ADGSOM1 & ADGMIN1  
       
  LAUNCH OF THE 50TH ANNIVERSARY CELEBRATION OF RUKUN NEGARA  
       
  KL SUMMIT 2019  
       
  HAWANA 2018  
       
  AES 2016  
       

 
 
 

Mac 29, 2024 -Jumaat

 
  TEKS UCAPAN EN.ZABIDI MAHBAR PENGARAH EKSEKUTIF, PERANCANGAN STRATEGIK, MIDA SEMINAR PELABURAN DOMESTIK WILAYAH UTARA 2017

Thursday 14/09/2017



KHAMIS, 14 SEPTEMBER 2017, 10 PAGI
DIAMOND BALLROOM, THE PURE HOTEL, SUNGAI PETANI, KEDAH

Penghargaan

 
YB Dato’ Wira Dr. Ku Abd. Rahman bin Ku Ismail, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah.

Rakan-rakan media
 
Dato’-Dato’, tuan-tuan dan puan-puan
 
Terlebih dahulu saya merakamkan ucapan takziah kepada kerabat Diraja Kedah serta semua rakyat negeri Kedah di atas kemangkatan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Abdul Halim Ibni Almarhum Sultan Badlishah. Semoga roh Almarhum dirahmati Allah SWT dan ditempatkan di kalangan mereka yang beriman.

Seterusnya MIDA ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada YB Dato’ Wira Dr. Ku Abd. Rahman di atas kesudian beliau mewakili YAB Menteri Besar untuk bersama-sama kita pada pagi ini bagi merasmikan Seminar Pelaburan Domestik Wilayah Utara 2017. 

Sesungguhnya kehadiran YB Dato’ Wira mencerminkan kerjasama erat antara Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri yang merupakan komponen penting dalam menyediakan ekosistem pelaburan kondusif bagi mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelaburan unggul di rantau ini. 

Ucapan terima kasih juga turut saya tujukan atas kehadiran hadirin sekalian kerana ia mencerminkan bahawa komuniti perniagaan di Wilayah Utara sentiasa pro-aktif dalam meneroka peluang untuk memajukan perniagaan.  

Penganjuran seminar ini yang merangkumi Wilayah Utara iaitu Kedah, Perlis, Perak dan Pulau Pinang adalah bertujuan untuk mewujudkan kesedaran kepada komuniti perniagaan tentang peluang-peluang pelaburan dan kemudahan yang disediakan oleh pihak Kerajaan selain berfungsi sebagai platform bagi para peserta untuk berjumpa dan berbincang dengan agensi-agensi kerajaan mengenai sebarang potensi perniagaan.

Inisiatif ini merupakan antara usaha Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri untuk mewujudkan persekitaran pelaburan yang kondusif dan lebih berdaya saing. Saya berharap agar para penggiat industri yang hadir pada hari ini dapat memanfaatkan seminar ini seiring dengan aspirasi untuk mengembangkan dan memajukan lagi perniagaan ke peringkat yang seterusnya. 

Tuan-tuan dan Puan-puan, 

Malaysia terus mengekalkan momentum pertumbuhan pelaburan pada tahun 2016 walaupun berhadapan dengan landskap ekonomi global yang tidak menentu dan kelembapan ekonomi dunia yang membawa kepada antara lain, agregat permintaan yang lemah, ketidaktentuan pasaran kewangan antarabangsa, harga komoditi yang rendah, dan persaingan global yang lebih sengit.

Buktinya, pada tahun 2016, sebanyak 733 projek perkilangan dengan pelaburan sebanyak RM58.5 bilion telah diluluskan oleh MIDA. Daripada jumlah tersebut, tiga negeri yang menerima pelaburan terbesar adalah Johor iaitu sebanyak RM 26.4 billion, diikuti oleh Selangor (RM7.9 bilion) dan Sarawak (RM4.6 billion). 

Negeri-negeri di Wilayah Utara pula telah menyumbang sebanyak RM10.4 bilion atau 18% daripada jumlah keseluruhan pelaburan yang diluluskan tersebut. Sebanyak RM5.7 bilion adalah dari pelaburan asing manakala baki sebanyak RM4.7 bilion daripada pelaburan tempatan. Majoriti pelaburan ini adalah di dalam industri Elektrik dan Elektronik, industri berasaskan Getah, Peralatan Pengangkutan, Peralatan Pengukuran dan Saintifik serta industri Plastik.   

Ingin saya tekankan di sini bahawa kayu pengukur kejayaan dalam menarik pelaburan tidak seharusnya terletak kepada bilangan pelabur dan nilai mutlak pelaburan tersebut. Apa yang lebih penting adalah untuk mendapatkan pelaburan berkualiti seperti projek yang berteknologi tinggi, mempunyai nilai tambah yang tinggi, berasaskan pengetahuan dan kemahiran, berorientasikan eksport, berintensifkan R&D dan reka bentuk, serta mempunyai hubungan yang kukuh dengan industri tempatan. Pendek kata, kita ingin terus mewujudkan peluang ekonomi baru dan memastikan kesejahteraan serta kemakmuran rakyat yang berterusan.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

Malaysia adalah sebuah negara yang mengamalkan dasar ekonomi terbuka lantaran pasaran domestik yang terhad. Oleh yang demikian, penggiat industri perlu meningkatkan keupayaan dan daya saing untuk meneroka pasaran eksport. 

Industri 4.0 yang berlaku di peringkat global memerlukan industri beralih kepada penggunaan teknologi perkilangan pintar (smart manufacturing), kaedah pemasangan secara robotik, dan kejuruteraan jitu. 

