ADGSOM1 & ADGMIN1  
       
  LAUNCH OF THE 50TH ANNIVERSARY CELEBRATION OF RUKUN NEGARA  
       
  KL SUMMIT 2019  
       
  HAWANA 2018  
       
  AES 2016  
       

 
 
 

April 25, 2024 -Khamis

 
  KENYATAAN AKHBAR KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA SITUASI SEMASA DEMAM DENGGI, CHIKUNGUNYA DAN ZIKA DI MALAYSIA

Tuesday 19/09/2017



(Bagi Minggu 36/2017 dari 3 September hingga 9 September 2017)

PUTRAJAYA, 19 Sept (Bernama) -- Pemantauan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia pada Minggu Epid 36/2017 mendapati terdapat peningkatan kes berlaku setelah tiada pertambahan kes sejak empat (4) minggu yang lepas. Sebanyak 1,223 kes telah dilaporkan, peningkatan 52 kes (4.4%) dibandingkan dengan jumlah kes yang dicatatkan pada Minggu Epid 35/2017 iaitu 1,171 kes. Walau pun jumlah peningkatan kes adalah tidak ketara, namun tindakan pencegahan dan kawalan Demam Denggi perlu diambil segera supaya tren pertambahan kes yang berlaku pada penghujung tahun seperti tahun-tahun sebelum ini dapat segera dibendung.

Jumlah kumulatif kes Denggi yang direkodkan sehingga 9 September 2017 ialah sebanyak 66,906 kes yang dilaporkan berbanding 78,077 kes bagi tempoh yang sama tahun 2016, iaitu penurunan sebanyak 11,171 kes (14.3%). Bagi tempoh yang sama, jumlah keseluruhan kematian Demam Denggi di Malaysia juga telah menurun sebanyak 27 kematian (15.3%) di mana 149 kematian telah dilaporkan pada tahun ini berbanding 176 kematian dilaporkan pada tahun 2016.

Pada Minggu Epid 36/2017, jumlah Iokaliti wabak semasa dan hotspot terus menunjukkan penurunan. Sejumlah 438 Iokaliti wabak Demam Denggi dilaporkan di 14 negeri dan 71 Iokaliti hotspot semasa direkodkan yang melibatkan enam (6) negeri.

Satu (1) kes Chikungunya didaftarkan pada Minggu Epid 36/2017 di Negeri Kedah iaitu di PPRT KEDA Sg Udang, Daerah Yan. Jumlah keseluruhan kes Chikungunya yang dilaporkan sehingga 9 September 2017 adalah sebanyak 255 kes iaitu 189 kes dari Kedah, 33 kes dari Selangor, 24 kes dari Johor, tujuh (7) kes dari Kelantan dan dua (2) kes dari Perak.

Pemantauan sistem survelan virus Zika dari 1 Januari sehingga 9 September 2017 oleh Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) dan lnstitut Penyelidikan Perubatan (IMR), mendapati keputusan ujian bagi 1307 sampel darah dan 29 sampel air kencing di kalangan pesakit yang menunjukkan gejala jangkitan virus Zika adalah negatif.

Tema Sambutan Hari Malaysia 2017 adalah ‘Negaraku Sehati Sejiwa’. Seiring dengan pemilihan tema itu bertujuan untuk menunjukkan betapa pentingnya rakyat Malaysia mempunyai semangat berbilang kaum dan bersatu padu, tindakan bersepadu daripada semua pihak juga diperlukan untuk mengawal penularan Denggi. Kementerian Kesihatan Malaysia menyeru supaya masyarakat sentiasa mementingkan kebersihan persekitaran terutamanya di kawasan sekeliling tempat tinggal serta menghapuskan tempat-tempat potensi untuk pembiakan nyamuk Aedes.

Klik Sini Untuk Lampiran A

 Klik Sini Untuk Lampiran B

Klik Sini Untuk Lampiran B

Klik Sini Untuk Lampiran B

Tiada Aedes, Tiada Denggi, Chikungunya dan Zika.
 
DATUK DR. HISHAM BIN ABDULLAH
Ketua Pengarah Kesihatan
Kementerian Kesihatan Malaysia

SUMBER : Kementerian Kesihatan Malaysia

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama : Nor Suzaman Abdul Rahman
Tel : 03-8883 3470 / 013-399 7025
Emel : n.suzaman@moh.gov.my

--BERNAMA

 
 
 

Copyright @ 2024 MREM . All rights reserved.