ADGSOM1 & ADGMIN1  
       
  LAUNCH OF THE 50TH ANNIVERSARY CELEBRATION OF RUKUN NEGARA  
       
  KL SUMMIT 2019  
       
  HAWANA 2018  
       
  AES 2016  
       

 
 
 

April 26, 2024 -Jumaat

 
  KENYATAAN AKHBAR KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA : PERTANDINGAN VIDEO KREATIF KESIHATAN SEKSUAL DAN REPRODUKTIF REMAJA PERINGKAT KEBANGSAAN 2017

Thursday 08/06/2017



PUTRAJAYA, 8 Jun (Bernama) -- Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin menjelaskan lebih lanjut isu yang telah dibahas dengan meluas dalam kalangan pelbagai NGO, individu dan media tempatan serta antarabangsa, di mana mereka berpendapat Pertandingan Video Kreatif Kesihatan Seksual dan Reproduktif (SRH) Remaja Kebangsaan 2017 yang dianjurkan oleh KKM bersifat diskriminasi terhadap komuniti LGBT. 

Sekali lagi, KKM ingin menegaskan hasrat murni pertandingan ini, di mana ia bukan untuk mendiskriminasikan komuniti LGBT. Malah, ia bertujuan untuk mendapat pandangan remaja mengenai kefahaman mereka berkaitan isu SRH serta meneroka pandangan, pengalaman, cabaran dan di mana mereka boleh mendapatkan bantuan sekiranya diperlukan. Pertandingan video ini juga dapat mengenal pasti jurang dalam pengetahuan dan perkhidmatan yang disediakan untuk remaja.

Remaja adalah fasa kritikal dalam kehidupan untuk mencapai potensi seseorang manusia. Mereka adalah generasi masa hadapan kita. Persepsi dan gaya hidup remaja berkaitan SRH akan memberi impak kepada kesihatan dan kesejahteraan mereka, kini, masa hadapan dan seterusnya.

Bagi memastikan kejayaan dan kelestarian program SRH untuk golongan muda serta penambahbaikan terhadap isu-isu berkaitan SRH,  KKM telah mengadakan perbincangan dengan pemegang taruh utama (key stakeholders) seperti Majlis AIDS Malaysia (MAC), kumpulan pakar perubatan dan wakil daripada kumpulan populasi kunci (key population groups) untuk menjelaskan salah faham yang timbul akibat penggunaan terminologi di dalam poster pertandingan tersebut.

Perbincangan ini berjaya menyelesaikan salah faham yang timbul dan penambahbaikan bersama telah dilakukan ke atas syarat-syarat pertandingan tersebut. Semua ahli mesyuarat yang hadir bersetuju bahawa pertandingan ini merupakan langkah penting dalam usaha untuk mengembang dan memacukan program SRH untuk remaja di Malaysia. Skop pertandingan ini dikekalkan kepada 3 tajuk, di mana 2 daripadanya telah diolah.  3 tajuk tersebut adalah: 1)Gender dan Seksualiti 2) Kesihatan Reproduktif 3) Seks Siber.

KKM akan terus berpegang kepada nilai-nilai utama kami, iaitu Penyayang, Profesionalisme dan Kerja Berpasukan serta ingin menegaskan bahawa kami tidak mendiskriminasi mana-mana kumpulan atau individu. Dalam hal ini, kesihatan dan kesejahteraan remaja adalah keutamaan kami. Oleh itu, KKM komited untuk berganding bahu bersama semua pemegang taruh dan mengalu-alukan jalinan kerjasama dengan semua pihak demi kesihatan dan kesejahteraan populasi remaja di negara ini.

“Negara  Menggembleng Tenaga Ke Arah Kesihatan Yang Lebih Baik”
 
DATUK DR LOKMAN HAKIM SULAIMAN
TIMBALAN KETUA PENGARAH KESIHATAN
(KESIHATAN AWAM)
KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Sumber : Kementerian Kesihatan Malaysia

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama : Nor Suzaman B. Abdul Rahman
Tel : 03-8883 3470
Emel : n.suzaman@moh.gov.my

--BERNAMA


 

 
 
 

Copyright @ 2024 MREM . All rights reserved.