ADGSOM1 & ADGMIN1  
       
  LAUNCH OF THE 50TH ANNIVERSARY CELEBRATION OF RUKUN NEGARA  
       
  KL SUMMIT 2019  
       
  HAWANA 2018  
       
  AES 2016  
       

 
 
 

Mac 28, 2024 -Khamis

 
  PLATFORM PERNIAGAAN ATAS TALIAN LONJAK JUALAN TELEKUNG SITI KHADIJAH

Thursday 10/08/2017



BANGI,  10 Ogos (Bernama) -- Penggunaan platform perniagaan atas talian di kalangan PKS kini semakin meningkat ekoran ekosistem perniagaan semasa dan trend pengguna yang lebih gemar membeli-belah secara atas talian. Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) serta SME Corp. Malaysia sedang giat melaksanakan program bagi memperkasa keupayaan PKS di samping menggalakkan PKS untuk meneroka pasaran tanpa sempadan.

Sejajar dengan inisiatif yang dilaksanakan di bawah pendigitalan PKS, Kerajaan mensasarkan PKS untuk lebih berdaya tahan melalui penambahbaikan di dalam sistem perniagaan atas talian dan aktiviti e-pembayaran. Selain itu, Kerajaan optimis bahawa  Zon Perdagangan Bebas Digital yang dilaksanakan untuk menerajui pembangunan e-dagang di negara ini akan turut membuka lebih banyak peluang kepada PKS di Malaysia untuk bersaing di pasaran global.

Menyedari betapa pentingnya peranan Kerajaan di dalam memastikan pembangunan PKS di Malaysia terus mapan, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), YB Datuk Ahmad Maslan, pada hari ini telah menjalankan satu lawatan rasmi ke Syarikat Siti Khadijah Apparel Sdn Bhd. Lawatan rasmi sebegini bertindak sebagai satu medium perantara bagi Kerajaan untuk melihat sendiri perkembangan PKS selain daripada memberikan cadangan penambahbaikan kepada perusahaan mereka melalui program dan insentif Kerajaan sedia ada.

Nama Siti Khadijah sudah tidak asing lagi di kalangan wanita kerana jenama ini cukup terkenal dengan penghasilan busana muslimah dan telekung inovasi pertama seumpamanya di Malaysia. Penerima Anugerah Perdana dan Anugerah Pemasaran Digital Terbaik di Anugerah PKS Patuh-Syariah Bank Islam-Utusan 2017 ini juga tidak ketinggalan menjadikan platform atas talian sebagai salah satu medium transaksi perniagaan yang berupaya untuk melonjakkan hasil jualan produk mereka. Perniagaan pasangan suami isteri, Tuan Haji Ir Aminuddin Mohd Nasir dan Puan Hajah Padzilah Enda Sulaiman ini bermula dengan menghasilkan telekung dengan bermodalkan RM10,000 di mana hanya 200 helai telekung sahaja yang mampu dihasilkan. Menariknya, melalui platform atas talian, perusahaan yang pada mulanya secara kecil-kecilan pada tahun 2009 kini sudah berupaya berkembang dan membuka 24 cawangan di seluruh Malaysia termasuk di Indonesia.

Merangkul Anugerah Pemasaran Digital baru-baru ini adalah satu tanda yang Siti Khadijah Apparel Sdn Bhd berupaya menghasilkan pengalaman membeli-belah secara atas talian yang efisyen buat pelanggannya. Hasil inspirasi dan inisiatif anak sulung mereka Mohamad Muzammil, pasangan ini kini sudah boleh berbangga kerana produk mereka sudah berupaya untuk diperolehi bukan sahaja melalui laman web mereka, tetapi juga di platform-platform membeli belah atas talian terkenal seperti Lazada dan Go Shop. Melalui pengenalan perkhidmatan atas talian ini, Siti Khadijah Apparel Sdn Bhd telah berupaya meningkatkan lagi hasil jualan mereka di samping memperluas pasaran telekung mereka ke persada antarabangsa. Kini, peminat jenama Siti Khadijah bukan sahaja dari Malaysia, malah telekung buatan mereka sudah merentasi pasaran Indonesia, Singapura dan Brunei.

YB Datuk Ahmad Maslan turut diiringi oleh En Rizal Nainy, Timbalan Ketua Eksekutif SME Corp. Malaysia sempat melihat sendiri bagaimana telekung Siti Khadijah dihasilkan pada 9 Ogos 2017. Kilang yang beroperasi di Kawasan Perindustrian Bangi ini telahpun menggunakan sistem dan peralatan menjahit secara separa automatik dan juga secara automatik. Siti Khadijah Apparel Sdn Bhd juga merupakan pemenang Anugerah Entepris 50 anjuran SME Corp. Malaysia tahun lali dan Puan Padzilah telah dinobatkan sebagai Pemenang Anugerah Usahawan Wanita.  

SME Corp. Malaysia
 
SME Corp. Malaysia merupakan sebuah Agensi Penyelaras Pusat yang menggubal dasar umum dan strategi PKS serta menyelaras pelaksanaan Program Pembangunan PKS anjuran semua Kementerian dan Agensi yang berkaitan. Ia bertindak sebagai pusat rujukan setempat bagi penyelidikan dan penyebaran data PKS serta sebagai pusat perhubungan untuk maklumat dan menyediakan khidmat nasihat untuk PKS di Malaysia. SME Corp. Malaysia turut memainkan peranan sebagai Sekretariat kepada Majlis Pembangunan PKS Kebangsaan (MPPK) yang dipengerusikan oleh Y.A.B. Perdana Menteri Malaysia.

SUMBER : SME Corp. Malaysia

UNTUK MAKLUMAT LANJUT SILA HUBUNGI: 
Nama : Pn Nor Azian Md Yusof 
Tel : 03-2775 6352 
Emel : amysarah@smecorp.gov.my

Nama : Ahmad Mu’izz Mohd Yusof
Tel : 03-2775 6275 
Emel : 
muizzyusof@smecorp.gov.my

--BERNAMA 

 
 
 

Copyright @ 2024 MREM . All rights reserved.