PIPOC 2007  
       
  LANGKAWI INTERNATIONAL DIALOGUE  
       
  IKIM :THE ROLE OF ISLAMIC  
       
  KL OIC HEALTH  
       
  PERAK ROYAL EVENT  
       
  DEVELOPING 8 (D8) MINISTERS MEETING ON FOOD SECURITY  

 
 

Januari 23, 2018 -Selasa

 
  SITUASI SEMASA DEMAM DENGGI, CHIKUNGUNYA DAN ZIKA DI MALAYSIA UNTUK TAHUN 2017

Wednesday 10/01/2018



KUALA LUMPUR, 10 Jan (Bernama) -- Tahun 2017 merupakan tahun kedua berturut-turut kes Demam Denggi berjaya dikurangkan sejak tahun 2015 di mana kes Demam Denggi tertinggi telah dicatatkan pada tahun tersebut iaitu sebanyak 120,836 kes. Pada tahun 2016, penurunan kes adalah sebanyak 16.1% berbanding tahun sebelumnya. Sepanjang tahun 2017, sebanyak 83,849 kes Demam Denggi telah dilaporkan berbanding 101,357 kes bagi tempoh yang sama tahun 2016, iaitu pengurangan sebanyak 17,508 kes (17.3%). Untuk tempoh yang sama, sebanyak 177 kes kematian akibat Demam Denggi direkodkan di seluruh negara, penurunan sebanyak 60 kematian (25.3%) berbanding tahun 2016 iaitu 237 kes kematian.

Daripada hasil pemantauan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tahun 2017, bilangan kes Denggi mingguan yang dicatatkan adalah di bawah angka 1,500 seminggu sejak awal bulan Ogos 2017 sehingga ke penghujung tahun. Untuk makluman semua, purata kes mingguan yang dilaporkan sebelum itu adalah sekitar 2,000 hingga 3,000 kes seminggu. Bermula pada awal Ogos 2017 juga, terdapat tren penurunan bagi bilangan lokaliti wabak iaitu dari 698 lokaliti wabak kepada 314 lokaliti pada 30 Disember 2017, iaitu pengurangan sebanyak 384 lokaliti (55%). Manakala lokaliti hotspot juga berkurangan dari 121 lokaliti hotspot kepada 26 lokaliti hotspot (78.5%).

Pencapaian positif ini adalah merupakan hasil daripada tindakan bersepadu daripada pelbagai kementerian, agensi, masyarakat dan individu.

Pasukan Petugas Khas Denggi Peringkat Kebangsaan yang terdiri oleh tujuh (7) kementerian dan pelbagai agensi lain telah ditubuhkan sejak bulan Julai 2014 untuk menggerakkan agensi dan masyarakat dalam menjalankan aktiviti pencegahan dan kawalan denggi.

Antara aktiviti yang telah dijalankan pada tahun 2017 ialah Gotong-Royong Mega Bersepadu Perangi Aedes sebanyak 2 kali yang meliputi 241 lokasi di seluruh negara sebagai langkah proaktif untuk membendung peningkatan kes Demam Denggi. Untuk mempergiatkan lagi aktiviti kebersihan supaya tempat berpotensi pembiakan Aedes dapat dihapuskan, Gotong-Royong Merdeka 2017 dengan tema 'Negaraku Sehati Sejiwa Sihat' turut dianjurkan bersama oleh KKM, Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), dan Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) sepanjang bulan kemerdekaan.

Aktiviti operasi penguatkuasaan bersepadu turut dijalankan secara berkala dan berterusan sebagai salah satu langkah menyekat penularan kes Demam Denggi. Sebanyak 12 arahan `Operasi Gempur Aedes' telah dikeluarkan oleh KKM dan dikelolakan oleh Jabatan Kesihatan Negeri dan Pejabat Kesihatan Daerah dengan kerjasama PBT, CIDB, DOSH serta PDRM. Sebanyak 2,458 tapak binaan, 13,408 tapak komersial, 639 tapak semaian dan 1,698 premis barang lusuh telah diperiksa. Sejumlah 1,702 kompoun dengan nilai RM 534,000 telah dikeluarkan manakala 38 tapak binaan telah menerima arahan penutupan di bawah Seksyen 8(3)(aa).

Selain itu juga, Kementerian Komunikasi Multimedia Malaysia (KKMM) turut membantu dalam menyediakan slot di televisyen dan radio mengenai iklan pencegahan Demam Denggi sepanjang tahun secara percuma. Secara keseluruhannya, siaran promosi pencegahan Demam Denggi adalah sebanyak 8,325 siaran di televisyen dan 8,324 siaran di radio sepanjang tahun 2017. Kementerian Pendidikan Malaysia juga komited dengan memasukkan aktiviti pencegahan Denggi di dalam ko-kurikulum sekolah di seluruh Malaysia. Program Denggi Petrol 2017 telah disertai oleh 187 buah sekolah dalam pelaksanaan kempen pencegahan Denggi sama ada terlibat secara turun padang atau pun secara atas talian di media sosial di mana 10,513 inisiatif komuniti telah dijalankan. Penglibatan masyarakat dalam aktiviti pencegahan dan kawalan denggi terutamanya di kawasan hotspot denggi melalui penubuhan projek Communication for Behavioral Impact (COMBI) turut menyumbang kepada penurunan kes Denggi. Sehingga Disember 2017, terdapat 3,082 projek COMBI dilaksanakan dalam masyarakat yang melibatkan sekitar 63,000 anggota sukarelawan.

Jumlah kumulatif kes Chikungunya yang direkodkan pada tahun 2017 adalah sebanyak 270 kes iaitu 190 kes dari Kedah, 33 kes dari Selangor, 24 kes dari Johor, 19 kes dari Kelantan, dan masing-masing dua (2) kes dari Perak dan Sarawak. Bagi tahun 2017, pemantauan sistem survelan virus Zika terus digiatkan dan sehingga 30 Disember 2017, keputusan ujian bagi 2,304 sampel darah dan 33 sampel air kencing di kalangan pesakit yang menunjukkan gejala jangkitan virus Zika didapati adalah negatif. Tiada Aedes, Tiada Denggi, Chikungunya dan Zika.

DATUK DR. NOOR HISHAM BIN ABDULLAH
Ketua Pengarah Kesihatan
Kementerian Kesihatan Malaysia 

Sumber : Kementerian Kesihatan Malaysia

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama : Nor Suzaman Abdul Rahman
Tel : 03-8883 3470 / 013-399 7025
Emel : n.suzaman@moh.gov.my

--BERNAMA
 

 
 
 

Copyright @ 2018 MREM . All rights reserved.