PIPOC 2007  
       
  LANGKAWI INTERNATIONAL DIALOGUE  
       
  IKIM :THE ROLE OF ISLAMIC  
       
  KL OIC HEALTH  
       
  PERAK ROYAL EVENT  
       
  DEVELOPING 8 (D8) MINISTERS MEETING ON FOOD SECURITY  

 
 

Ogos 17, 2017 -Khamis

 
  TIGA INDIVIDU DIDAKWA LHDNM DAN DIDENDA RM17,500 ATAU PENJARA

Wednesday 14/06/2017



KUALA LUMPUR, 14 Jun (Bernama) -- Tiga individu didenda keseluruhannya berjumlah RM17,500.00 atau penjara jika gagal membayar denda oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pada 13 Jun 2017 selepas mengaku bersalah atas semua pertuduhan yang didakwa oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM).

Hee Min Tin, 41 tahun, pemilik Hee Mobile Centre dijatuhkan hukuman denda RM7,000.00 atau penjara sehingga tiga bulan jika gagal membayar denda selepas mengaku bersalah atas tiga pertuduhan di bawah perenggan 82(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967 kerana gagal menyimpan rekod-rekod yang mencukupi berkenaan perniagaan beliau seperti mana yang dikehendaki oleh Akta Cukai Pendapatan 1967 iaitu buku akaun, invois, baucer dan resit. Kesalahan dilakukan adalah bagi tahun taksiran 2010, 2011 dan 2012. Bagi pertuduhan pertama iaitu untuk tahun taksiran 2010, Hee dijatuhi hukuman denda RM1,500.00 atau tiga minggu penjara. Manakala bagi kesalahan kedua dan ketiga iaitu bagi tahun taksiran 2011 dan 2012, Hee dikehendaki membayar denda masing-masing RM2,500.00 dan RM3,000.00 atau penjara satu bulan dan dua bulan. 

Dalam prosiding berasingan, Muhammed Shahrul Sabaruddin, 41 tahun, Pengurus Agensi Kumpulan CIMB Wealth Advisor  turut mengaku bersalah dan didenda RM4,500.00 atau penjara sehingga satu bulan jika gagal membayar denda selepas menghadapi tiga pertuduhan di bawah perenggan 82(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967 kerana gagal menyimpan rekod-rekod yang mencukupi berkenaan perniagaan beliau iaitu buku akaun, invois, baucer dan resit dalam tempoh tujuh tahun. Kesalahan dilakukan adalah bagi tahun-tahun taksiran 2012, 2013 dan 2014. Bagi pertuduhan pertama iaitu untuk tahun taksiran 2012, Muhammed Shahrul dijatuhi hukuman denda RM1,000.00 atau tiga minggu penjara. Manakala bagi kesalahan kedua dan ketiga iaitu bagi tahun taksiran 2013 dan 2014, Muhammed Shahrul dikehendaki membayar denda masing-masing RM1,500.00 dan RM2,000.00 atau penjara satu bulan bagi setiap kesalahan.

Sementara itu, Kalai Vani a/p Ragoo, 36 tahun, pemilik kedai runcit CK Mart turut mengaku bersalah atas dua pertuduhan di bawah perenggan 82(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967 kerana gagal menyimpan rekod-rekod yang mencukupi iaitu lejar am, buku tunai, lejar jualan, lejar belian, lejar penghutang dan akaun pemiutang berkenaan perniagaan kedai runcit beliau bagi tahun taksiran 2012 dan  kesalahan gagal mematuhi notis di bawah seksyen 81 Akta Cukai Pendapatan 1967 yang diterima olehnya supaya memberikan maklumat berkaitan perniagaannya dalam tempoh yang ditetapkan. Majistret menjatuhkan hukuman denda masing-masing RM1,000.00 atau penjara tiga minggu bagi kesalahan pertama dan RM5,000.00 atau penjara dua bulan bagi kesalahan kedua. 

Pendakwaan dikendalikan oleh Peguam Hasil Puan Nur Sakinah Ahmad, manakala hukuman dijatuhkan oleh Majistret Tuan Zuhair Rosli.

Nota:

i - Kegagalan mematuhi peruntukan perenggan 82(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967adalah satu kesalahan di bawah seksyen 119A Akta Cukai Pendapatan 1967 yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak kurang daripada RM300 dan tidak lebih daripada RM 10,000 atau penjara tidak lebih satu tahun atau kedua-duanya.

ii - Kegagalan mematuhi notis di bawah seksyen 81 Akta Cukai Pendapatan 1967 merupakan satu kesalahan di bawah perenggan 120(1)(a) yang jika sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang RM200.00 dan tidak lebih daripada RM20,000 atau boleh dihukum penjara bagi suatu tempoh tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya.

SUMBER : Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM)

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Bahagian Komunikasi, Pejabat Ketua Pegawai Eksekutif
Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia
Tel.: 1-800-88-5436 (LHDN) 
Portal Rasmi : 
www.hasil.gov.my

--BERNAMA
 

 
 
 

Copyright @ 2017 MREM . All rights reserved.