ADGSOM1 & ADGMIN1  
       
  LAUNCH OF THE 50TH ANNIVERSARY CELEBRATION OF RUKUN NEGARA  
       
  KL SUMMIT 2019  
       
  HAWANA 2018  
       
  AES 2016  
       

 
 
 

April 24, 2024 -Rabu

 
  TEKS UCAPAN YBHG. DATO' AZMAN MAHMUD KETUA PEGAWAI EKSEKUTIF MIDA RUMAH TERBUKA AIDILFITRI FINISAR MALAYSIA 21 JULAI 2017, 9.30 PAGI - 1.00 TENGAHARI KAWASAN PERINDUSTRIAN BEBAS KINTA

Friday 21/07/2017



Penghargaan

YB Datuk Aminuddin Hj Mat Hanafiah, ADUN Chemor

YB Hj Mohamad Ziad Dato Mohamed Zainal Abidin, ADUN Manjoi

Toh Muda Dato' Ab. Wahab Dato' Seri Azizul, Orang Besar Jajahan Kinta Perak

Y. Bhg Dato CM Vignaesvaran, Ketua Pegawai Eksekutif, HRDF

Y. Bhg Dato' IR Muhammad Hafni Ibrahim, Ketua Eksekutif, Perak Invest

Y. Bhg Dato' IR Muhammad Hafni Ibrahim, Ketua Eksekutif, Perak Invest

Ms Yap Suan See, Timbalan Presiden/Pengarah Urusan, Finisar Malaysia

Y. Bhg Dato Syed Aljunid Pengarah, Finisar Malaysia

Para jemputan dan Rakan-rakan media, serta Warga Finisar sekalian.

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Saya sangat berbesar hati kerana dapat bersama-sama semua di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Finisar Malaysia pada pagi ini. Terima kasih kerana menjemput saya.

Di kesempatan ini, saya turut ingin mengambil peluang untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh warga Muslim di Finisar dan para tetamu yang rata- ratanya terdiri daripada sektor swasta dan awam di peringkat Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri.

Saya percaya Majlis ini akan merapatkan lagi hubungan baik antara kita dalam usaha untuk memperkukuhkan persekitaran perniagaan yang kondusif bagi membolehkan syarikat-syarikat menjalankan perniagaan dengan jaya agar limpahan manfaatnya dapat dinikmati oleh semua rakyat, terutamanya di negeri Perak.

Para hadirin sekelian,

Seperti ramai sedia maklum, pembangunan ekonomi di Negeri Perak pada awalnya bermula dengan pengeluaran timah pada tahun 1970an. Saban tahun, negeri ini telah melaksanakan transformasi ke atas profil ekonominya untuk bergerak seiring dengan arus perubahan global.

Pada hari ini, Negeri Perak telah mempunyai portfolio perindustrian yang lebih pelbagai, merangkumi industri pembuatan produk elektrik dan elektronik, produk mineral bukan logam, pembinaan kapal, jentera dan faundri, peralatan automotif dan pengangkutan serta fabrikasi minyak dan gas.

Ini telah membuka pintu kepada banyak peluang pelaburan yang boleh diterokai oleh komuniti perniagaan. Malah, dengan adanya peluang- peluang seperti ini, Negeri Perak telah muncul sebagai penerima kelima terbesar pelaburan yang diluluskan dalam sektor perkilangan untuk tahun 2016. Pada tahun lalu, MIDA telah meluluskan sejumlah 55 projek perkilangan dengan pelaburan bernilai RM3.95 bilion bagi negeri Perak.

Bagi sektor perkhidmatan pula, MIDA telah meluluskan sejumlah 23 projek tambahan dengan pelaburan bernilai RM0.7 billion bagi negeri Perak pada tahun 2016. Projek-projek tersebut termasuklah dalam sektor teknologi hijau dan pelancongan.

Apa yang lebih menarik lagi, sebaik sahaja projek-projek ini dilaksanakan, lebih daripada 8,000 penduduk tempatan bakal menikmati faedah peluang pekerjaan daripada pelaburan ini.

Saya percaya, semua pihak di Kementerian serta Agensi di peringkat Persekutuan dan Negeri, terutamanya di Negeri Perak akan terus bekerjasama erat untuk mengekalkan momentum positif ini bagi menarik lebih banyak pelabur termasuklah dari syarikat multinasional asing seperti Finisar.

Para hadirin sekelian,

Kita sangat berbangga kerana Finisar telah memilih Malaysia sebagai destinasi pilihan bagi menempatkan aktiviti perkilangan syarikat tersebut di luar Amerika Syarikat semenjak tahun 2001. Ini juga merupakan projek perkilangan Finisar yang pertama di luar Amerika Syarikat.

