ADGSOM1 & ADGMIN1  
       
  LAUNCH OF THE 50TH ANNIVERSARY CELEBRATION OF RUKUN NEGARA  
       
  KL SUMMIT 2019  
       
  HAWANA 2018  
       
  AES 2016  
       

 
 
 

April 26, 2024 -Jumaat

 
  TINGKATKAN KEUPAYAAN & DAYA SAING

Thursday 14/09/2017




MIDA Gesa Pemain Industri di Wilayah Utara Manfaatkan Kemudahan yang Disediakan oleh Kerajaan 

SUNGAI PETANI, Kedah, 14 Sept (Bernama) --
“Memandangkan Malaysia adalah sebuah negara yang mengamalkan dasar ekonomi terbuka lantaran pasaran domestik yang terhad, penggiat industri perlu meningkatkan keupayaan dan daya saing untuk meneroka pasaran antarabangsa bagi mengembangkan perniagaan mereka. Untuk menghadapi gelombang daripada Industri 4.0 yang sedang berlaku di peringkat global, Kerajaan menggalakkan industri menerapkan elemen Industri 4.0 dalam operasi mereka dengan beralih kepada penggunaan teknologi perkilangan pintar (smart manufacturing), kaedah pemasangan secara robotik dan kejuruteraan jitu bagi meningkatkan produktiviti dan daya saing,” kata Encik Zabidi Mahbar, Pengarah Eksekutif, Perancangan Strategik, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dalam ucapan beliau semasa Seminar Pelaburan Domestik Wilayah Utara yang diadakan pada hari ini. Seminar tersebut yang dihadiri oleh lebih 200 pemain industri telah dirasmikan oleh YB Dato’ Wira Dr. Ku Abd. Rahman bin Ku Ismail, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah.

Syarikat-syarikat di Wilayah Utara, terutamanya yang beroperasi di Kedah digesa untuk memanfaatkan pelbagai kemudahan yang telah disediakan oleh Kerajaan bagi membolehkan mereka beralih ke rantaian nilai lebih tinggi.  Mengambil Dana Strategik Pelaburan Tempatan (DISF) sebagai contoh kemudahan yang boleh dimanfaatkan untuk tujuan ini, Encik Zabidi menambah, “Sehingga bulan Julai 2017, MIDA telah meluluskan sebanyak RM1.3 bilion geran DISF bagi 264 projek dengan nilai pelaburan sebanyak RM12.8 bilion. Daripada jumlah tersebut, 76 projek di Pulau Pinang, 13 di Kedah, 10 di Perak dan 1 di Perlis telah menerima geran DISF dengan nilai pelaburan sebanyak RM5.2 bilion. Di samping itu, syarikat juga digesa memanfaatkan insentif Elaun Modal Automasi dalam melaksanakan transformasi operasi mereka. Sehingga Jun 2017, hanya 41 permohonan telah diluluskan oleh MIDA bagi skim ini.”

Melangkah ke hadapan, MIDA kini sedang memperhebatkan lagi usahanya untuk menyediakan persekitaran yang lebih kondusif bagi membangunkan Industri 4.0 di Malaysia. Antaranya termasuklah menganggotai Pasukan Petugas Peringkat Tertinggi Bagi Merangka Dasar Industri 4.0 di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Kementerian Pengajian Tinggi (MOHE) dan Kementerian Sains, Teknologi & Inovasi (MOSTI)  bagi merangka Polisi Nasional Industri 4.0 yang bakal dibentangkan di Mesyuarat Kabinet pada suku ke-empat tahun ini. Selain itu, MIDA juga sedang merangka insentif khas bagi Industri 4.0 selaras dengan pengumuman yang dibuat oleh Menteri Kewangan berhubung keperluan ini.

Seminar selama satu hari anjuran MIDA ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran di kalangan komuniti perniagaan tentang peluang pelaburan serta kemudahan/ fasiliti yang disediakan oleh Kerajaan, selain membuka platform untuk mereka berinteraksi secara terus dengan pelbagai institusi berkaitan di peringkat persekutuan dan negeri. Ianya merangkumi negeri-negeri di Wilayah Utara iaitu Kedah, Perlis, Perak dan Pulau Pinang.
 
Seminar tersebut juga memaparkan sesi plenari bersama penceramah-penceramah utama berhubung peluang perniagaan/ pelaburan dan kemudahan yang disediakan oleh pelbagai agensi kerajaan dan institusi kewangan seperti MIDA, MATRADE, SME Corp, HDC, MIDF, SME Bank dan Maybank. Turut diadakan adalah sesi klinik perniagaan dan konsultasi yang boleh dimanfaatkan oleh para pemain industri untuk mendapat khidmat nasihat secara terus daripada agensi-agensi yang berkaitan.
 
Pada tahun 2016, MIDA telah meluluskan sebanyak 733 projek perkilangan dengan pelaburan bernilai RM58.5 bilion. Daripada jumlah tersebut, negeri-negeri di Wilayah Utara telah menyumbang sebanyak RM10.4 bilion atau 18% daripada jumlah keseluruhan pelaburan yang diluluskan.  

MIDA
MIDA merupakan agensi promosi utama kerajaan di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) untuk menyelia dan memacu pelaburan ke dalam sektor perkilangan dan perkhidmatan di Malaysia. Memulakan operasi pada tahun 1967 dengan hanya 38 kakitangan, MIDA telah berkembang menjadi organisasi yang kukuh dan dinamik dan mempunyai lebih 700 pekerja. Beribu pejabat di Kuala Lumpur Sentral, MIDA hari ini mempunyai 12 pejabat daerah dan 23 pejabat di luar negara. Tahun ini selaras dengan sambutan ulang tahun ke-50 penubuhannya, MIDA terus menjadi rakan strategik kepada perniagaan dalam merebut peluang yang muncul daripada revolusi teknologi era ini.

SUMBER : Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA)

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI: 
Nama : Encik Ahmad Tajuddin Omar
Pengarah, Pelaburan Tempatan & Penyelarasan Rantaian Bekalan
Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA)
Tel : 03-2267 3627 
Emel : tajudin@mida.gov.my

--BERNAMA 

 
 
 

Copyright @ 2024 MREM . All rights reserved.