkan aktiviti tetapi juga aktif menyertai aktiviti yang diadakan di dalam mahupun di luar UNITAR.

Persatuan ini telah berjaya mengumpul tajaan dari beberapa organisasi, syarikat dan yayasan milik anak Sabah untuk menyokong aktiviti persatuan.

Anugerah Khas Sukan pula telah menobatkan Bobby Gonzales, seorang pemain bolasepak muda negara.

Antara pencapaian beliau dalam arena bolasepak mewakili negeri Sabah ialah Naib Johan Piala Malaysia 2003, tempat keempat dalam Liga Perdana 2003, memasuki Suku Akhir Piala FA 2003, mewakili Sabah ke Liga Super 2004.

Beliau juga telah mewakili pasukan bolasepak Malaysia dalam Sukan Afro-Asia 2003, Hyderabad, India, Oktober 2003 yang lalu.

Sejajar dengan majlis penganugerahan ini, sebuah pertandingan nyanyian iaitu Pertandingan Irama dan Lagu telah diadakan pada sebelah siangnya.

Ia dibuka kepada semua kakitangan dan pelajar universiti ini dalam 4 kategori.

Pemenang-pemenang bagi setiap kategori akan membuat persembahan di malam anugerah tersebut.

Lagu Nasyid Solo telah dimenangi oleh Mohd. Edry Ezwan manakala Lagu Pop Solo pula telah dimenangi oleh Viancy Ng @ Norati.

Bagi Lagu Nasyid Berkumpulan, johan adalah Kumpulan An-Nazirin, manakala kategori Lagu Pop Berkumpulan pula dimenangi oleh pasangan duet Natasha Afzan & Muhd Zafran.

Anugerah Persembahan Terbaik telah diberikan kepada sebuah kumpulan lima wanita yang diketuai oleh Haryati Abd Ghalid.

Panel hakim bagi pertandingan ini adalah Hani M.J., seorang komposer dan penulis lirik yang tidak asing lagi, Khairil, seorang pensyarah muzik dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), dan Hafiz, penyanyi dari Kumpulan Sofwan, sebuah kumpulan nasyid popular negara.

Mengenai UNITAR
Universiti Tun Abdul Razak (UNITAR) ialah sebuah universiti bertaraf MSC dan memiliki pengiktirafan ISO9001:2000 yang berteraskan e-pembelajaran yang pertama di negara ini.

Ia dimiliki sepenuhnya oleh KUB Malaysia Berhad, sebuah institusi korporat yang disenarai-awamkan di Papan Utama Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL).

Pendidikan yang dijalankan di UNITAR menggunakan teknologi e-pembelajaran seperti Internet, perisian kursus dalam bentuk web atau cakera padat di samping pertemuan akademik serta tutorial bersemuka yang berasaskan kaedah fasilitator.

UNITAR sehingga kini menawarkan 20 program akademik dalam bidang-bidang Pentadbiran Perniagaan, Teknologi Maklumat, Kemanusiaan dan Sains Sosial.

UNITAR mempunyai 9 buah pusat pembelajaran wilayah di Malaysia, sebuah di Phnom Penh, Kampuchea dan sebuah lagi di Bangkok, Thailand, yang kesemuanya mendaftarkan sejumlah 8,000 orang pelajar.

UNITAR juga telah menerima akreditasi LAN bagi 11 daripada 20 programnya. Pelajar UNITAR juga layak untuk memohon pinjaman pendidikan daripada PTPTN.

DIKELUARKAN OLEH UNIVERSITI TUN ABDUL RAZAK (UNITAR)
HUBUNGI : HASNAN HAKIM / SH. FEI'ZIAH ALQUDSY
E-MEL : hasnanh@unitar.edu.my / feiziah@unitar.edu.my
TEL : 603-7809 2100
FAKS : 603-7627 7243
TARIKH SIARAN : 20 FEB, 2004
DISIARKAN OLEH BERNAMA PRWIRE MALAYSIA*GLOBAL

 
 
 

Copyright @ 2014 MREM . All rights reserved.