ADGSOM1 & ADGMIN1  
       
  LAUNCH OF THE 50TH ANNIVERSARY CELEBRATION OF RUKUN NEGARA  
       
  KL SUMMIT 2019  
       
  HAWANA 2018  
       
  AES 2016  
       

 
 
 

Mei 10, 2024 -Jumaat

 
  MAJLIS SAMBUTAN HARI INOVASI DAN INTEGRITI LHDNM 2017

Wednesday 01/11/2017



CYBERJAYA, 1 Nov (Bernama) -- Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) terus menyemarakkan budaya inovasi dan pengamalan nilai integriti dalam kalangan warga kerjanya menerusi Majlis Sambutan Hari Inovasi dan Integriti LHDNM 2017 yang berlangsung dalam suasana yang cukup meriah di Menara Hasil Cyberjaya pada hari ini. Majlis sambutan Hari Inovasi dan Integriti ini turut melakar sejarah yang tersendiri apabila ia turut dihadiri dan dirasmikan oleh Tan Sri Dr. Ali Hamsa, Ketua Setiausaha Negara (KSN) buat julung-julung kalinya.
 
Uniknya penganjuran pada edisi kali ini adalah gabungan dua majlis sambutan utama LHDNM iaitu kemuncak Sambutan Hari Inovasi dan Sambutan Hari Integriti LHDNM 2017 yang kebiasaannya disambut secara berasingan sebelum ini. Maka penganjuran pada edisi kali ini secara tidak langsung bertepatan dengan intipati Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) yang berpaksikan kepada penyampaian perkhidmatan atau program kerajaan kepada rakyat dengan penjimatan kos, berimpak tinggi dan pantas.
 
Tan Sri Dr. Ali Hamsa dalam ucapan perasmiannya berkata, menerusi pembudayaan inovasi berteraskan nilai-nilai integriti yang tinggi, Malaysia berada di landasan yang kukuh dalam usaha untuk mencapai High Income Advanced Economy menjelang tahun 2020 sekaligus mampu untuk merealisasikan visi dan misi Transformasi Nasional 50 (TN50) yang dicetuskan oleh YAB Perdana Menteri Malaysia.

Beliau juga mengiktiraf peranan LHDNM dalam membantu kerajaan mengutip hasil cukai demi kelestarian sosio-ekonomi negara, “LHDNM merupakan sebuah agensi penting dalam sistem perkhidmatan awam negara. Ia merupakan agensi utama yang menyumbang lebih separuh daripada hasil pendapatan negara menerusi kutipan cukai pendapatan. Justeru itu, LHDNM mempunyai peranan dalam merealisasikan hasrat kerajaan menjadikan Malaysia sebuah negara berpendapatan tinggi” ujar beliau.
 
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif LHDNM, Dato’ Sri Sabin Samitah dalam ucapannya pula berkata, Sambutan Hari Inovasi dan Integriti LHDNM 2017 tahun ini digarap berasaskan kesepaduan elemen inovasi dan integriti yang difokuskan kepada fungsi dan peranan LHDNM. Beliau terus menyatakan komitmen LHDNM dalam menyokong setiap perancangan kerajaan melalui perlaksanaan peranannya sebagai ejen kutipan hasil dan penguatkuasaan undang-undang percukaian. Justeru, LHDNM akan sentiasa menambah baik mutu perkhidmatan sedia ada dalam usaha untuk memudahkan urusan pembayar cukai menjalankan tanggungjawab mereka kepada negara di samping menguatkuasakan undang-undang bagi menutup peluang pelarian cukai.
 
Beliau turut berkata, selain menyuburkan amalan inovasi, LHDNM juga merupakan agensi kerajaan yang sentiasa berpegang dengan nilai-nilai moral dan integriti yang tinggi dalam menjalankan fungsinya dan kesepaduan yang terjalin ini telah memacu prestasi kutipan cukai langsung negara yang kekal menjadi penyumbang utama hasil negara sehingga kini sekaligus dapat membantu negara mencapai status negara maju berpendapatan tinggi.
 
Sebagai mendukung aspirasi inovasi dan integriti, LHDNM juga mengumumkan akan melaksanakan Program Nine Golden Rules For High Impact Customer Service di seluruh Cawangan LHDNM dalam usaha untuk menambah baik dan meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan pelanggan dalam kalangan warga kerja LHDNM. Program berbentuk siri taklimat kepada warga kerja LHDNM ini akan memberikan penekanan kepada tiga elemen komunikasi yang penting iaitu, kemahiran mendengar, kemahiran bercakap dan penguasaan bahasa badan.
 
Majlis Sambutan Hari Inovasi dan Integriti ini juga menyaksikan dua produk utama dilancarkan iaitu:

I. Pelan Pengurusan Risiko Rasuah LHDNM
· Pelan yang dibangunkan secara komprehensif untuk memastikan pengurusan risiko rasuah LHDNM adalah cekap dan berkesan.
II. Modul Latihan Integriti LHDNM.
· Modul untuk melahirkan pegawai LHDNM yang mempunyai pengetahuan, kemahiran dan kepakaran dalam bidang pengurusan integriti, sekaligus menjadi landasan dalam merealisasikan Dasar Kualiti LHDNM.
 
 
Majlis yang disiarkan secara langsung dan boleh ditonton oleh semua warga kerja LHDNM ini juga turut diserikan dengan penganjuran mini karnival yang berlangsung selama 2 hari serta penyampaian hadiah kemenangan kepada pemenang-pemenang pertandingan Hari Inovasi LHDNM 2017 seperti yang berikut:

Jadual 1 : Senarai Pemenang Pertandingan Hari Inovasi LHDNM 2017
Sila klik disini

Majlis ini turut dihadiri oleh Puan Rozina Shaik Osman Merican, Pengarah Jabatan Khidmat Korporat LHDNM, Puan Siti Rosnah Md Hashim, Pengarah Jabatan Integriti dan Pengurusan Risiko, Timbalan-Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif LHDNM dan juga warga kerja LHDNM di sekitar Lembah Klang.

Sumber : Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Bahagian Komunikasi | Pejabat Ketua Pegawai Eksekutif
Tel : 03-8313 8888 samb. 21658 / 21674 / 21676 
Faks : 03-8313 7873
Hasil Care Line : 1-800-88-5436 (LHDN)
Portal Rasmi : www.hasil.gov.my 

--BERNAMA

 
 
 

Copyright @ 2024 MREM . All rights reserved.