ADGSOM1 & ADGMIN1  
       
  LAUNCH OF THE 50TH ANNIVERSARY CELEBRATION OF RUKUN NEGARA  
       
  KL SUMMIT 2019  
       
  HAWANA 2018  
       
  AES 2016  
       

 
 
 

April 26, 2024 -Jumaat

 
  ANUGERAH ENTERPRIS 50 RAI KECEMERLANGAN PKS DI MALAYSIA

Friday 17/11/2017



KUALA LUMPUR, 17 Nov (Bernama) -- SME Corp. Malaysia telah mengumumkan 10 pemenang utama Anugerah Enterpris 50 (E50) 2017 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), hari ini. Pengumuman ini telah dibuat oleh YBhg. Datuk (Dr.) Hafsah Hashim, Ketua Eksekutif SME Corp. Malaysia, pada satu sidang akhbar khas Anugerah Enterpris 50 pagi ini. Lebih daripada 500 syarikat dengan penarafan 4 dan 5 bintang di bawah Program Penilaian Penarafan Daya saing PKS bagi Peningkatan  (SCORE) anjuran SME Corp. Malaysia telah dijemput untuk menghantar pencalonan, yang mana hanya 50 syarikat terbaik telah dinilai oleh Deloitte dan ahli Panel professional untuk menerima anugerah ini. Semua syarikat ini telah melalui proses penilaian yang ketat, berdasarkan pelbagai parameter, antara lain termasuk proses pengurusan; inovasi, strategi pasaran, penggunaan teknologi; hasil eksport; pelaburan modal, latihan dan penyelidikan.
 
Dengan tema “Celebrating Malaysia’s Enterprising Spirit”, Anugerah E50 2017 kali ini meraikan ulangtahun penganjurannya yang ke-20 semenjak ianya mula diperkenalkan pada tahun 1997. Melalui kerjasama erat di antara SME Corp. Malaysia, Deloitte Malaysia dan rakan strategik seperti MIDF, TM, RHB serta Media Prima dan Malaysia SME sebagai rakan media, anugerah berprestij ini kembali untuk mengiktiraf perusahaan terbaik di Malaysia. Anugerah E50 juga dilihat sebagai sebuah platform yang mampu memupuk semangat keusahawanan dan menggalakkan PKS memacu kecemerlangan di samping bersaing untuk mendapat pengiktirafan yang mampu melonjak status perniagaan mereka.
 
Sama seperti edisi Anugerah E50 pada tahun lepas, Anugerah Usahawan Wanita E50 diteruskan di dalam mengiktiraf PKS milikan wanita yang menunjukkan prestasi cemerlang di dalam sistem pengurusan dan perkembangan syarikat secara keseluruhan. Sejak ianya mula diperkenalkan pada tahun lepas, anugerah ini mengiktiraf kejayaan dan keupayaan usahawan wanita untuk dijadikan sebagai usahawan contoh dan menjadi sumber inspirasi kepada usahawan wanita yang lain untuk terus cemerlang di dalam bidang perniagaan.

Walaupun terpaksa berhadapan dengan persekitaran ekonomi yang mencabar, para penerima anugerah E50 telah membuktikan kemampuan untuk terus berdaya saing dan berdaya tahan di mana hampir 70% daripada penerima anugerah tahun ini telah pun menembusi pasaran eksport. SME Corp. Malaysia optimis bilangan ini akan terus meningkat dari masa ke masa selaras dengan pengumuman Bajet 2018 yang komprehensif dan menyeluruh serta mengambil kira keperluan semasa PKS termasuk pembiayaan, promosi eksport dan keperluan khusus PKS mengikut sektor termasuk pelancongan, pengangkutan, teknologi hijau, halal dan industri kreatif.

10 penerima utama Anugerah E50 pada tahun ini adalah Builtech Project Management Sdn Bhd, Big Onion Food Caterer Sdn Bhd, CLPG Packaging Industries Sdn Bhd, Ever Delicious Food Industries Sdn Bhd, Harta Maintenance Sdn Bhd, MKRS Bumi (M) Sdn Bhd, Respack Manufacturing Sdn Bhd, The Origin Foods Sdn Bhd, Tidy Non-Wovens Sdn Bhd dan xPrint Sdn Bhd. Sehingga kini, sebanyak 2,061 syarikat telah tercalon untuk anugerah ini di mana 695 daripadanya telah terpilih sebagai penerima anugerah. Daripada kelompok penerima anugerah ini, sebanyak 60 syarikat telah tersenarai di dalam Bursa Malaysia dengan 46 di Papan Utama dan 14 di dalam Pasaran ACE.
 
Menjadi acara kemuncak kepada Pameran Tahunan (SMIDEX) & Persidangan PKS 2017, para penerima anugerah akan diraikan di dalam satu Majlis Makan Malam Anugerah E50 yang akan disempurnakan oleh YB Dato’ Sri Mustapa Mohamed, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri pada malam ini. Selain daripada menikmati pelbagai manfaat dan ganjaran, setiap penerima anugerah E50 akan secara automatik tercalon di dalam Anugerah Kecemerlangan Industri (AKI) anjuran Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan seterusnya mendapat pengiktirafan, sokongan dan jaringan perniagaan yang luas di antara ahli alumni E50 yang lain.
 
Di antara tetamu kehormat yang akan turut hadir pada Majlis Makan Malam Anugerah E50 ialah YB Datuk Haji Ahmad Bin Haji Maslan, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), YBhg. Datuk Seri J.Jayasiri, Ketua Setiausaha MITI; Tan Sri Ir. (Dr) Mohamed Al Amin Abdul Majid, Pengerusi, SME Corp. Malaysia; YBhg. Datuk Tan Theng Hooi, Country Managing Partner, Deloitte Malaysia dan YBhg. Datuk (Dr) Hafsah Hashim, Ketua Eksekutif, SME Corp. Malaysia.


Untuk maklumat lanjut, sila berhubung dengan Amy Sarah Ahmad Fuad di 03-2775 6352 (amysarah@smecorp.gov.my) atau Ahmad Mu’izz Mohd Yusof di 03-2775 6275 (muizzyusof@smecorp.gov.my).
 
PERBADANAN PERUSAHAAN KECIL DAN SEDERHANA MALAYSIA 
(SME CORP. MALAYSIA)                
Level 6, SME 1, Blok B, Platinum Sentral,
Jalan Stesen Sentral 2,
Kuala Lumpur Sentral,
50470 Kuala Lumpur, Malaysia
Telefon: 603-2775 6000    Fax: 603-2775 6001
http://www.smecorp.gov.my
e-mail: info@smecorp.gov.my

SME Corp. Malaysia
 
SME Corp. Malaysia merupakan sebuah Agensi Penyelaras Pusat yang menggubal dasar umum dan strategi PKS serta menyelaras pelaksanaan Program Pembangunan PKS anjuran semua Kementerian dan Agensi yang berkaitan. Ia bertindak sebagai pusat rujukan setempat bagi penyelidikan dan penyebaran data PKS serta sebagai pusat perhubungan untuk maklumat dan menyediakan khidmat nasihat untuk PKS di Malaysia. SME Corp. Malaysia turut memainkan peranan sebagai Sekretariat kepada Majlis Pembangunan PKS Kebangsaan (MPPK) yang dipengerusikan oleh Y.A.B. Perdana Menteri Malaysia.

SUMBER : SME Corp. Malaysia

--BERNAMA

 
 
 

Copyright @ 2024 MREM . All rights reserved.