ADGSOM1 & ADGMIN1  
       
  LAUNCH OF THE 50TH ANNIVERSARY CELEBRATION OF RUKUN NEGARA  
       
  KL SUMMIT 2019  
       
  HAWANA 2018  
       
  AES 2016  
       

 
 
 

April 26, 2024 -Jumaat

 
  KENYATAAN MEDIA YB DATUK SERI MAH SIEW KEONG MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI SEMPENA SAMBUTAN ULANG TAHUN KE-10 LEMBAGA LADA MALAYSIA DAN PESTA LADA TAHUN 2017 DI HOTEL IMPERIAL & BOULEVARD SHOPPING MALL, KUCHING 13 OKTOBER 2017

Friday 13/10/2017



Table

Kapsyen: Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi (MPIC), YB Datuk Seri Mah Siew Keong menyempurnakan gimik pelancaran sempena Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-10 Lembaga Lada Malaysia dan Pesta Lada 2017. Hadir sama Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas (tiga dari kiri).


Hotel Imperial & Boulevard Shopping Mall, Kuching

13 OKTOBER 2017 


1. Sebentar tadi saya telah merasmikan Sambutan Ulang Tahun Ke-10 Lembaga Lada Malaysia (MPB) dan Pesta Lada 2017 yang telah dianjurkan dengan jayanya oleh MPB. Saya berasa amat berbesar hati melihat kehadiran dan sambutan yang diberikan oleh warga MPB khususnya dan orang awam amnya yang datang dari pelusuk negeri di Sarawak untuk bersama-sama memeriahkan program yang akan diadakan selama tiga (3) hari bermula hari ini sehingga 15 Oktober 2017.
 
2. Selama sedekad penubuhan MPB tersebut, pelbagai cabaran telah ditempuhi dan begitu juga dengan kejayaan yang telah dicapai dan diraih oleh agensi ini. MPB memainkan peranan dan fungsi yang penting dalam usaha pihak kerajaan hendak meningkatkan taraf sosio-ekonomi penduduk di luar bandar.
 
3. Kementerian berkeyakinan bahawa MPB dapat menjulang industri lada negara ke tahap yang lebih tinggi melalui pelaksanaan program dan aktiviti yang bersepadu dan menyeluruh serta diiringi dengan sokongan yang padu daripada Kerajaan Persekutuan termasuk kerajaan negeri dan golongan pekebun kecil lada bagi menggalakkan lebih ramai golongan sasaran untuk mengusahakan tanaman lada dengan lebih giat lagi.

4. Sehingga kini, jumlah pekebun lada di Malaysia telah mencecah seramai 29,614 orang dan 98% daripadanya adalah terdiri daripada pekebun lada di Sarawak. Untuk tahun 2017, keluasan tanaman lada di Malaysia adalah dijangka akan mencecah 17,100 hektar dan jumlah pengeluaran lada kira-kira 31,000 tan metrik berbanding keluasan seluas 16,768 hektar pada tahun 2016 dengan jumlah pengeluaran sebanyak 29,245 tan metrik.
 
5. Untuk tahun 2016, eksport produk berasaskan lada keluaran negara adalah bernilai RM490 juta. Destinasi eksport produk berasaskan lada tersebut adalah seperti negara Jepun, China, Hong Kong, Korea Selatan, Taiwan dan Singapura. Produk berasaskan lada keluaran negara juga telah dieksport ke benua yang lain seperti ke Eropah, Amerika, Australia dan New Zealand. Jumlah eksport bagi tahun ini dijangkakan meningkat kepada 15,000 tan metrik berbanding sebanyak 12,199 tan mertrik untuk tahun 2016.
 
6. Nilai eksport lada negara bagi tempoh tujuh bulan pertama (Januari – Julai)  tahun 2017 adalah sebanyak 5,851 tan metrik yang juga bernilai RM180.4 juta. Negara Jepun merupakan destinasi eksport utama dalam tempoh tujuh bulan pertama (Januari – Julai) tahun 2017. Sebanyak 1,580 tan lada (atau 27% daripada jumlah eksport lada) telah dieksport ke Jepun.
 
7. Sejurus selepas itu, saya turut berkesempatan untuk merasmikan Buku Resipi Lada bertajuk “Sarawak Pepper for Your Palate” yang mengandungi pelbagai jenis resipi masakan yang berasaskan lada. Buku resipi berkenaan mengandungi 25 resipi masakan tempatan dan antarabangsa dan telah dihasilkan dengan kerjasama oleh tiga (3) orang pakar kulinari daripada UCSI University.

8. Saya juga berkesempatan untuk merasmikan satu aplikasi yang dikenali sebagai “Dr. Lada”, iaitu aplikasi dalam talian hasil ciptaan sekumpulan pegawai penyelidik MPB. Aplikasi ini dibangunkan dengan tujuan untuk menyalurkan maklumat dan penyelesaian secara “maya” kepada para pekebun berkaitan penyakit-penyakit yang biasa menyerang tanaman lada. Tahniah dan syabas saya ucapkan kepada MPB kerana berjaya mengaplikasikan perkembangan teknologi pada masa kini demi kemudahan kepada kumpulan sasar. Dengan adanya aplikasi seperti ini, ianya sedikit sebanyak dapat menjimatkan masa serta dapat memberikan penyelesaian atau maklum balas segera kepada para pekebun yang memerlukannya.
 
9. Program pada hari ini akan diakhiri dengan lawatan ke tapak pameran yang menempatkan pelbagai aktiviti yang menarik seperti pameran, demo masakan, pertandingan dan lain-lain lagi. Saya amat gembira dan berbesar hati melihat sambutan yang menggalakkan daripada orang ramai yang berkunjung ke Pesta Lada 2017 kali ini.
 
10. Saya berharap agar Pesta Lada ini dapat diteruskan pada masa hadapan bagi meraikan usaha dan penat-lelah pekebun-pekebun lada yang merupakan sebahagian daripada penyumbang kepada kejayaan Malaysia sebagai negara pengeluar lada ke-5 dunia. Pesta Lada ini juga dilihat dapat dijadikan menjadi platform oleh MPB untuk memperkenal dan mempromosikan lagi industri lada di negara ini kepada pihak umum dan juga antarabangsa.
 
Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi

SUMBER : Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (MPIC)

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama : Siti Hajar Zulkefle
Unit Komunikasi Korporat
Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi

Tel : 03-8880 3322 / 03 - 8880 3381
Faks : 03-8887 8205
Emel : pro@mpic.gov.my

--BERNAMA

 
 
 

Copyright @ 2024 MREM . All rights reserved.