ADGSOM1 & ADGMIN1  
       
  LAUNCH OF THE 50TH ANNIVERSARY CELEBRATION OF RUKUN NEGARA  
       
  KL SUMMIT 2019  
       
  HAWANA 2018  
       
  AES 2016  
       

 
 
 

Mac 29, 2024 -Jumaat

 
  TVET KE ARAH NEGARA MAJU BERPENDAPATAN TINGGI - SARONI

Friday 20/10/2017



KUALA LUMPUR, 20 Okt (Bernama) -- Ketua Eksekutif Kolej Antarabangsa Yayasan Melaka (KAYM), Datuk Saroni Judi berkata  bagi menuju sebuah negara maju berpendapatan tinggi, kita perlu memastikan  pendapatan rakyat terus bertambah dengan meningkatkan kemahiran sedia ada.
 
Beliau dijemput selaku panel membincangkan aspirasi dalam bidang pendidikan dengan mengulas tajuk “TVET Ke Arah Negara Maju Berpendapatan Tinggi" yang bersiaran secara langsung dalam program Assalamualaikum di TV Al Hijrah, baru-baru ini.
 
Justeru, beliau berpendapat pelaburan dalam bidang pendidikan memainkan peranan yang penting dalam menambah baik mobiliti sosial dan kesejahteraan rakyat.
 
Daripada aspek pendidikan katanya, bidang Latihan Teknikal dan Pendidikan Vokasional (TVET) bukan lagi pilihan terakhir, sebaliknya semakin mendapat pengiktirafan masyarakat dunia kerana kepentingannya terhadap pembangunan ekonomi negara.
 
"Pemerkasaan bidang TVET mampu memenuhi pelbagai tuntutan ekonomi, sosial dan alam sekitar, sekali gus menggalakkan pertumbuhan ekonomi yang adil, inklusif dan mampan.
 
"Selama ini, TVET dianggap sebagai pilihan terakhir dalam pendidikan dan pilihan kerjaya disebabkan persepsi orang ramai kursus itu adalah bagi mereka yang tidak cemerlang dalam akademik.
 
"Namun, persepsi ini semakin terhakis kerana banyak kerajaan di seluruh dunia sedang mengiktiraf kepentingan pemerkasaan bidang TVET," katanya.
 
Beliau berkata Kerajaan komited untuk memastikan sistem dan fungsi TVET dapat dilaksanakan dengan Mengiktiraf TVET sebagai teras ketiga di dalam Rancangan Malaysia Ke11.
 
“Kita perlu melatih dan meningkatkan tenaga mahir tempatan secara berterusan agar mereka menjadi kompetitif, berpeluang memiliki pekerjaan dan pendapatan yang lumayan dan kini jumlah mereka hampir 28% dan disasarkan meningkat kepada 35% menjelang tahun 2020” ujarnya lagi.
 
Justeru, kita perlu memperkasa modal insan ke tahap yang lebih tinggi, supaya setanding dengan negara-negara maju yang lain dengan sasaran sekurang-kurangnya mencapai 45% pekerja mahir menjelang tahun 2030, menghampiri negara maju seperti Switzerland iaitu  sekitar 50%.
 
“Dalam Bajet 2017, Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM20 juta bagi tujuan Matching Grant atau Geran Padanan bagi program-program TVET berimpak tinggi.”
 
Beliau berkata dengan aspirasi dan visi Transformasi Nasional 2050 atau TN50, Kerajaan melalui Pembangunan Sumber Manusia (PSMB) juga memperuntukkan dana sebanyak RM50 juta daripada 30%  dana terkumpul bagi tujuan TVET untuk  mewujudkan tenaga buruh yang berdaya saing di peringkat global.
 
Program bual bicara ini membicarakan topik-topik terkini dan menampilkan tetamu-tetamu undangan dari pelbagai bidang secara santai dan bersahaja yang dihoskan Irma Hasmie.
 
SUMBER : Kolej Antarabangsa Yayasan Melaka (KAYM) 

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama : Harmiyati Mohamed Mohtar

Ketua Jabatan Komunikasi Korporat
Kolej Antarabangsa Yayasan Melaka
Tel : (606) 2817732 ext  262 / 013 659 2779
Fax : (606) 2861062
Emel : harmiyati@kym.edu.my

--BERNAMA

 
 
 

Copyright @ 2024 MREM . All rights reserved.