ADGSOM1 & ADGMIN1  
       
  LAUNCH OF THE 50TH ANNIVERSARY CELEBRATION OF RUKUN NEGARA  
       
  KL SUMMIT 2019  
       
  HAWANA 2018  
       
  AES 2016  
       

 
 
 

Mac 29, 2024 -Jumaat

 
  PELABUR MEMANFAATKAN EKOSISTEM ASEAN

Thursday 10/08/2017



KUALA LUMPUR, 10 Ogos (Bernama) --  Malaysia kini mengambil pendekatan ekosistem untuk menarik pelaburan. Negara ini juga memanfaatkan ekosistem bukan hanya di Malaysia tetapi juga kelebihan daya saing negara-negara anggota ASEAN yang lain bagi mewujudkan peluang pelaburan yang lebih menarik dan mudah diakses oleh para pelabur.

ASEAN menyediakan platform yang berkesan untuk pelabur bagi mengguna dan memaksimumkan rantaian nilainya. Tahap pembangunan ekonomi yang berbeza di ASEAN ditambah pula dengan pengkhususan industri negara masing-masing membolehkan komplementariti yang lebih meluas di kalangan syarikat-syarikat tempatan dan multinasional (MNC) serta komplementariti lokasi di antara negara-negara anggota ASEAN. Pelabur asing yang ingin meneroka pasaran dan kecekapan boleh memanfaatkan komplementariti ini, dan meningkatkan penglibatan mereka dalam rantaian bekalan serantau.

Praktis pencarian negara ASEAN lain untuk melengkapi operasi sedia ada telah membawa para pelabur ASEAN meningkatkan lagi penglibatan mereka di rantau ini. Semakin banyak MNC di ASEAN mengambil strategi pengeluaran yang melibatkan operasi rantaian kilang secara horizontal dan vertical di dua atau lebih negara ASEAN atas faktor strategik dan ekonomi. Rangkaian pengeluaran ASEAN digunakan sebagai sebahagian daripada rantaian nilai serantau syarikat yang berada dalam aturan perniagaan bersepadu serta yang berkait dengan fungsi dan operasi yang berlainan, seperti pemasaran, penyelidikan & pembangunan, dan perkilangan.

Syarikat-syarikat global dalam pelbagai industri wujud di ASEAN. Kebanyakan mereka sedang berkembang dan melihat peluang dan potensi yang muncul dari integrasi ASEAN. Contoh yang baik komplementariti di kalangan negara anggota ASEAN adalah operasi Intel di Malaysia, Singapura dan Vietnam. Kewujudan Intel di rantau ASEAN bermula dengan penubuhannya di Malaysia pada tahun 1972. Ketiga-tiga entiti syarikat yang wujud di Malaysia iaitu Intel Microelectronics, Intel Technology dan Intel Products kebanyakannya terlibat dalam aktiviti perkilangan huluan E&E dan R&D. Di Singapura, Intel memberi tumpuan kepada menyediakan jualan dan sokongan di peringkat OEM, pembangunan dan pengguna akhir. Sementara itu di Vietnam, Intel menubuhkan perkhidmatan sokongan perniagaan dan menjalankan aktiviti ujian dan pemasangan.
 
Mengambil kesempatan daripada trend berterusan ini, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) bersama-sama dengan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) menganjurkan Forum Pelaburan Intra-ASEAN hari ini di Menara MITI.

Forum yang diadakan bersempena Ulang Tahun ke-50 ASEAN, telah dirasmikan oleh YB Dato' Sri Mustapa Mohamed, Menteri MITI. Ia turut disertai oleh lebih daripada 400 delegasi daripada komuniti perniagaan pelbagai sektor. 

Forum tersebut memaparkan perbincangan mengenai 'Peluang dan Cabaran Melabur di ASEAN', yang dimudahcara oleh Tan Sri Dr. Mohd Munir Majid, Pengerusi Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN Malaysia (ASEAN BAC). Ahli-ahli panel yang hadir adalah Encik Juergen Keitel, Group Chief Global Affairs & Development Officer Air Asia, Encik Cheong Ho Kuan, Pengerusi Gamuda Land Vietnam, Encik Pratan Jongpun, Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif Charoen Pokphand Malaysia, dan Encik Briand Greer, Presiden Honeywell ASEAN. Keempat-empat wakil tersebut adalah dari syarikat-syarikat yang telah menjadikan Malaysia sebagai pangkalan mereka untuk meraih faedah ekosistem ASEAN.