Oleh itu, adalah penting bagi syarikat-syarikat tempatan untuk mengubah kaedah pengeluaran kepada automasi dan teknologi bagi meningkatkan produktiviti dan daya saing. 

Menyedari cabaran yang dihadapi oleh komuniti perniagaan untuk melaksanakan transformasi ini, Kerajaan telah mengambil langkah agresif dengan membantu penggiat-penggiat industri di Malaysia untuk mengadaptasi teknologi perkilangan pintar dalam operasi mereka.  

Antara fasiliti sedia ada yang boleh dimanfaatkan oleh syarikat tempatan bagi tujuan ini termasuklah Dana Strategik Pelaburan Tempatan (DISF). Dana ini disediakan dengan tujuan untuk membantu syarikat tempatan memanfaatkan peluang penyumberan luar (outsourcing) yang diwujudkan oleh syarikat multinasional yang beroperasi di Malaysia; meningkatkan pemerolehan teknologi; dan mendapatkan sijil/piawaian antarabangsa dalam industri-industri strategik.

Sehingga bulan Julai 2017, MIDA telah meluluskan sebanyak RM1.3 bilion geran DISF bagi 264 projek dengan nilai pelaburan sebanyak RM12.8 bilion. Geran-geran yang diluluskan adalah dalam bentuk Geran Latihan, Geran R&D, pensijilan bagi piawaian antarabangsa, serta perolehan perlesenan dan teknologi tinggi.

Daripada jumlah tersebut, 76 projek di negeri Pulau Pinang, 13 di Kedah, 10 di Perak dan 1 di Perlis telah menerima geran DISF dengan nilai pelaburan sebanyak RM5.2 bilion.  

Selain DISF, Elaun Modal Automasi telah diperkenalkan di bawah Bajet 2015 untuk mengalakkan penggunaan automasi dalam sektor perkilangan. Skim ini menyediakan elaun modal automasi sebanyak 200% untuk industri berintensif buruh seperti produk getah, plastik, kayu, perabot dan tekstil bagi membantu syarikat-syarikat tersebut untuk melakukan transformasi teknologi mereka. Syarikat-syarikat yang telah melaksanakan automasi dalam proses pengeluaran mereka adalah digesa untuk memanfaatkan fasiliti ini. Sehingga bulan Jun 2017, hanya 41 permohonan bagi skim ini telah diluluskan oleh MIDA.  

Melangkah ke hadapan, MIDA kini sedang merangka insentif yang bersesuaian untuk membantu syarikat-syarikat tempatan dalam proses transformasi teknologi selaras dengan pengumuman yang dibuat oleh Menteri Kewangan untuk mewujudkan insentif khas bagi Industri 4.0. Sebuah Pasukan Petugas Peringkat Tertinggi bagi Merangka Dasar Industri 4.0 yang diketuai secara bersama oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Kementerian Pengajian Tinggi (MOHE) dan Kementerian Sains, Teknologi & Inovasi (MOSTI) telah ditubuhkan untuk merangka polisi, strategi dan hala tuju bagi membangunkan Industri 4.0 di Malaysia.

MIDA sedang bekerjasama dengan Pasukan Petugas tersebut untuk merangka Polisi Nasional bagi Industri 4.0 yang bakal dibentangkan di Mesyuarat Kabinet pada Suku Ke-empat tahun 2017.  

Tuan-tuan dan Puan-puan, 

Inisiatif dan fasilitasi yang saya sebutkan tadi jelas menunjukkan bahawa Kerajaan telah menyediakan pelbagai kemudahan untuk menyokong perniagaan anda. Sebentar lagi kita akan mendengar penerangan daripada wakil-wakil MIDA, MATRADE, SME Corp, HDC, MIDF, SME Bank dan Maybank yang akan berkongsi mengenai peluang–peluang perniagaan dan pelaburan serta kemudahan yang disediakan bagi membantu perkembangan perniagaan tuan-tuan dan puan-puan. 

Sesi klinik perniagaan dan konsultasi juga akan diadakan di waktu petang, untuk tuan-tuan dan puan-puan mendapatkan khidmat nasihat secara terus daripada MITI, MIDA dan agensi-agensi lain yang mengambil bahagian. 

Saya juga ingin mengambil peluang ini untuk menggalakan anda memanfaatkan ‘SME Investment Desk’ yang telah ditubuhkan di ibu pejabat dan semua pejabat negeri MIDA di seluruh Malaysia pada awal tahun 2017. Melalui ‘SME Investment Desk’  ini, Perusahaan Kecil dan Sederhana boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai insentif dan kemudahan yang disediakan oleh Kerajaan di samping peluang-peluang perniagaan yang diwujudkan oleh syarikat-syarikat ‘anchor’ melalui persidangan rantaian bekalan yang dianjurkan oleh MIDA. Persidangan seterusnya akan diadakan pada 30 Oktober 2017 di Kuala Lumpur yang akan fokus kepada Industri 4.0, mesin & peralatan dan teknologi perubatan.  

Saya berharap agar tuan-tuan dan puan-puan dapat  memanfaatkan semua program yang telah diatur pada hari ini. Akhir kata, seminar ini adalah bersifat dua hala. Oleh yang demikian, kami mengalu-alukan maklum balas daripada anda semua mengenai sebarang isu atau cabaran yang dihadapi bagi memperbaiki dasar dan polisi sedia ada.
 
Sekian, terima kasih. 

SUMBER : Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA)

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI: 
Nama : Encik Ahmad Tajuddin Omar
Pengarah, Pelaburan Tempatan & Penyelarasan Rantaian Bekalan
Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA)
Tel : 03-2267 3627 
Emel : tajudin@mida.gov.my

--BERNAMA 

 

 
 
 

Copyright @ 2024 MREM . All rights reserved.