ADGSOM1 & ADGMIN1  
       
  LAUNCH OF THE 50TH ANNIVERSARY CELEBRATION OF RUKUN NEGARA  
       
  KL SUMMIT 2019  
       
  HAWANA 2018  
       
  AES 2016  
       

 
 
 

April 26, 2024 -Jumaat

 
  MIDA MENGGANDAKAN USAHA UNTUK MELIBATKAN BADAN BERKEPENTINGAN DI HARI TERBUKA MIDA 2017

Tuesday 19/09/2017



Menghubungkan Masyarakat dengan Pekerjaan dan Peluang Perniagaan

KUALA LUMPUR, 19 Sept (Bernama) --
"MIDA telah mencontohi Hari MITI dalam menganjurkan Hari Terbuka ini dengan menyediakan acara-acara yang bukan sahaja memberi manfaat kepada pemain industri tetapi juga kepada belia negara. Sumber manusia merupakan aset intelektual yang perlu disemai dan diurus dengan baik oleh syarikat-syarikat, terutamanya dalam K-ekonomi hari ini. Ketersediaan bakat dengan set kemahiran yang betul bakal mempercepatkan peralihan Malaysia ke industri bernilai tinggi, berteknologi tinggi dan berintensif pengetahuan. MITI, melalui MIDA dan agensi-agensi yang lain, telah menjadi penghubung aktif antara industri dan ahli akademik bagi merapatkan jurang tenaga kerja dalam negara. Kita ingin memastikan tenaga kerja kita mempunyai kemahiran dan kecekapan yang diperlukan untuk memacu agenda transformasi ekonomi negara," kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) YB Dato' Sri Mustapa Mohamed dalam ucapannya pada Majlis Pelancaran Hari Terbuka Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) 2017. 

Bersempena Ulang Tahun ke-50, acara satu hari di Ibu Pejabat MIDA di KL Sentral ini memanfaatkan hubungan rapat MIDA dengan para pelabur dalam menyediakan platform bernilai untuk menghubungkan pencari kerja dengan pelbagai pilihan pekerjaan. Dari sejumlah 57 syarikat yang mengambil bahagian, lebih daripada 7,000 kekosongan telah ditawarkan. Majoriti iaitu 76.9% berada di peringkat tenaga mahir untuk kategori profesional pengurusan, profesional & teknikal serta juruteknik & bersekutu, sementara selebihnya berada di peringkat separa dan kurang mahir seperti pekerja kraf dan perkhidmatan pelanggan & pekerja jualan.

MIDA juga telah memulakan inisiatif penyumberan bakat tempatan dengan beberapa syarikat perkilangan bagi menyediakan peluang pekerjaan khusus kepada belia gelandangan, kurang bernasib baik dan tidak memiliki pekerjaan. Sebagai permulaan, MIDA telah bekerjasama dengan QSR  Brands, Yakult dan Coca-cola Bottlers untuk menawarkan 216 kekosongan jawatan kepada belia dalam kategori ini di bawah inisiatif Talent CSR @ MIDA yang baru. 

"Banyak lagi perlu dilakukan kerana kadar pertumbuhan negara haruslah seiring dengan penciptaan peluang pekerjaan untuk rakyat kita. Saya amat berbesar hati kerana kita semua telah mengambil langkah aktif dalam menyediakan akses kepada peluang pekerjaan. Saya dimaklumkan bahawa MIDA sedang membangunkan pangkalan data pencari kerja melalui laman web MIDA. Bersandarkan kepada hubungan rapat MIDA dengan pemain industri, agensi ini akan dapat mengenal pasti jenis tenaga kerja yang diperlukan berdasarkan hala tuju industri yang terlibat. Dengan menggunakan pangkalan data ini, MIDA akan mempergiat usaha dalam memenuhi keperluan tenaga kerja syarikat dengan memadankan pencari kerja dengan bakal majikan yang tepat. Saya ingin menggalakan lebih ramai pencari kerja merebut peluang ini dengan memanfaatkan platform maya di laman web MIDA," tambah YB Dato 'Sri Mustapa.

Turut hadir pada majlis ini adalah duta-duta, wakil-wakil dari dewan dan persatuan perniagaan, eksekutif peringkat tertinggi, pegawai tertinggi MITI serta Dato' Azman Mahmud, Ketua Pegawai Eksekutif MIDA.

"Lima puluh tahun adalah pencapaian yang penting. Ini bukan sekadar kesempatan untuk meraikan tetapi juga peluang untuk melihat kembali dan menghayati asas yang telah dibina oleh perintis kami, dan pada masa yang sama terus menghadapi cabaran di masa akan datang. Program yang berlangsung hari ini bertujuan untuk mempamerkan peranan dan fungsi MIDA dalam menghubungkan pihak berkepentingan bagi mewujudkan kesan positif ke arah memenuhi aspirasi Malaysia ke arah menjadi negara berpendapatan tinggi," kata Dato' Azman.

MIDA juga telah mengadakan Pameran Industri yang memberi maklumat kepada orang ramai mengenai perkembangan industri utama yang menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara. Ia mempamerkan syarikat-syarikat yang telah berkembang dengan pesat di Malaysia seperti ViTrox, yang melancarkan produk berasaskan perisian ‘Internet-of-Things’ yang dikenali sebagai V-One. Syarikat-syarikat lain yang terlibat dalam pameran ini termasuk Intel Malaysia, Petronas Chemicals Group Berhad, UMW ‘Maintenance & Engineering Division’, Romstar Group dan CCM Pharmaceuticals. Terdapat juga klinik perniagaan, ceramah perniagaan oleh Telekom Malaysia (TM) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia mengenai ‘TM Solutions Towards Industry 4.0’ dan ‘GST Refund’ serta ‘Talk Industry’ mengenai ‘The IoT Effects – Oppotunities and Challenges’ dengan penyampaian oleh ViTrox, Intel dan Infineon.

Menyentuh mengenai Industri 4.0, Menteri juga telah menekankan, "Kita perlu melihat teknologi, bukan sebagai pesaing untuk pekerjaan kita tetapi juga sebagai rakan kongsi dalam mewujudkan pekerjaan yang berkualiti. Suka atau tidak, teknologi termasuk automasi dan robotik, akan terus kekal wujud. Ia bergantung kepada kita samada untuk memanfaatkannya atau berhadapan risiko ditinggalkan oleh pesaing. Oleh itu, kerajaan mengutamakan inovasi dan menggalakkan penggunaan elemen Industri 4.0 seperti Pengilangan Pintar dan Automasi untuk membina skala ekonomi yang lebih besar. Kita bukan hanya bercakap tentang ini tetapi ingin menangani cabaran dan mengambil langkah-langkah progresif untuk terus maju ke hadapan. Menjelang akhir tahun ini, MITI menyasarkan untuk membentangkan Dasar Kebangsaan Industri 4.0 di peringkat Kabinet." 

SUMBER : Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA)

UNTUK MAKLUMAT LANJUT SILA HUBUNGI: 
Nama : Puan Masni Muhammad
Pengarah Projek untuk Hari Terbuka ke-50 MIDA 2017
Pengarah Bahagian Teknologi Minyak & Gas dan Maritim
Tel : 03-2267 6786 
Emel : 
masni@mida.gov.my

--BERNAMA 

 

 
 
 

Copyright @ 2024 MREM . All rights reserved.