ADGSOM1 & ADGMIN1  
       
  LAUNCH OF THE 50TH ANNIVERSARY CELEBRATION OF RUKUN NEGARA  
       
  KL SUMMIT 2019  
       
  HAWANA 2018  
       
  AES 2016  
       

 
 
 

April 18, 2024 -Khamis

 
  PELABURAN ASING MEMPERCEPATKAN PENGEMBANGAN DI CHANGCHUN

Monday 21/08/2017



AsiaNet 69708

CHANGCHUN, Jilin, 21 Ogos, 2017 /Xinhua-AsiaNet/--
 
Sepanjang lima hari dari 15 Ogos hingga 19 Ogos, eksekutif dari 40 buah syarikat dari hampir 10 buah negara dan wilayah termasuk Amerika Syarikat, Jepun, Perancis dan Hong Kong tiba di bandar raya Changchun di timur laut China untuk mencari peluang-peluang pelaburan.

Changchun, ibu kota bagi Wilayah Jilin, telah menerajui usaha dalam memberi nafas baharu kepada kawasan karat di timur laut itu dan menjadi satu kejutan besar dari segi pertumbuhan sejak tahun ini. Statistik menunjukkan bahawa nilai output perindustrian berskala bagi bandar raya itu melebihi 510 bilion yuan pada separuh pertama tahun 2017, meningkat 8.8 peratus dari tahun ke tahun, dengan pelbagai penunjuk ekonomi melonjak di wilayah timur laut itu, prestasi terbaik sejak tahun 2014.

Keluaran Dalam Negara Kasar Changchun dalam separuh pertama juga mencatatkan pertumbuhan sebanyak 8 peratus, melebihi purata negara, sekali gus menunjukkan satu tanda positif mengenai pelaburan masuk dan pembangunan perindustrian yang aktif.

Prime Group International yang berpangkalan di Singapura telah menghantar satu pasukan terdiri daripada tiga orang yang diketuai oleh ketua pegawai eksekutifnya. Ia telah menandatangani satu surat hasrat pelaburan untuk membina sebuah bandar peranginan yang melibatkan industri pertama, kedua dan tertiari.

Dari Januari hingga Jun, pengaliran masuk sebenar pelaburan asing ke Changchun berjumlah 4.3 bilion dolar Amerika, meningkat 14.8 peratus dari tahun ke tahun.

"Kebanyakan daripada pelaburan itu mengalir ke industri kedua dan ketiga, terutamanya yang ketiga," kata Gao Shan, pengarah bagi biro perdagangan di bandar raya itu.

Gao berkata rombongan Cuba telah membawa kejuruteraan dan bioteknologi genetik, manakala syarikat-syarikat Jerman menunjukkan minat kerjasama di dalam teknologi dan bioteknologi tenaga baharu dan perlindungan alam sekitar pada kali ini.

Dalam usaha meningkatkan ekonomi di timur laut, kerajaan pusat China telah memperkenalkan satu siri dasar yang bertujuan untuk menarik dan memudahkan pelaburan asing ke wilayah itu.

Pada 16 Ogos, Majlis Negara, kabinet China, mengeluarkan satu notis untuk mengurangkan lagi sekatan bagi pelaburan asing, memperkenalkan dasar-dasar kewangan dan percukaian yang menyokong, memperbaiki suasana pelaburan di dalam zon pembangunan, dan menyelaraskan prosedur bagi kemasukan bakat.

"Kami adalah pihak yang mendapat manfaat daripada langkah-langkah pembaharuan itu," kata Gao. Changchun telah mengetepikan kesusahan lampau mereka bagi struktur tunggal di dalam industri berat. Gao berkata industri perkhidmatan telah menyumbang lebih separuh daripada pertumbuhan ekonomi tempatan pada tahun lepas.

Pada satu mesyuarat promosi pelaburan pada awal tahun ini, Datuk Bandar Liu Changlong berkata usaha harus dilakukan untuk membiayai projek-projek yang mempunyai potensi dan memberi perkhidmatan kepada pelabur antarabangsa.

Keutamaan harus diberikan kepada tiga tonggak rantaian perindustrian termasuk automobil, kereta api dan produk-produk pertanian, kata Liu.

Banyak projek pelaburan asing yang besar telah berada di Changchun sejak itu. Sebuah kilang FAW-Volkswagen Audi dengan jumlah pelaburan sebanyak 15.8 bilion yuan dijangka memulakan pengeluaran pada tahun 2018. Sebuah projek ayam daging yang dilaburkan oleh Chia Tai Group dari Thailand dengan jumlah pelaburan sebanyak 4.9 bilion yuan sedang dalam pembinaan. Kedua-dua projek itu akan meningkatkan industri sedia ada Changchun ke tahap yang lebih tinggi.

"Changchun telah mempercepatkan kadar kelajuan di dalam melaksanakan kerjasama dengan pelabur asing," kata Gao. "Daya tenaga dan potensi besar bagi bandar raya itu telah meningkatkan keyakinan pelabur dan pengembangan mereka di bandar raya itu."
 
SUMBER: Biro Perdagangan Changchun 

--BERNAMA
 

 
 
 

Copyright @ 2024 MREM . All rights reserved.