Charoen Pokphand (CP), syarikat berpangkalan di Thailand yang telah menubuhkan entitinya di Malaysia pada tahun 1974, bercadang untuk membangunkan Kumpulan CP Malaysia sebagai Hab Halal Dunia bagi perniagaan makanan CP dengan sasaran utama untuk mengeksport produk CP ke negara-negara Islam yang lain. "Kumpulan CP memulakan perniagaan di Malaysia pada tahun 1972. Kini, perniagaan kami di Malaysia banyak tertumpu kepada pengeluaran ternakan dan makanan. Dengan lebih daripada 3,000 pekerja, kami berhasrat untuk mencapai visi kami sebagai hab halal dunia dalam perniagaan makanan. Kami melihat Malaysia sebagai lokasi pelaburan yang berpotensi baik dengan banyak peluang terutamanya dalam industri pertanian untuk pasaran tempatan serta eksport ke seluruh dunia. Kami mengamalkan nilai CP iaitu “Three Benefits toward Sustainability’ di mana dalam setiap negara yang kami melabur, keutamaan kami adalah untuk membawa manfaat kepada negara tersebut dan rakyatnya, sementara manfaat kepada syarikat kami adalah yang terakhir," kata Encik Pratan Jongpun.

Honeywell, sebuah syarikat yang berpangkalan di Amerika Syarikat kini mempunyai 6 tapak perkilangan di rantau ASEAN, iaitu 3 di Malaysia, 1 di Thailand dan 2 di Indonesia. Syarikat juga mempunyai 17 pejabat jualan dan perkhidmatan di beberapa negara ASEAN. Kewujudan syarikat ini telah menyediakan kira-kira 3,500 pekerjaan di rantau ini. Honeywell adalah syarikat global pertama yang menyertai inisiatif Hab Prinsipal Malaysia. "Honeywell komited untuk berkembang di ASEAN, dan telah memilih Kuala Lumpur sebagai ibu pejabat kami atas pelbagai sebab termasuk keupayaan kami untuk bekerja rapat dengan MIDA, Invest KL, GLC dan kementerian lain. Kami mempunyai 450 pekerja di pejabat ‘technology connected’ kami di Bangsar South dan menjangkakan jumlah itu bakal berganda dalam beberapa tahun akan datang apabila kami berkembang menjadi sebuah syarikat industri global MNC dengan pemikiran tempatan, memberi tumpuan kepada teknologi 4.0 yang berkaitan dengan industri di seluruh portfolio kami yang luas dengan produk dalam bidang aeroangkasa, minyak & gas, penyelesaian automasi rumah, bangunan dan kilang, keselamatan perindustrian dan pasaran peranti mobiliti," kata Encik Briand Greer.

Air Asia, yang dengan bangganya telah diiktiraf sebagai syarikat penerbangan ASEAN, telah menubuhkan operasi yang berpangkalan di Malaysia, Indonesia, Thailand dan Filipina, serta India dan Jepun. Sejak memulakan operasi pada tahun 2001, Air Asia telah membawa lebih dari 400 juta penumpang dan mengembangkan bilangan pesawatnya dari hanya dua pesawat menjadi lebih 200.

Gamuda Land adalah cabang hartanah Gamuda Berhad, kumpulan kejuruteraan, pembinaan dan infrastruktur terkemuka di Malaysia dan merupakan salah satu syarikat utama di Asia. Sejak tahun 1995, Gamuda Land terus membina rekod prestasi terbukti dalam penyampaian pembangunan yang inovatif dan mewujudkan komuniti perbandaran yang menyeluruh dan mampan. Ini terbukti dengan kemenangan pelbagai anugerah dalam projek pembangunan yang memaparkan landskap Malaysia serta Vietnam.

SUMBER : Malaysian Investment Development Authority (MIDA)

UNTUK MAKLUMAT LANJUT SILA HUBUNGI: 
Nama : Encik Nelson Samuel Wilson
Pengarah, Bahagian Penggalakan Pelaburan Asing, MIDA
Tel.: 03-2267 3787
Emel: nelson@mida.gov.my

--BERNAMA 

 
 
 

Copyright @ 2024 MREM . All rights reserved.