ADGSOM1 & ADGMIN1  
       
  LAUNCH OF THE 50TH ANNIVERSARY CELEBRATION OF RUKUN NEGARA  
       
  KL SUMMIT 2019  
       
  HAWANA 2018  
       
  AES 2016  
       

 
 
 

April 24, 2024 -Rabu

 
  KERAJAAN KOMITED DALAM MEMPERKASAKAN PKS

Monday 20/11/2017



PKS Digesa Untuk Lebih Proaktif Dalam Meningkatkan Daya Saing

KOTA BAHRU, 20 Nov (Bernama) --
“Kerajaan terus memberi perhatian kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dalam Bajet 2018 bagi merancakkan lagi momentum tahun 2017 yang telah diisytiharkan sebagai Tahun Promosi PKS. Peruntukan yang diberikan iaitu sebanyak RM23.7 billion sangat bersifat holistik kerana merangkumi pelbagai aspek pembangunan dan pemerkasaan PKS,” kata YB Dato’ Sri Mustapa Mohamed, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) semasa merasmikan Seminar “Peluang Pelaburan & Pembangunan untuk PKS” yang dianjurkan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) hari ini di Hotel Grand Riverview, Kota Bahru, Kelantan.

“Kerajaan juga serius dalam memastikan syarikat-syarikat PKS tidak ketinggalan dalam mengikuti arus Industri 4.0. Untuk memastikan kesiapsiagaan mereka, Kerajaan turut memperuntukkan pakej insentif baru untuk Industri 4.0 di bawah MIDA bagi menggalakkan PKS beralih kepada automasi. Dengan adanya fasiliti seperti ini, PKS perlu secara proaktif mengambil inisiatif untuk beralih kepada kaedah automasi dan perkilangan pintar. Melaluinya PKS boleh meningkatkan produktiviti serta daya saing dalam merebut peluang perniagaan di dalam dan luar negara yang terbuka luas melalui rangkaian perjanjian perdagangan bebas dua hala dan pelbagai hala yang ditandatangani oleh Malaysia,” tambah YB Menteri.

Seminar tersebut merupakan sebahagian daripada program Hari MITI Zon Pantai Timur yang berlangsung pada 19 & 20 November 2017. Turut hadir adalah Encik Ahmad Khairuddin A.Rahim, Pengarah Eksekutif, Pembangunan Perkilangan (Sumber), MIDA. Seramai lebih 300 peserta telah turut serta dalam program ini yang majoritinya merupakan syarikat PKS di negeri Kelantan,Terengganu dan Pahang.

Setakat Jun 2017, MIDA telah meluluskan sebanyak 292 projek perkilangan dengan pelaburan berjumlah RM6.5 billion bagi negeri Kelantan. Lebih 38,000 peluang pekerjaan telah dijana untuk rakyat melalui projek-projek ini. 78% daripada pelaburan ini adalah dari sumber tempatan, membuktikan potensi pemain tempatan, terutamanya dari Kelantan untuk memacu pertumbuhan ekonomi negeri ini.

Selain insentif khusus untuk PKS, YB Menteri juga memaklumkan bahawa peruntukan RM1 billion kepada Lima Koridor Utama yang merangkumi pembinaan pelabuhan dan kawasan perindustrian di Tok Bali bakal merancakkan lagi pertumbuhan sosioekonomi negeri Kelantan. “Pengumuman ini sangat dialu-alukan kerana ianya melengkapi usaha-usaha yang dilaksanakan oleh  pasukan petugas khas pembangunan projek Tok Bali yang diketuai oleh MIDA, di bawah kepimpinan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dato’ Azman Mahmud. Tentunya ia akan memberi manfaat kepada para penduduk setempat melalui peluang pekerjaan dan keusahawanan, sekaligus meningkatkan lagi kualiti kehidupan rakyat di sini.”

Seminar ini mengetengahkan dua bidang tumpuan utama yang menyediakan pelbagai peluang perniagaan untuk PKS di Wilayah Pantai Timur iaitu sektor pembinaan & infrastruktur dan sektor pemprosesan & bekalan makanan. Bagi membolehkan peserta meraih manfaat maksimum dari peluang ini, seminar turut menyentuh topik berkaitan insentif/ kemudahan kewangan, kaedah dan teknologi terkini serta kemudahan/ fasiliti yang disediakan oleh agensi-agensi di peringkat pusat dan negeri.

Antara yang terlibat bagi menjayakan program ini termasuklah Institut Penyelidikan Produk Halal Universiti Putra Malaysia (IPPH-UPM), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), Unit Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M), Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP)  Kelantan, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), LULU Group Retail, G-Orange Homemart, Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB), Pelaburan MARA Berhad, SME Bank dan Credit Guarantee Corporation (CGC).

Pautan ke ‘Talking Points’ YB Dato’ Sri Mustapa Mohamed, Menteri MITI: http://bit.ly/2zWBTKd
 
Pautan ke Teks Ucapan, Encik Ahmad Khairuddin, Pengarah Eksekutif MIDA: http://bit.ly/2zSnmle

Sumber : Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) 

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama : Encik Ahmad Tajudin Omar
Pengarah, Bahagian Pelaburan Tempatan, MIDA
Tel : 03-2267 3627 
Faks : 03 2273 4207 
Emel : tajudin@mida.gov.my

--BERNAMA

 
 
 

Copyright @ 2024 MREM . All rights reserved.