Amerika Syarikat sememangnya merupakan salah satu di antara pelabur utama di negara ini. Malah pada tahun lalu, MIDA telah meluluskan lebih daripada RM1.4 bilion projek pelaburan tambahan bagi sektor perkilangan dan RM0.16 billion untuk sektor perkhidmatan daripada Amerika Syarikat. Projek-projek ini akan menyumbang kepada lebih dua ribu lagi peluang pekerjaan kepada negara.

Meskipun dalam persekitaran ekonomi yang mencabar, Finisar terus mengembangkan operasinya di Malaysia. Bermula dengan hanya menjalankan aktiviti pemasangan, kini, syarikat peneraju teknologi global dalam komunikasi optik ini terus mengembangkan operasinya di sini dengan memperkukuhkan aktiviti ‘product design’ dan R&D yang telah dijalankan semenjak tahun 2004.

Pada masa ini, seramai 110 staf Finisar telah terlibat secara langsung di dalam aktiviti R&D syarikat. Jumlah tersebut akan meningkat kepada 180 orang dalam tempoh dua tahun akan datang, dan kepada 200 orang menjelang tahun 2020.

Finisar Malaysia kini akan turut bertanggungjawab untuk projek pembangunan ‘new generation transceiver module’ yang merangkumi ciri-ciri berteknologi 4G dan 5G.

Teknologi ini masih baru di Malaysia dan ini merupakan titik permulaan yang baik bagi kita untuk bergerak seiring dengan negara-negara maju lain yang telah mula menggunakan teknologi berkenaan. Yang pastinya, tenaga kerja tempatan akan memperolehi faedah melalui pemindahan teknologi canggih dan pengetahuan teknikal syarikat.

Kita juga menghargai sumbangan Finisar di dalam membangunkan lebih 20 vendor tempatan, termasuk beberapa pengeluar peralatan bagi aktiviti ‘design and assembly of equipment, test equipment and processes’. Ini secara tidak langsung telah mengukuhkan lagi rantaian bekalan dan ekosistem industri di negara ini.

MIDA mengalu-alukan usaha berterusan Finisar untuk mengautomasikan aktiviti perkilangannya bagi meningkatkan produktivitinya selaras dengan aspirasi kerajaan ke arah industri 4.0.

MIDA juga menyambut baik komitmen Finisar di bawah pimpinan Ms.Yap Suan See, Pengarah Urusan, Finisar Malaysia dan Pengurus Sumber Manusia, Dr Siva Sitrembalan dalam aspek pembangunan modal insan. Saya difahamkan bahawa syarikat sedang berkerjasama dengan pelbagai institusi pendidikan tinggi tempatan seperti Universiti Teknologi Petronas, Universiti Tunku Abdul Rahman dan Universiti Malaya bagi membangunkan modal insan berkemahiran dalam bidang teknologi fotonik, komunikasi fiber optik dan optoelektronik.

Selain daripada itu, syarikat telah berjaya melatih calon-calon Sistem Latihan 1 Malaysia (SL1M) dan telah menyerap masuk 40 orang graduan SL1M tersebut ke dalam syarikat. Kejayaan ini adalah hasil dari kerjasama Ms. Yap Suan See dan Dr. Siva dengan agensi-agensi yang terlibat. Tahniah diucapkan!

Malah pihak MIDA sendiri telah turun padang bagi membantu Finisar untuk memenuhi keperluan bekalan talent berkemahiran teknikal yang diperlukan oleh syarikat. Usaha ini seterusnya membuahkan beberapa inisiatif untuk program teknikal yang kini sedang dijalankan. Salah satu hasil daripada inisiatif ini adalah penganugerahan sijil Kejuruteraan Pengilangan Tahap 1 yang akan disampaikan kepada 59 kakitangan Finisar pada hari ini.

Para Hadirin sekelian,

Sebelum saya mengakhiri ucapan ini, saya ingin merakamkan ucapan tahniah dan ribuan terima kasih kepada kepercayaan berterusan Finisar terhadap keupayaan Malaysia, khususnya negeri Perak. MIDA akan terus bekerjasama rapat dengan agensi-agensi kerajaan yang lain dalam memberikan sokongan penuh kami untuk menyokong kejayaan pelaburan Finisar di negara ini.

Sekian, terima kasih.
 
SUMBER : Malaysian Investment Development Authority (MIDA) 

UNTUK MAKLUMAT LANJUT SILA HUBUNGI:
Nama : En. Muhammad Sawaddee Islamuddin
Pengarah, MIDA Perak 
Tel : 05-5269962
Emel : sawaddee@mida.gov.my

--BERNAMA

 
 
 

Copyright @ 2024 MREM . All rights reserved.